Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
PHUKET, THAILAND - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengetuai delegasi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) ke Phuket, Thailand demi menandatangani perjanjian persefahaman 'Bandar Sahabat' demi manfaat masa depan kedua-dua belah pihak.
Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri berminat untuk menimba pengalaman daripada industri pelancongan di Phuket, dan bersedia untuk berkongsi pengetahuan teknologi yang wujud di negeri ini.
Tambah beliau, kerjasama erat kedua-dua belah pihak dalam sektor perdagangan, pelaburan, pelancongan, ekonomi dan pembangunan sangat diperlukan demi mendepani iklim perdagangan bebas membabitkan negara-negara ASEAN tidak lama lagi.
"Pembukaan perdagangan bebas ASEAN menjelang 2016 menandakan satu lembaran baru perdagangan, pelaburan, pelancongan, ekonomi dan pembangunan kerjasama bagi 600 juta orang yang tinggal di ASEAN.
"Status 'Bandar Sahabat' antara Pulau Pinang (George Town) dan Phuket menandakan satu lembaran baru hubungan produktif saling menguntungkan bertukar-tukar kepakaran Phuket dalam pelancongan dengan pengetahuan teknologi Pulau Pinang.
"Walaupun ia mengambil masa lebih 10 tahun untuk memperbaharui persahabatan kita, itu adalah lebih baik daripada tidak pernah langsung," ujar Guan Eng kepada wartawan di sini baru-baru ini, sambil menjelaskan bahawa kedua-dua belah pihak mempunyai persaudaraan dari segi sejarah lebih 100 tahun dulu.
Sebelum itu, Guan Eng menyaksikan pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) 'Bandar Sahabat' antara Yang di-Pertua Datuk Ir. Patahiyah Ismail dengan Datuk Bandar Phuket, Somjai Suwansupana.
Dua MoU lain turut ditandatangani, iaitu antara Marrybrown dan sebuah syarikat perniagaan Thailand, serta pembelian sebuah hotel di sini yang membabitkan ahli perniagaan terkenal Pulau Pinang, Datuk Syed Mohd. Aidid Syed Murtaza.
Majlis bersejarah tersebut turut disaksikan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir Negeri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Maitri Inthusu (Gabenor Puket), Krit Kraichitti (Duta Thailand Ke Malaysia) dan Srirat Vathesatogkit (Konsul Besar Thailand ke Pulau Pinang).
Guan Eng berkata, rekod Phuket mempunyai 70,000 bilik hotel serta menerima kira-kira 12 juta pelancong tiap-tiap tahun banyak memberi inspirasi kepada Kerajaan Negeri untuk mengembangkan potensi industri pelancongan warisan di Pulau Pinang.
"Masuk Pulau Pinang, ada kelompok kreatif dengan 3S, iaitu Bakat, Toleransi dan Teknologi untuk dikongsi kepakaran dengan Puket," ujar Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Penerangan, Warisan, Kesenian dan Hal Ehwal Bukan Islam.
Setakat ini, Medan dekat Indonesia, Adelaide (Australia), Taipei (Taiwan), Xiamen (China) dan Kanagawa (Jepun) merupakan antara bandar yang telah menjadi 'Bandar Berkembar' dengan George Town dekat Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment