Skip to main content

Kempen kitar semula MPSP ke Tadika pula

PHEE Boon Poh (lima dari kiri), Maimunah Mohd. Sharif (empat dari kiri) bersama tetamu lain pada perasmian majlis di sini, petang tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PERAI – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) melanjutkan kempen kitar semula ke peringkat sekolah tadika pula, selepas program Anugerah Sekolah Hijau yang dilaksanakan sejak tahun 2009 hingga sekarang terus mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar di negeri ini.

Yang di-Pertuanya Maimunah Mohd. Sharif mensasarkan penyertaan 40 buah daripada 173 tadika yang dilesenkan di sektar Seberang Perai untuk tahun pertama penganjuran kempen nilai tersebut.

“Kira-kira 35 sekolah sahaja yang menyertai Anugerah Sekolah Hijau pada tahun pertama ia dilancarkan, tetapi, sebanyak 105 buah sekolah hantar borang penyertaan sehingga kini, iaitu 31 sekolah menengah dan 74 sekolah rendah.

“Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 19 buah sekolah berbanding tahun 2013, sebanyak 86 sekolah.

“Kita berharap program 4R, iaitu Rethink, Reduce, Reuse dan Recycle ini turut mendapat sambutan di peringkat sekolah tadika,” ujar Maimunah petang tadi pada Majlis Pelancaran Anugerah Kitar Semula Sekolah Tadika dan Pengumpulan Bekas Polisterina di Megamall Penang di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, jumlah kitar semula seberat 56,264.436 ton oleh MPSP di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini bersamaan dengan penjimatan kos sebanyak RM1,136,541.60. 

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dalam ucapan perasmiannya pula berkata, Penang Green Council sendiri sedang giat menguatkuasa kempen sifar polisterina di beberapa pasar raya yang dikenal pasti.  

Wakil Kelab Lion Seberang Perai, Vdg Lion Ooi Chou Syhuan dan Zainal Abidin Ismail Alyamni (Pengerusi Syarikat Optotronic Semiconductors Sdn. Bhd.) selaku penganjur bersama program tersebut turut berucap pada majlis itu.

Hadir sama, Setiausaha bagi MPSP, Sr. Rozali Mohamud.

Maimunah menjelaskan, pengumpulan tidak kurang 300 kiligram sisa dan inisiatif berwajib lain untuk mencapai Program 4R merupakan antara syarat kelayakan asas menyertai pertandingan tersebut.

“Hadiah-hadiah akan berasaskan per kapita,” ujarnya.

20 hadiah cemerlang berupa wang tunai RM200 dan RM100 untuk 20 hadiah saguhati menunggu sekolah yang terpilih dalam majlis anugerah ini.

Bengkel berwajib untuk program ini ditetapkan mulai bulan April hingga Ogos, manakala, penilaian juri serta acara penyampaian hadiah dijadualkan pada 30 September depan.  

Perkembangan terbaru ini sekaligus menyerlahkan amalan Kerajaan Negeri mengiktiraf inisiatif sekolah-sekolah tadika sekitar Seberang Jaya dalam melaksanakan Program 4R yang diperkenalkan oleh MPSP.