Skip to main content

RM15 juta harap Bukit Bendera destinasi No.1

(Dari kiri) Diana Kacak, Siti Hajjar Hassan dan Zainulfaqar Yaacob serta 'Insyirah Soleh' (anak) bergambar kenang-kenangan di pintu masuk Stesen Keretapi Bukit Bendera, Sabtu lepas.
KETUA Menteri dan dif-dif lain merakamkan gambar kenang-kenangan dengan pelajar-pelajar jurusan perubatan Kolej PTPTL Cawangan Sungai Petani, Kedah pada majlis Ulang Tahun Ke-3 Blue Coach Bukit Bendera di sini, Sabtu lepas.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

AIR ITAM - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melalui Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) mengumumkan peruntukan RM15 juta lagi untuk projek menaik taraf Bukit Bendera pada tahun ini demi memastikan kawasan peranginan itu menjadi destinasi pelancongan tanah tinggi pilihan utama negara.

“Menjelang tahun 2015, kita harap projek ini siap sepenuhnya.

“Kita, Pulau Pinang boleh menjadi (destinasi pelancongan tanah tinggi) nombor satu di negara ini,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih pada Majlis Ulang Tahun Ke-3 Blue Coach Bukit Bendera di sini baru-baru ini.

Pengurus Besar PBBPP, Dr. Lawrence Khoo, Zairil Khir Johari (Ahli Parlimen Bukit Bendera), Wong Hon Wai (ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik bagi Ketua Menteri) dan Cheah Kah Peng (ADUN Kebun Bungah) turut hadir pada majlis itu.

Menurut Guan Eng, keretapi berkembar yang diberi nama ‘Pinang’ dan ‘Mutiara’ itu kembali mula beroperasi sepenuhnya pada 24 April 2011.

Sebuah keretapi itu boleh memuatkan 100 orang dalam satu-satu masa dengan kelajuan enam hingga 10 meter per saat,

Keretapi yang penuh dengan nilai keunikan itu mengambil masa tujuh minit untuk naik dan turun dari atas Bukit Bendera ke stesen bawah di sini.

Pada majlis sama, seramai 300 anak yatim dan warga emas daripada pelbagai pertubuhan turut diraikan dalam program tanggungjawba sosial korporat (CSR) PBBPP, serentak dengan keraian Majlis Ulang Tahun Ke-3 Blue Coach Bukit Bendera.

Guan Eng turut merakamkan penghargaan pada persembahan tarian daripada sekumpulam pelajar jurusan perubatan dari Kolej PTPTL Cawangan Sungai Perani, Kedah.

Dalam perkembangan berkaitan, Bukit Bendera sebelum ini pernah direkodkan menerima kehadiran pelancong paling tinggi pada hari kedua raya Aidilfitri tahun 2013, iaitu seramai 10,301 pengunjung.

Angka itu, sekaligus, memecah rekod kunjungan pelancong sejak Bukit Bendera mula dibuka pada tahun 1923.