Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN - Pemajuan 163 unit rumah mewah oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di D'Residence Bayan Mutiara dekat Bayan Baru yang berharga antara RM800,000 hingga RM3.5 juta diluluskan pada 5 Oktober 2006, iaitu semana Kerajaan Neger masih di bawah pentadbiran Barisan Nasional.
Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberi penjelasan demikian susulan kenyataan Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid yang menuduh Kerajaan Negeri hari ini melalui PDC turut membina rumah mewah melepasi harga siling RM400,000 di atas tanah yang diambil daripada rakyat untuk tujuan perumahan awam.
"Memang ada PDC bina rumah berharga RM3.1 juta, tetapi ini dibina semasa era Kerajaan BN dahulu...masa itu kita (Pakatan Rakyat) belum lagi jadi Kerajaan.
"Walaupun projek D'Residence ini siap pada tahun 2010, tetapi semua kelulusan siap diluluskan sebelum tahun 2008.
"Ini (projek D'Residence) dibuat di bawah pemerintahan anda (Barisan Nasional) dan semasa anda (Jahara) menjadi Exco (Kerajaan Negeri)," ujar Guan Eng kepada wartawan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, tengah hari tadi.
Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dan Datuk Rosli Jaafar (Pengurus Besar PDC) turut menyertai sidang media tersebut.
Difahamkan, fasa satu D'Residence menawarkan 113 unit rumah mewah antara RM880,000 hingga RM3.5 juta, manakala, baki 50 unit lain di bawah fasa dua ditawarkan antara harga RM1,403,750 hingga RM3,140,900.
Direkodkan, permohonan pelan perancangan pembangunan projek tersebut dibuat pada 3 Mac 2005 dan diluluskan pada 5 Oktober 2006 lagi.
Kuatkuasa kerja pula direkodkan bermula pada 21 Mei 2007 dan siap sepenuhnya ada 14 Februari 2010.
Sementara itu, Rosli turut memberi penjelasan mengenai seunit rumah di bawah projek Intan Delima dekat Bandar Cassia Batu Kawan yang ditawarkan sehingga RM306,000, iaitu kadar yang melebihi harga siling perumahan mampu untuk kawasan Seberang Perai berjumlah RM250,000.
"Harga sebenar rumah itu sepatutnya RM149,000, tetapi satu unit itu sahaja dijual pada harga RM306,000 kerana (membabitkan) tanah tambahan yang lebih di situ," ujar Rosli kepada wartawan.
Terdahulu, Jahara yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar seakan cuba menggambarkan pentadbiran Guan Eng ghairah meluluskan projek rumah mewah, hatta tidak mampu dimiliki oleh rakyat terbanyak.
Guan Eng dalam reaksi spontan berkata, harga siling rumah mampu milik di pulau dan Seberang Perai masing-masing ditetapkan pada kadar RM400,000 dan RM250,000, sebagaimana digariskan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Malah, Guan Eng turut mempersoal Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) membina rumah mewah mencecah harga RM1.85 juta di atas tanah dekat Teluk Kumbar, yang diambil daripada rakyat untuk tujuan perumahan awam.
"JKP sepatutnya tidak untung sampai RM150 juta untuk 15 projek jika benar-benar bina rumah awam, kerana Kerajaan Negeri dianggarkan rugi antara RM500 juta hingga RM800 juta dalam rancangan pembinaan 22,575 rumah awam di negeri in," tegas Guan Eng.
No comments:
Post a Comment