Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN - Cadangan kajian semula tarif air Pulau Pinang akan dihantar kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk kelulusan minggu depan, gara-gara pendirian Putrajaya pada 18 September tahun lepas menolak permohonan Kerajaan Negeri untuk membiayai pemindahan air mentah dari Sungai Perak ke negeri ini.
Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) Ir. Jaseni Maidinsa (gambar) menjelaskan, Kerajaan Negeri turut diminta menumpukan perhatian pada langkah mengurangkan penggunaan air yang tinggi, bukannya mencari sumber baru bagi menghadapi risiko kekurangan air pada tahun 2020 nanti.
Bagaimanapun, katanya lagi, pengguna domestik di negeri ini masih tetap akan menikmati tarif termurah di Malaysia, sebagaimana dicadangkan dalam kajian semula tarif air negeri tersebut.
"Secara keseluruhannya, purata kenaikan (tarif air domestik) yang dicadangkan dalam semua kadar adalah 20(.05) peratus.
"Kajian semula tarif air ini untuk elak catuan air," ujar Jaseni tengah hari tadi kepada wartawan di sini.
Menurut beliau, kejayaan Kerajaan Negeri menguruskan sumber air negeri tanpa langkah catuan seperti di beberapa negeri lain semasa musim kemarau baru-baru ini sepatutnya tidak dijadikan asas untuk menolak permohonan Kerajaan Negeri dalam mencari sumber mentah yang baru.
Difahamkan, tarif air negeri sekarang masih kekal terendah pada kadar 31 sen bagi 1,000 liter padu hingga 35,000 liter padu air yang pertama.
Manakala, diskaun 60 peratus bagi surcaj pemuliharaan air (WSC) akan tetap diberikan kepada keluarga yang terdiri terdiri oleh isi rumah lapan orang dan ke atas berkuatkuasa 1 Mei depan, demi memastikan kenaikan tarif nanti tidak membebankan pengguna.
Seramai 471,460 orang didaftar sebagai pengguna domestik air di Pulau Pinang sehingga 31 Disember tahun lepas, menyamai 60 peratus daripada keseluruhan penggunaan air negeri.
Cadangan PBAPP antara lain tiada kenaikan bagi penggunaan 20 meter padu yang pertama, selaras dengan arahan Kerajaan Negeri yang tidak mahu membebankan golongan berpendapatan rendah serta tidak mahu menghukum konsumer yang tidak membazirkan bekalan air bersih negeri.
Dalam cadangan itu, kenaikan tarif adalah kepada pengguna air pada kubik meter (band) berikutnya.
Direkodkan, 375,714 pengguna domestik atau 79 peratus menggunakan air sehingga 40 meter padu tiap-tiap bulan.
Dari angka itu, baki 21 peratus lagi menggunakan air secara berlebihan, serta dianggarkan perlu membayar tambahan 30 peratus tiap-tiap bulan.
"Mereka perlu membayar lebih kecuali jika mereka mengurangkan penggunaan air mereka," cadang Jaseni, sambil memberitahu bahawa kali terakhir tarif air bagi penggunaan domestik melebihi 40 meter padu sebulan dikaji semula pada tahun 2001.
Kali terakhir caj minimum untuk bekalan air domestik dan tarif untuk penggunaan sehingga 40 meter padu dikaji semula adalah pada tahun 1993.
Dalam perkembangan sama, Jaseni menjelaskan, purata kenaikan tarif air untuk semua kadar kegunaan perniagaan pada angka 18.8 peratus dicadangkan kerana kali terakhir pihaknya melakukan kajian semula tarif bagi jenis kegunaan itu adalah pada tahun 2010.
No comments:
Post a Comment