Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
KELUARGA Karpal Singh pada sidang media di Komtar, tadi. |
GEORGE TOWN - Keluarga Karpal
Singh tengah hari tadi melahirkan rasa terharu dengan initiatif Kerajaan Negeri
menguruskan majlis penghormatan terakhir mendiang ‘Tiger of Jelutong’ berkenaan
selama tiga hari bermula Jumaat lepas, yang menerima kehadiran luar jangkaan
50,000 orang dari seluruh negara.
Justeru, anak
sulung Karpal, Jagdeep Singh Deo mengalu-alukan seluruh rakyat Pulau Pinang,
yang beragama Sikh untuk sekali lagi menyertai upacara ritual terakhir
kepada mendiang di rumah ibadat Wadda Gurdwara Sahib di sini pada hari Khamis
hingga Sabtu ini.
“Ini adalah upacara
ritual terakhir untuk Karpal, kami (keluarganya) menjemput seluruh rakyat Pulau
Pinang untuk beri partisipasi,” ujar Jagdeep yang juga Exco Perancangan Bandar
& Desa dan Perumahan kepada wartawan di sini.
Exco Kerajaan
Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Gurmit Kaur
(balu Karpal) serta ahli-ahli keluarga terdekat mendiang turut hadir pada
sidang media itu.
Hadir sama,
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai, Ooi Chuan Aun (Ahli
Parlimen Jelutong), R.S.N. Rayer (Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Delima), serta
tiga Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Lee Chun Kit, Ong Ah Teong dan
D.S. Harvinder Singh.
Sementara itu, Gurmit
dalam nada sebak turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak berwajib yang
menguruskan majlis perhormatan terakhir kepada suaminya.
Manakala, Kon Yoew
pula merakamkan penghargaan kepada keluarga Karpal kerana memberikan kerjasama sepenuhnya
dengan wakil Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk
Mokhtar Mohd. Jait sepanjang berlangsungnya majlis tersebut.
“Saya merasa lega apabila majlis penghormatan ini dapat
berjalan dengan lancar, walaupun masih ada pelbagai ketidaksempurnaan yang
menyebabkan ramai orang awam yang tidak diberikan peluang untuk memasuki Dewan
Sri Pinang bagi menziarahi mayat mendiang Karpal Singh.
“Saya pohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul,” ujar Kon Yeow
selaku penyelaras Majlis Penghormatan Terakhir Kepada
Karpal anjuran Kerajaan Negeri.
Karpal Singh, 74, bersama-sama pembantu peribadinya, Michael
Cornelius Selvam Vellu, 39, maut dalam nahas jalan raya di kilometer
301.6 Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) menghala ke Utara berhampiran Gua
Tempurung kira-kira detik 1.30 pagi Khamis, 17 April lalu.
No comments:
Post a Comment