Skip to main content

MPPP belanja RM3.53 juta naik taraf Lorong Batu Lancang

WONG Hon Wai (tengah) bersama beberapa individu lain menggunakan salah satu lintasan pejalan kaki berlampu isyarat yang baru dibina di pekarangan depan Sekolah Kebangsaan Batu Lancang di sini, tengah hari tadi.
(Dari kiri) A. Rajendran, Wong Hon Wai dan Andy Ooi C.H. serta dua wakil murid Sekolah Kebanggaan Batu Lancang pada sidang media di sini, tengah hari tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BATU LANCANG - Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) siap menaik taraf sebahagian Jalan Batu Lancang sepanjang 660 meter, dengan belanja RM3,530,762.50.

Wong Hon Wai selaku Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Gian Eng dalam kenyataannya berkata, kerja penaiktarafan jalan tersebut memberi manfaat kepada rakyat, khususnya kira-kira 5,000 murid daripada lima sekolah di sini.

"Kajian MPPP telah mendapati Lorong Batu Lancang mengalami keseksaan yang teruk pada waktu puncak dan hujung minggu sehingga membahayakan murid daripada lima sekolah di sepanjang jalan ini.

"Disebabkan itu, dua lintasan berlampu isyarat yang menelan belanja RM90,000 turut dipasang di sini supaya murid Sekolah Kebangsaan Batu Lancang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Georgetown tidak perlu lagi berkongsi sebuah lintasan pejalan kaki seperti dulu," ujar Hon Wai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam di sini, tengah hari tadi.

Sebelum itu, Timbalan Pengarah Kejuruteraan MPPP, A. Rajendran memberitahu, kontraktor yang dipilih, iaitu MK Bashah (PG) Sdn. Bhd. memulakan kerja penaiktarafan projek tersebut pada 21 Oktober lepas dan siap lebih awal daripada tarikh sasaran pada 1 Disember depan.

"Pelebaran di kedua-dua hala jalan menjadi tiga lorong, pembinaan laluan pejalan kaki, serta menaiktarafkan sebahagian sistem perparitan telahpun siap.

"Lorong tambahan untuk belok kiri dari Lorong Batu Lancang ke Jalan Masjid Negeri turut siap dibina," ujar Rajendran kepada wartawan.

Tambah Rajendran, lorong tambahan sepanjang 200 meter untuk kemudahan menurunkan serta mengambil pelajar turut dimajukan dalam kerja penaiktarafan Lorong Batu Lancang di sini.

Bercakap pada sidang media sama, Yang di-Pertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebanggaan Batu Lancang, Andy Ooi C.H. melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas penaiktarafan projek tersebut.

"Saya pun berharap kesesakan trafik dan risiko kemalangan di sini dapat dikurangkan selepas siap inisiatif Kerajaan Negeri ini," ujar Andy Ooi kepada Hon Wai.