04 April 2014

“P. Ramlee sejuta jiwa, seribu watak”

MOHD. Salleh Man menyampaikan ucapan serta merasmikan keraian Tan Sri P. Ramlee Dalam Kenangan di sini baru-baru ini.
(Dari kiri) Mohd. Yussof Latiff, Hasan baseri Budiman, Siri Neng Buah dan Mahyuddin Ahmad pada sesi Bual Bicara Tan Sri P. Ramlee Dalam Kenangan di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Kritikan sosial Allahyarham Tan Sri P. Ramlee melalui hasilan karya-karyanya yang dianggap terus hidup sampai sekarang mungkin salah satu punca jiwa seniman agung itu tidak mati dimamah zaman.

Timbalan Pengarah Lembaga Perpustakaan Awam Pulau Pinang, Datuk Mohd. Salleh Man berkata demikian pada perasmian majlis Tan Sri P. Ramlee Dalam Kenangan dekat Perpustakaan Negeri di sini baru-baru ini.

“Nak mencari seorang seniman sejuta jiwa seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sangat sukar kerana wataknya walaupun dalam filem, seakan terus hidup dan mengkritik sosial masyarakat kita sehingga hari ini,” ujar Mohd. Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir.

Ahli Lembaga Pengarah PPAPP, Datuk Drs. Anuar Hamid turut berucapan pada majlis perasmian itu.

Hadir sama, Pengerusi Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang (KPPRPP) merangkap Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff, Siri Neng Buah (budayawan yang juga dikenali sebagai Tok Dalang wayang kulit Siam Kelantan), Dr. Mahyuddin Ahmad (Ahli Akademik dari Universiti Sains Malaysia, USM) dan penulis terkenal, Hasan Baseri Budiman.

Mohd. Yussof pada Sesi Bual Bicara turut menganggap P. Ramlee sebagai ‘seniman sejuta jiwa’, sebagaimana diungkapkan oleh Mohd. Salleh.

“Saya juga cukup hairan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ini mempunyai sejuta jiwa seribu watak yang sehingga hari ini kita merasai beliau masih hidup jika menonton filem-filemnya.

“Kalau dia masih hidup pada ketika ini, dia kena tiup 85 batang lilin pada kek (kerana usianya 85 tahun),” cuit Mohd. Yussof sambil menceritakan mengenai watak P. Ramlee.

Mohd. Yussof turut mencadangkan P. Ramlee dimahsyurkan sebagai Tokoh Perpaduan Nasional memandangkan masej-masej perpaduan antara kaum sangat jelas dibawa dalam filem-filem hasilan seniman agung itu.

Manakala, Siri Neng Buah pula mendedahkan, kebanyakkan yang dipaparkan dalam filem P. Ramlee itu adalah watak sebenar yang hidup pada zamannya.

Persembahan Drama Sebabak Filem Tan Sri P. Ramlee, nyanyian lagu-lagu hasilan P, Ramlee serta pertandingan mewarna melibatkan kanak-kanak merupakan antara acara samping menarik sepanjang majlis memperingati seniman agung kelahiran Pulau Pinang itu.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus