Skip to main content

Musafir ke Selatan Thai, dekati budaya Melayu-Islam kini

ALHAMDULILLAH, kerja-kerja editing berita di pejabat selesai.

Saya dan kawan-kawan dalam perjalanan ke Thailand.

Kalau ikut jadual, lewat petang ini ada pertemuan dengan grup wartawan di Thailand.

Nama wartawan yang saya nak berjumpa Haji Badri.

Beliau adalah orang penting di TVM, iaitu antara siaran televisyen yang giat melaporkan mengenai aktiviti perniagaan serta koperasi komuniti Melayu Thailand.

Menurut Penasihat Infaq Kebajikan Ummah Takaful (IKUT) Pulau Pinang, Zolkifly Md Lazim, Melayu di Utara Semenanjung Malaysia sebenarnya mempunyai hubungan darah yang erat dengan komuniti Melayu Islam di Selatan Thai.

"Dulu, ada Kerajaan Islam Patani. Kerajaan Patani pernah 'futuwwah' sampai ke Bengkok, semasa Kerajaan Tua Siam tewas dalam perang dengan Burma.

"Tradisi Melayu Islam seperti di pondok-pondok dekat Selatan Thai adalah rahmat Allah daripada Kerajaan Islam Patani dulu," jelas Zolkifly yang juga AJK Perhubungan PAS Pulau Pinang.

Katanya, delegasi dakwah antarabangsa IKUT kali ini, adalah kesinambungan pertemuan mahabbah yang diadakan di D'BM Hospital Permatang Pauh, Januari lepas.

"Kalau sempat, Kita bertemu dengan Haji Suhaimi, di Klongek Singoro," ujar Zolkifly lagi.

Hujung tahun 1980-an, semasa Harakah baru ditubuhkan, Haji Suhaimi merupakan salah seorang wartawan muda di bilik berita organ penerangan PAS.

Sekarang, Haji Suhaimi mempunyai empayar media Melayu Islamis tersendiri, di Selatan Thai.

Haji Suhaimi, katanya, masih di Bangkok sekarang, harap-harap dapat berjumpa dengan beliau kerana saya nak tahu mengenai projek budaya di Selatan Thai.

"Baju telok belanga kini kian popular di Selatan Thai, terutama dalam program rasmi negara kerana komuniti Melayu Islam giat mencari identiti mereka balik," ujar Zolkifly lagi.

Saya kata, Haji Suhaimi yang saya kenalpun giat turun ke Kuala Lumpur kerana beliau aktif dalam GAPENA.

Dalam asyik-asyik bersembang dengan dua wartawan besar di Selatan Thai berkenaan, Ustaz Izham Hashim (Pengerusi Pertubuhan Membela Anak Yatim Mutiara Infaq Malaysia) tanya, "hang tahukah Faqar ke mana Kita akan pergi?"

"Klongek Singora...." saya menyahut.

Abang Zolkifly dan Ustaz Izham saling gelak dengan telatah saya.

"Tempat rakyat Malaysia 'pasang cawangan nombor 2, 3 atau 4," celah Ustaz Izham.

Bermusafir dengan orang lama macam mereka, selalulah kena usik.

"Tak habis-habis mengusik kita...tau lah anak dan isteri berjauhan dengan kita," bisik saya seorang diri.

Bersambung...

ZAINULFAQAR YAACOB
Fotojurnalis P.Pinang | 4.06 petang
Hutan Kampung

+60194241583