Skip to main content

Portal MPSP dapat lagi penarafan 5 bintang!

(Dari kiri) Rezal Huzairi Md. Zaki, Rozali Mohamud, Maimunah Mohd. Sharif dan Tan Cheong Heng pada sidang media di sini, semalam.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Portal rasmi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk tahun ketiga berturut-turut mendapat penarafan lima bintang dalam pertandingan Portal Kerajaan Malaysia 2014, anjuran Multimedia Development Corporation Sdn. Bhd.

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif memberitahu bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus akan mengambil hadiah penghargaan di Auditorium Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dekat Putrajaya pada 28 Mac ini.

"Anugerah ini telah kita capai tiap-tiap tahun sejak tahun 2011 lagi, maka, saya berharap kita mempertahan pencapaian ini pada tahun-tahun hadapan," ujar beliau semalam, selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSP Kali Ke-477 Bil.3/2014 di Kompleks Ibu Pejabat MPSP Bandar Perda di sini.

Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamod serta tiga Ahli Majlis lain, Tan Cheong Heng, rezal Huzairi Md. Zaki dan Ahmad Kaswan Kassim turut hadir pada sidang media itu.

Maimunah memberitahu, sebanyak 30 sesawang rasmi kerajaan di Pulau Pinang dinilai pada pertandingan kali ini, manakala, penarafan lima bintang diberikan pada 14 laman rasmi, termasuk portal MPSP.