Skip to main content

PAS PP wajar bincang punca guru PASTI tak dapat bonus - Zolkifly

ZOLKIFLY Md. Lazim (berdiri di pentas utama) majlis perasmian tersebut di sini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI DUA - PAS wajar berbincang kaedah untuk memastikan guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) tidak lagi tercicir daripada mendapat bonus RM200 seorang seperti tenaga pengajar Tadika Islam (TADIS) pada Disember ini, di bawah Bajet 2015 Pulau Pinang.

Pengerusi Lajnah Ekonomi Pulau Pinang Zolkifly Md. Lazim berkata demikian semasa merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan & Penyampaian Hadiah Peringkat PASTI Guar Kepayang di sini pada Jumaat lepas.

"PAS sejak 2008 telah mencapai kejayaan atas penyertaan pilihan raya hingga menubuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat bersama-sama DAP dan PKR.

"Atas sebab itu, apa punca 'memanfaat pencapaian bersama' seperti bonus RM200 kepada cikgu TADIS umpamanya tidak sampai kepada guru-guru PASTI elok dibincangkan di peringkat parti," ujar Zolkifly kepada wartawan.

Justeru, Zolkifly mencadangkan PAS peringkat kawasan dan cawangan menganjurkan Forum Analisis Bajet 2015 Pulau Pinang, sebagaimana dianjurkan oleh lajnahnya di Dewan JKKK Sungai Gelugor, 22 November lepas.

"Kita (PAS) memang perlu hadam mengenai Bajet 2015 Pulau Pinang ini supaya kita tahu peruntukan-peruntukan yang ada untuk dimohon, serta tidak keciciran lagi," ujar Zolkifly yang juga Pengerusi Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa).

Terdahulu, Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng semasa membentangkan Bajet 2015 Pulau Pinang antara lain mengumumkan pemberian bonus yang akan diawalkan pada Disember tahun ini.

Pengumuman itu berbunyi:

58. Sama seperti tahun lepas, di samping pejabat awam, pemberian bonus sebanyak RM300 seorang juga akan diberi kepada guru-guru dan penyelia KAFA, bonus pada kadar RM300 seorang juga akan diberikan kepada guru Sekolah Menengah Agama Rakyat dan Sekolah Cina Persendirian, manakala guru Sekolah Tahfiz, Sekolah Pondok dan TADIS (Tadika Islam) akan mendapat pemberian bonus sebanyak RM200 seorang. Pemberian bonus pada Disember 2014 dijangka menelan belanja sebanyak RM5 juta.