Skip to main content

2,679 pemandu teksi terima RM300 insentif KN menjelang Aidilfitri

KETUA MENTERI (tengah, berbaju biri, bertali leher dan pemimpin Kerejaan Negeri merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama pemandu teksi, teksi pelancongan dan kereta sewa di sini, pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB


GEORGE TOWN - Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng berkata, seramai 2,679 pemandu teksi, teksi pelancongan dan kereta sewa yang berdaftar di bawah Kerajaan Negeri menerima sumbangan insentif RM300, dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM803,700.


“Seramai 2,072 orang pemandu di bahagian pulau dan 607 orang pemandu di bahagian Seberang Perai terima insentif ini...saya harap semua (penerima) terus mempromosi Pulau Pinang.

“Selagi Kerajaan Negeri mendapat mandat, kita akan beri RM600 tahun, (iaitu) RM300 kita beri awal tahun, dan bakinya RM300 sekarang.

“Kita tak seperti Kerajaan Pusat dengan beri (RM500) lima tahun sekali (sempena Pilihan Raya Umum Ke-13),” ujar Guan Eng di Dewan Sri Pinang di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna), Wong Hon Wai (ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik bagi Ketua Menteri), dan Abd. Malik Darus (Pengerusi Gabungan Persatuan Pemandu Teksi & Kereta Sewa Negeri Pulau Pinang) turut hadir pada majlis itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng berkata Kerajaan Negeri bersedia untuk menjadi orang tengah antara pertubuhan gabungan itu dan Putrajaya berhubung beberapa isu berbangkit yang menyentuh kepentingan pemandu teksi persendirian di negeri ini.

Malah, katanya lagi, Kerajaan Negeri turut bersedia untuk menawarkan kos khidmat guaman, sekiranya pasukan Abd. Malik nekad mahu mengfailkan saman di mahkamah berhubung isu-isu berbangkit tersebut.

Sebelum itu, Abd. Malik membangkitkan isu syor Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya semua teksi persendirian yang berusia lewat 10 tahun sahaja ditukar dengan kenderaan nasional Proton Exora, jika mahu permit teksi mereka diperbaharui.

“Mengapa mesti Exora, kalau kena pakai gear satu kalau nak naik bukit Balik Pulau, enjin kereta ini pun ‘makan’ minyak kuat.

“Mengapa teksi persendirian sahaja diminta tukar pada Exora jika nak permit, teksi syarikat yang berusia lebih 10 tahun tidak pula susah berurusan dengan SPAD,” soal Abd, Malik semasa berucap pada majlis sama.

Pun begitu, Abd. Malik memberitahu, SPAD pada rundingan dua bulan lepas bersetuju untuk memperbaharui permit dalam tempoh setahun sahaja lagi untuk teksi persendirian yang berusia 10 tahun.

Selain itu, Abd. Malik turut mempertikai syor SPAD memperkenalkan tarif meter baru khusus untuk mereka yang bertukar pada kenderaan Teksi 1Malaysia (TEKS1M), selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Takkan TEKS1M sahaja diberi nikmat jika kadar sewa naik nanti.

“Adakah kerana rata-rata kami yang berusia 60 tahun ini susah untuk dapat penjamin jika nak pinjam beli Exora, maka, kami ditekan sebegini,” soal Abd. Malik lagi.

Bagaimanapun, Abd. Malik berkata, pihaknya hanya berhasrat menerima tawaran Kerajaan Negeri untuk menjadi ‘orang tengah’, tetapi, tidaklah sampai mahu dibantu merujuk beberapa isu berbangkit tersebut ke mahkamah.

“Kita sangat hargai tawaran (kos khidmat guaman) Kerajaan Negeri, ini (insentif RM300) adalah pemberian yang ulung-ulung di Malaysia kerana hanya di negeri ini sahaja saja kita dapat.

“Kita lebih percaya kaedah rundingan dengan SPAD, sebab itu kita mungkin minta Kerajaan Negeri jadi ‘orang tengah’ jika perlu nanti,” ujar Abd. Malik lagi.

Menjelang perayaan Tahun Baru Cina pada awal Februari lepas, seramai 1,969 penerima berdaftar menerima sumbangan RM300, manakala, pada majlis kali ini penerima direkodkan bertambah 710 orang lagi.