Skip to main content

Rizab tunai P.Pinang RM1.29 bilion, surplas RM1.3 juta dapat pujian Laporan Ketua Audit Negara 2013

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kejayaan Kerajaan Negeri mencapai surplas sebanyak RM1.3 juta sehingga tarikh 31 Disember tahun lepas sungguhpun Bajet 2013 menganggarkan defesit kewangan berjumlah RM262.04 juta mendapat pujian daripada Laporan Ketua Audit Negara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri turut berjaya menambahkan rizab tunai sebanyak RM100 juta menjadi RM1.29 bilion bagi tahun 2013, iaitu kenaikan sebanyak 8.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Ini bermakna Kerajaan Negeri meneruskan rekod belanjawan lebihan atau surplas untuk setiap tahun sejak 2008," ujar Guan eng semasa membentangkan bajet Kerajaan Negeri 2015 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, petang tadi.

Beliau turut menyanggah dakwaan pembangkang kononnya dua pencapaian tersebut adalah berpunca oleh amalan tadbir urus kewawangan secara 'kedekut' oleh Kerajaan Negeri.

"Sebenarnya Kerajaan Negeri membelanjakan RM832.42 juta pada tahun 2013, berbanding perbelanjaan berjumlah RM540.08 juta pada tahun 2012.

"Kerajaan Negeri hanya berjimat cermat kerana tidak mahu pemborosan, pembaziran, di samping membendung penylewengan dalam pengurusan kewangan," ujar Guan Eng Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 telahpun mengagihkan lebih RM192.98 juta hasil negeri secara langsung dan tunai kepada rakyat terpilih.

Sidang DUN kali ini selama dua minggu, mulai 7 hingga 21 November depan.