Skip to main content

PasMa syor Pakatan lebih kuat jika disertai PSM, parti-parti dari Sarawak-Sabah

PHAHROLRAZI Mohd. Zawawi (beropiah putih) semasa diinterbiu selepas selesai Forum PAS Peringkat Negeri Perak di Hotel Seri Malaysia dekat Ipoh, malam tadi. | Foto: FB Mohd. Saad

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

IPOH - Pakatan Rakyat disyor lebih fleksibal menerima kehadiran Gabungan Kiri terbaru yang ditunjangi oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) demi mewujudkan saingan 'satu lawan satu' dengan Umno Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

PHAHROLRAZI Mohd. Zawawi
Presiden Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi berkata, langkah itu adalah wajar agar Pakatan Rakyat terus mendekati aspirasi sebenar 51 peratus undi majoriti rakyat Malaysia seperti pilihan raya umum lepas. 

Lagipun katanya lagi, penyertaan lebih banyak parti politik khususnya dari Sarawak akan menguatkan lagi sokongan rakyat dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri berkenaan, yang dijangka paling lewat pada Jun tahun depan.

"PasMa adalah pertubuhan yang longgar untuk menghimpunkan suara sebenar penyokong Pakatan Rakyat, dan kita cadang Pakatan Rakyat lebih fleksibal dalam menguatkan sokongannya dengan formula 'satu lawan satu' dengan Umno Barisan Nasional. 

"Bukan sahaja PSM patut dipertimbang sertai Pakatan Rakyat, malah, parti-parti politik dari Sarawak dan Sabah juga boleh menyertai kita.

"Kita (Pakatan Rakyat) sepatutnya meluaskan lagi kekuatan kita, tidak sekadar tiga parti politik sahaja (PAS, PKR dan DAP) untuk menjadi lebih kuat kerana hampir 3.7 juta pengundi yang menyokong Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lalu adalah mreka yang tidak berparti," ujar Phahrolrazi yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah.

Beliau berkata demikian kepada wartawan, sejurus selesai Forum PasMa Peringkat Negeri Perak yang berjudul "Di Sini Lahirnya Pakatan Rakyat" di Hotel Seri Malaysia di sini, pada malam tadi.

Selain gelut memenuhi pentas-pentas forum di seluruh Semenanjung Malaysia, Phahrolrazi menjelaskan bahawa NGO berusia hampir 90 hari itu sedang giat merancang untuk mewujudkan sejuta sukarelawan pro Pakatan Rakyat sebelum PRU14.

"Di Sabah dan Sarawak, secara rasmi kita belum menubuhkan PasMa kerana memenuhi forum yang begitu banyak permintaan di Semenanjung.

"Tetapi, kita (PasMa) tengah berbincang untuk membina pasukan sukarelawan yang terbanyak...kalau boleh lebih sejuta untuk membantu Pakatan Rakyat menang pilihan raya nanti," ujar Pahrolrazi lagi.

Difahamkan, iltizam politik PSM serta gabungan kirinya untuk menyertai Pakatan Rakyat serta bertanding menggunakan logo parti sendiri sejak dua tahun lepas seakan menerima reaksi dingin daripada pemimpin tertentu pembangkang berkenaan.

Pada PRU14, PSM disebut-sebut bercadang untuk bertanding di enam kerusi Parlimen serta 11 kerusi DUN.

Bagaimanapun 'gabungan kiri' baru itu masih belum menyebut secara jelas mengenai kawasan tanding yang dimaksudkan.

Manakala, pemimpin utama Pakatan Rakyat merangkap Ketua Pembangkan Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu reaksi spontan menyebut bahawa pakatannya akan berbincang mengenai iltizam politik PSM tersebut. 

Phahrolrazi dalam forum yang dihadiri lebih hampir 200 orang tersebut sebelum itu turut diminta mengulas mengenai ura-ura PasMa ditubuhkan untuk merombak kepemimpinan Presiden Tuan Guru Abdul Hadi Awang, hatta kemungkinan menubuhkan parti.

"Sasaran PasMa adalah mengukuhkan sokongan Pakatan Rakyat...kedudukan parti politik tidak boleh ditentukan oleh NGO seperti Pasma, tetapi oleh perwakilan parti-parti politik itu sendiri.

"PasMa ditubuhkan benar-benar untuk menghimpunkan suara penyokong Pakatan Rakyat, dan kalau PasMa pun ke arah menjadi parti politik sekarang, siapa akan mengisi kewajipan itu untuk mengekalkan sokongan hampir empat juta pengundi tradisi Pakatan Rakyat ini nanti," ujar Phahrolrazi lagi.