Skip to main content

P.Pinang sasar 28 pingat emas Sukma Perlis

SEBAHAGIAN 320 atlet bergambar kenang-kenangan bersama tetamu kehormat pada Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Pulau Pinang ke Sukan Malaysia XVII Perlis 2014 di sini baru-baru ini. | Foto: arkib Buletin Mutiara

MOKHTAR Mohd. Jait (kanan) ditemani Ong Poh Eng meramahi pasukan wushu kontinjen Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Pulau Pinang mensasarkan 28 pingat emas daripada 10 acara yang dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-17 di Perlis, ujar Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait kepada wartawan baru-baru ini.

Menurut beliau, 320 atlet diturunkan untuk merebut pingan emas, terutama dalam karate, memanah, angkat berat, wushu, renang, olahraga, tenis, sepak takraw, hoki dan bola sepak.

“Saya yakin kontinjen negeri mampu mencapai sasaran yang diilhamkan dengan menunjukkan semangat juang yang tinggi," katanya, ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera kepada kontinjen negeri di sini.

Frederick Tan dalam kenyataannya berkata, sasaran 28 pingat emas kali ini berdasarkan prestasi memberangsangkan atlet-atlet negeri, serta persiapan dan latihan rapi sejak tahun lalu.

Mokhtar menyerahkan bendera tersebut kepada Timbalan Pengerusi 2 bagi Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) merangkap chef-de-mission Kontinjen Pulau Pinang, Datuk Ong Poh Eng, sebelum diamanatkan kepada pemain badminton kebangsaan, Goh Jin Wei.

Menurut Mokhtar, Sukma adalah platform terbaik untuk atlet negeri mengukir nama di persada negara mahupun antarabangsa.

Mokhtar turut melaungkan Go! Penang Go! bagi membakar semangat atlet untuk terus berjuang sehingga ke garisan penamat.

Majlis itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, T'eh Lai Heng, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Pembangunan) Datuk Abu Jamal Nordin, Pengarah Urusan Kumpulan Hunza Properties Berhad, Khor Siang Gin, Penolong Pegawai Memerintah Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Sungai Dua, Mejar Werar Suleiman Ali dan Pengarah MSNPP, Frederick Tan Teck An.