20 November 2014

Jangan takut memasak di tepi jalan – Chef Mohd. Danial Firdaus

CHEF Mohd. Danial Firdaus Shaharuddin dalam rancangan realiti masakan Master Chef Malaysia musim pertama 2012, sebelum membuka gerai masakan Barat sendiri, Dhap’s Deli’s di Tingkat Mahsuri dekat Bayan Baru. Beliau boleh dihubungi di talian 0174741471. | Foto: Google.

BAGINYA, dunia chef ini bukan hanya didominasi oleh lelaki lembut sungguhpun tanggapan awam sebegitu dengan melihat kejayaan Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan diiktiraf sebagai chef selebriti Malaysia nombor satu di Asia.

Demikian respons awal anak teruna bernama Mohd. Danial Firdaus Shaharuddin, 21, dalam wawancara bersama-sama fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB.

“Kalau masuk dapur masakan hotel, kebanyakannya tak lembut.

“Macam Chef Wan pun, diiktiraf sebagai chef nombor satu di Asia kerana bakatnya, bukan kerana lembutnya,” ujar Mohd. Danial Firdaus semasa diwawancara di gerai masakan Barat beliau, Dhap’s Deli’s di Tingkat Mahsuri dekat Bayan Baru di sini baru-baru ini.

Dalam usia muda, kini beliau mengakui bahawa kerjayanya sebagai Chef di Pulau Pinang kini berbaloi.

MINAT
Menurut Mohd. Danial Firdaus, beliau minat dunia masakan ini sejak kecil lagi kerana berpeluang membantu emak dan nenek di dapur.

“Saya datang daripada famili yang suka memasak...memang ada resepi rahsia dalam keluarga seperti memasak roti jala.

“Resepi roti jala bukan untuk niaga, dan hampir dua tahun juga saya mengambil masa untuk menyediakan resepi rahsia keluarga ini sesempurna masakan emak saya.

“Sejak kecil lagi, saya memang ada niat untuk membuka restoran masakan roti jala suatu hari nanti, niat ini yang mendorong saya untuk menjadi chef.

“Suatu hari nanti, biar dunia tengok makanan tradisional kita seperti roti jala dihidangkan lebih baik dari makanan barat di seluruh dunia,” ujar beliau lagi.  

SERTAI MASTER CHEF MALAYSIA
Mohd. Danial Firdaus selepas tamat pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut menerima tawaran melanjutkan pengajian di Kolej Universiti KDU Penang dekat Jalan Anson.

Tetapi, beliau memilih untuk menyertai rancangan realiti televisyen, Master Chef Malaysia Musim Pertama 2012 demi memburu impiannya untuk menjadi chef profesional.

Dari itu, Mohd. Danal Firdaus bersyukur kerana berjaya mendapat didikan daripada Chef Zubir Md. Zain.

“Lima enam tahun dulu, bidang Chef ini mungkin pilihan akhir di Universit sendiri, tetapi rancangan seperti Chef Selebriti Malaysia seakan telah mengubah tanggapan awam mengenai prospeks Chef di tanah air belakangan ini.

“Rancangan telefvisyen seperti ini pun lahir kerana banyak Chef anak kelahiran Malaysia berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Di luar negara, dunia kulinari sangat diiktiraf, sampai ada yang menganggap gelaran Chef macam suatu anugarah ‘Mayor’ (Datuk).

“Saya mula minat masakan Barat pun kerana saya minat masakan ‘Sifu’ saya, Chef Zubir Md. Zain, iaitu salah seorang juri rancangan realiti masakan, Chef Selebriti Malaysia dalam tempoh tiga tahun ini.

“Beliau merupakan salah seorang Chef Kapten yang mewakili Malaysia ke (kejohanan) Culinary World Cup.

Macam Chef Zubir, keistimewaannya dalam masakan Barat dan bakat masakan beliau ini sukar dijangka.

“Sampai ada Mat Saleh kata ‘He is born to cook’ dan apa sahaja yang dia sentuh (memasak) memang menjadi...beliau pada usia mudanya bebrapa kali membawa pulang medal emas dari Moscow, Australia,” ujar Mohd. Danial Firdaus.

Menurut beliau kekuatan seseorang Chef terletak pada kepakaran beliau memasak satu-satu resepi sama ada dari Barat atau masakan tradisional tertentu.  
“Yang kita kenal Chef Wan antara yang pakar dalam masakan tradisional Malaysia, tetapi ramai yang tidak tahu ada anak Melayu seperti ‘Chef Jasman’ antara Chef Eksekutif di atas Kapal Layar Queen Elezabert,” ujar beliau lagi.

SUKA DUKA
Mohd. Danial Firdaus berkata, beliau tidak pernah menyalahkan pandangan awam yang mengatakan bahawa bidang kulinari dan Chef ini adalah bukan bidang akademik pilihan utama di negara ini.


Tetapi, bagi mereka yang berminat untuk terjun dalam bidang kulinari ini, seharusnya mempunyai minat serta iltizam yang kuat.

“Mentaliti kena kuat kerana pelatih akan acap kali kena ‘bancuh’ dan kena maki di dapur masakan macam teguran pedas di dapur masakan dalam rancangan realiti televisyen.

“Semua teguran itu memang berlaku di dapur masakan yang sebenar, bukan menghina pelatif tetapi untuk membina bakal chef yang berkualiti.

“Bagi saya, kalau tak kena maki dan ‘ketuk’, mungkin tak jadi seperti sekarang.

“Sebenarnya suasana di dapur masakan memang tekanan, tak semua boleh melaluinya, seperti seorang askar nak menjadi komando, tidak semua layak dipilih menjadi komendo,” seloroh Mohd. Danial Firdaus.

TUKANG MASAK ASING
Mohd. Danial Firdaus mempunyai pendapat tersendiri mengenai insiatif Kerajaan Negeri menguatkuasa tukang masak gerai jalanan mesti warganegara sahaja.

“Memang diakui ada warga asing boleh masak lebih enak masakan tempatan sebab bakat.

“Dalam dunia Chef sendiri, kekuatan seseorang chef ini adalah terletak pada resepi mereka, sebab itu di Eropah, semua menu didaftar sebagai hak milik eksklusif seseorang Chef.

“Kalau di Eropah, kalau saya minat menu Chicken Chop  seorang Chef umpamanya, macam saya perlu beli player bola. Tak boleh mencuri menu chef tersebut begitu sahaja.

“Maka, saya perlu bayar royalti untuk menu Barat tersebut kepada Chef mereka.

“Di Malaysia bukan tidak ada semua ini, tetapi bidang kulinari di negara ini tidak sampai ke tahap itu seperti dunia kulinari di Eropah,” jelas beliau.

Bagaimanapun, katanya, ada pro dan kontra di sebalik usaha pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menguatkuasa peraturan terbaru tersebut.

HARAPAN
“Masakan tepi jalan merupakan salah satu masakan yang cukup enak di Pulau Pinang, tapi kalau saya nak mencari kedudukan dalam dunia masakan yang lebih tinggi, saya sendiri akan pergi ke Kuala Lumpur.

“Hotel di Pulau Pinang memang banyak, tetapi di Kuala Lumpur lebih banyak, maka persaingan di Kuala Lumpur lebih banyak.

“Sesetengah orang takut dengan persaingan, tetapi saya suka persaingan yang lebih banyak agar saya lebih berusaha untuk melakukan yang lebih baik.

“Chef yang ada ‘nama’ kalau di Pulau Pinang lebih baik buka di tepi jalan kerana mentaliti kebanyakan orang Pulau Pinang percaya makanan di tepi jalan lebih sedap.

“Jangan rasa dihina kerana buka kedai makan di tepi jalan seperti Dhap’s Deli’s ini, kerana ketinggian seorang Chef itu terletak pada bakatnya dalam masakan.

“Ke depan ini, saya memang nak membuka lebih banyak Dhap’s Deli’s di astaka-astaka kecil di sekitar Pulau Pinang seperti ini, jika nak ‘naik’ (maju) kelak,” ujar Mohd. Danial Firdaus.

Kejayaan dalam industri makanan di Pulau Pinang ini, katanya, akhirnya tergantung pada rezeki yang ditentukan Allah.

“Jangan takut memasak di tepi jalan, kerana banyak yang berjaya sebagai Chef yang saya temui memang ada menjual bakatnya bermula di tepi,” ujar Mohd. Danial Firdaus.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus