Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN - Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang sekali lagi dipilih sebagai tapak pameran solo oleh pelukis catan minyak tersohor, Datuk Abdul Rahman Rahim baru-baru ini, selepas kejayaan pameran pertama dulu yang menampilkan karya-karya saudara Chong Hon Fatt yang bertemakan ‘Jambatan Kedua Pulau Pinang’.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam kenyataannya memuji insiatif Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang kerana membawa sedikit kelainan di institusi yang lazim menjadi tempat mengubal undang-undang negeri tersebut.
"Pameran Solo Yang Berbahagia Datuk Abdul Rahman Rahim ini merupakan satu lagi bukti betapa Kerajaan Negeri komited dalam menghargai karya seni anak tempatan tanpa mengira garis kaum, politik mahu pun agama.
"Inisiatif Datuk Law ini menganjurkan pameran ini harus dipuji juga...bertepatan dengan misi Kerajaan Negeri untuk 'menjambatankan' rakyat dengan para pemimpin negeri," ujar Guan Eng semasa merasmikan Pameran Solo Yang Berbahagia Dato’ Abdul Rahman Rahim, bertemakan ‘Journey of a Travel Painter: Landscape Inspiration’ di sini baru-baru ini.
Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Maktar Shapee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon turut menyertai majlis perasmian pameran selama sembilan hari bermula pada 18 hingga 26 Oktober tersebut.
Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam berharap, penganjuran pameran solo tersebut dapat menggamit lebih ramai pelancong tempatan dan asing ke negeri ini.
Abdul Rahman merupakan anak jati Pulau Pinang yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam serta pengajian peringkat sarjana muda dalam bidang kesenian di Universiti Malaya, seterusnya ke Canberra School of Art, Australia.
Dengan kerjayanya sebagai seorang diplomat, Abdul Rahman berpeluang merantau ke pelbagai negara selama 30 tahun untuk mengembangkan ilham serta menghasilkan karya yang bertemakan lanskap.
Pada tahun 1997, lukisan berjudul 'Datai-Langkawi' merupakan antara karya terbaik Abdul Rahman hingga memenangi anugerah dalam pertandingan kesenian peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, dengan kerjasama Galeri Senilukis Negara.
No comments:
Post a Comment