Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – Usul tergempar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon supaya menolak rancangan Kerajaan Pusat untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dijadualkan pada 1 April tahun depan sehingga tanah air mencapai negara maju serta berpendapatan tinggi telahpun mendapat sokongan daripada majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
“Jangan lagi menipu rakyat dengan mengatakan cukai GST ini tak akan menaikkan harga barang, itu kenyataan menipu diri sendiri,” ujar Khai Loon di DUN Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
ADUN Pulau Betong, Sr. Muhamad Farid Saad membangkang usul itu dengan berdalih bahawa Kerajaan Pusat sendiri mengkaji tentang kesan baik buruk di sebalik rancangan pelaksanaan sistem cukai baru itu.
Manakala, ADUN Seri Delima, R.S.N. Rayer pula berkata, kos sara hidup rakyat pasti akan melambung susulan pelaksanaan GST kelak.
“Saya sendiri telahpun membayar cukai jalan dan cukai pendapatan, dan sekarang akan bertambah satu lagi cukai iaitu GST.
“Saya sendiri merasai beban yang bakal ditanggung ini, bayangkan beban yang akan ditanggung oleh rakyat,” ujar Rayer pada sesi perbahasan usul tergempar tersebut.
Semalam, Khai Loon semasa mencelah sesi penggulungan Exco Ha Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim mengenai pendirian Kerajaan Negeri serta DUN Pulau Pinang berhubung cadangan Kerajaan Pusat melaksanakan GST.
“Machang Bubuk (Khai Loon) boleh mengemukakan usul tergempar esok (13 November 2014) memandangkan pelaksanaan GST dijadualkan pada 1 April depan, manakala, sidang DUN Pulau Pinang mungkin dijadualkan lebih lewat dari itu,” ujar Abdul Malik.
No comments:
Post a Comment