Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
BATU KAWAN - Kerajaan Negeri tidak pernah bersetuju dengan rancangan Persatuan Pemaju Pulau Pinang untuk membina sebuah lapangan terbang di sebuah pulau buatan, sebagaimana dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid.
Ketua Menteri Y.A.B Tuan Lim Guan Eng bagaimanapun berkata Kerajaan Negeri pernah mengemukakan permohonan kelulusan projek melalui Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) dengan anggaran peruntukan sebanyak RM600 juta untuk cadangan penaiktarafan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sedia ada dekat Bayan Lepas.
"(Lapangan terbang sedia ada) hendaklah dinaik taraf dan diperbesarkan untuk menampung pertambahan penumpang dan kargo semasa serta masa hadapan.
"Projek pembesaran lapangan terbang tersebut adalah tertakluk kepada kuasa dan kelulusan Kerajaan Persekutuan, melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia," ujar Guan Eng dalam Jawapan Bertulisnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dekat George Town pada 7 November lepas.
Difahamkan, Kerajaan Negeri dalam permohonannya mencadangkan landasan sedia ada dipanjangkan sekurang-kurangnya 3,700 meter bagi membolehkan kapal terbang bersaiz A380 mendarat di Pulau Pinang.
Kerajaan Pusat turut disyor memajukan landasan kedua bagi kemudahan pendaratan serta pengoperasian kargo udara.
Tidak cukup dengan itu, Kerajaan Pusat dicadangkan untuk mewujudkan hub operasi 'Maintenance, Repair & Overhaul' (MRO) di mana Pulau Pinang menjadi hub operasi penyelenggaraan serta baik pulih aviasi serantau.
"Kerajaan Negeri tidak pernah bersetuju dengan lain-lain cadangan selain yang dinyatakan di atas," respons Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.
No comments:
Post a Comment