14 July 2014

Tak patut Perak jual air terawat, Guan Eng tuntut campurtangan Pusat

KETUA MENTERI menunjukkan surat rasmi yang telahpun dihantar kepada Dr. Maximus Johnity Ongkili pada 26 Jun lepas, antara lain memohon Kerajaan Pusat menunaikan janjinya untuk membiayai projek air mentah Perak ke negeri ini. | Foto: Arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Hasrat Kerajaan Perak mahu menjual air terawat sahaja, walaupun Kerajaan Pulau Pinang berhasrat untuk membeli air mentah sahaja perlu campurtangan daripada Kerajaan Pusat.

Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng berkata, pihaknya hanya bersetuju untuk membeli air mentah sahaja demi memastikan tarif air di negeri ini tidak melambung naik disebabkan impak berantai oleh pembelian air terawat dari Perak semahal kira-kira 73 sen setiap 1,000 liter padu.

Lagipun, kata Guan Eng lagi, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili sendiri pernah berjanji untuk memenuhi keperluan air mentah Pulau Pinang pada masa hadapan, sebagaimana disebut semasa pemeteraian perjanjian penghirahan aset dari Pulau Pinang kepada Pusat, sebelum ini.

"Saya tidak bersetuju kerana tarif air terawat Perak adalah 2.3 kali ganda tarif Air Pulau Pinang, (walhal) dalam cadangan tarif air domestik terbaru (Pulau Pinang) pun masih kekal terendah berbanding negeri-negeri lain.

"Mengapa Pahang boleh menjual air mentah kepada Selangor, mengapa Pulau Pinang tidak boleh membeli air mentah (dari) Perak...ini sama sekali tidak adil untuk rakyat Pulau Pinang.

"Saya berharap Pusat boleh campur tangan, serta menunaikan janjinya untuk memajukan SPRWTS (Cadangan Skim Bekalan Air Mentah Sungai Perak) dengan peruntukan RM2 bilion, demi menjamin bekalan air mentah selepas tahun 2020 di Pulau Pinang mencukupi," ujar Guan Eng di sini baru-baru ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan & Utiliti, Lim Hock Seng dan Wong Hon Wai (Setiausaha Politik bagi Ketua Menteri) turut menyertai sidang media itu.

Guan Eng dalam surat bertarikh 26 Jun lepas kepada Dr. Maximus Johnity ada  menjelaskan, tarif air domenstik Pulau Pinang yang dicadangkan adalah serendah 32 sen per 1,000 liter untuk kegunaan 35,000 meter padu pertama tiap-tiap bulan.

Surat sama turut menjelaskan bahawa Kerajaan Perak melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) pada 16 Disember tahun lepas bahawa mereka hanya bersetuju menjual air terawat sahaja kepada Pulau Pinang.

Justeru, Guan Eng menegaskan, pembelian air terawar daripada Kerajaan Perak akan mengakibatkan wujud peningkatan kos berantai pada pengurusan bekalan air terawat negeri, sekaligus, menjejaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk mengekalkan tarif air terendah berbanding negeri-negeri lain.

Dalam perkembangan sama, portal berita Berita Harian pada 10 Julai lepas turut melaporkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengesahkan bahawa mereka hanya akan menjual air terawat, walaupun ada negeri tertentu mahu membeli air mentah daripada Kerajaan Perak.

"Tak payah segan-segan dan malu-malu untuk menyebut nama Pulau Pinang, memang kita (Kerajaan Negeri) mahu membeli air mentah demi memastikan bekalan air mencukupi sehingga tahun 2050, tanpa sebarang catuan (bekalan air mentah)," seloroh Guan Eng.

Terdahulu, Kerajaan Pusat pada 18 September tahun lepas menolak permohonan Kerajaan Pulau Pinang untuk membiayai projek air mentah dari Sungai Perak ke negeri ini, serta meminta cadangan kajian tarif air yang baru segera dihantar kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) Ir. Jaseni Maidinsa dalam satu kenyataan pada hujung bulan April lepas menjelaskan, Kerajaan Negeri turut diminta menumpukan perhatian pada langkah mengurangkan penggunaan air yang tinggi, bukannya mencari sumber baru bagi menghadapi risiko kekurangan air pada tahun 2020 nanti.

Atas semua syor Putrajaya itu, Kerajaan Negeri mencadangkan tarif air domestik serendah 32 sen per 1,000 liter untuk kegunaan 35,000 meter padu pertama sebulan dilaksanakan, manakala, surcaj hanya dikenakan kepada pembazir bekalan air terawat sahaja.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus