13 November 2014

Guan Eng nafi setuju syor Menteri unit polis komuniti ganti PPS

KETUA MENTERI (tengah) pada sidang media di sini, petang tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menafikan bahawa beliau telahpun bersetuju Pasukan Peronda Sukarela (PPS) digantikan dengan unit kepolisan komuniti, sepertimana kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada portal berita Malaysiakini.com. 

"Buat masa ini, pendirian (Kerajaan Negeri) Pulau Pinang tidak pernah berubah kita masih mempertahankan dan akan membawa perkara ini ke mahkamah untuk mencabar keputusan yang dibuat oleh Menteri untuk mengharamkan PPS.

"Kalau ini cadangan seorang menteri, harus diputuskan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri kerana kita (Kerajaan Negeri) bukanlah mengamalkan sistem di mana saya boleh membuat keputusan seorang diri," jelas Guan Eng kepada wartawan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini petang tadi.

Menurut Guan Eng, cadangan Ahmad Zahid itu disampaikan dalam suatu perbualan pada Rabu lepas, sebelum bermulanya persidangan Dewan Rakyat di lobi Parlimen.

"Kita bercakap soal keputusan sebuah kerajaan, bukan sembang-sembang kedai kopi yang tidak rasmi...bawa kertas kerja," ujar Guan Eng lagi.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri senantiasa mengalu-alukan Ahmad Zahid mengemukakan sebarang kertas cadangan berwajib untuk dinilai serta diputuskan oleh Mesyuarat Kerajaan Negeri. 

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi PPS), Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) dan Wong Hon Wei (Setiausaha Politik bagi Ketua Menteri) turut menyertai sidang media tersebut.

Terdahulu, Guan Eng mengumumkan penubuhan pasukan undang-undang negeri untuk membuat semakan kehakiman berhubung pengumuman terbaru Ahmad Zahid yang menyebut PPS sebagai pertubuhan haram.

Pasukan itu dianggotai oleh Tommy Thomas, Datuk S. Ambiga, Datuk Malik Imtiaz Sarwar, Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh.

Terdahulu, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 26 Ogos lepas mendakwa kewujudan PPS adalah bersalahan dengan undang-undang, kerana tidak pernah ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan, 1966.

Dakwaan itu, selepas insiden ahli perniagaan Ong Eu Soon, 51, mengaku diserang oleh dua lelaki berpakaian seragam PPS di Air Itam baru-baru ini.

Seramai 157 anggota PPS kemudiannya ditangkap pada 31 Ogos lalu sejurus selesai menyertai perarakan Sambutan Hari Merdeka Peringkat Negeri di Padang Kota Lama di sini, sebelum direman semalaman dalam lokap polis.

Guan Eng kemudiannya mengumumkan keputusan rasmi Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, iaitu 'merehatkan' keseluruhan operasi PPS sehingga ada deklarasi daripada mahkamah.

Pada 4 November lepas, Ahmad Zahid mengumumkan PPS sebagai pertubuhan haram, serta mengarahkan aset rasmi pasukan sukarelawan tersebut dirampas. 

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus