16 December 2013

Tak cukup kutip untung bersih naik kadar tol pula, respons Guan Eng kepada Menteri JPM

LIM Guan Eng
SYARiKAT konsesi tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sehingga 31 Disember 2010 pernah didedah mengutip keuntungan kira-kira RM18.3 bilion walaupun kos pembinaan lebuh raya utama yang menghubungkan Utara dan Selatan Semenanjung Malaysia itu direkodkan RM5.9 bilion sahaja.

Dianggarkan, syarikat kroni untung 52 sen bagi setiap satu ringgit yang diperas daripada pengguna lebuh raya itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelang musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (5 Mei lepas) menangguhkan cadangan itu, tetapi, kadar tol PLUS dikatakan naik 5 peratus setiap tiga tahun bermula pada tahun 2016 nanti.

Bagaimanapun, kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof sebelum ini dan dalih terbaru Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Abdul Wahid Omar membayangkan kenaikkan harga tol lebih awal dari jangkaan, iaitu bermula tahun depan (2014).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam reaksi spontan petang tadi berkata, cadangan menaikkan kadar tol baru-baru ini merupakan antara kegagalan Kerajaan Pusat mengamalkan tender terbuka hingga membawa pada keengganan mendedahkan inti perjanjian dengan syarikat-syarikat konsesi walaupun dituntut oleh khalayak. 

Respons Guan Eng yang juga Setiausaha DAP Kebangsaan itu sekaligus menolak dalih Abdul Wahid yang dilaporkan mencadang rakyat menggunakan jalan raya 'biasa' bagi mengelak lebuh raya bertol.

"Tiada tender terbuka, maka syarikat-syarikat itu dapat menetapkan harga (kadar tol) dengan sendirinya, tanpa memastikan harga yang paling baik kepada para pengguna.

"Ini yang menguntungkan syarikat (konsesi), tetapi, rakyat Malaysia rugi. 

"Kita tahu bahawa semua syarikat tol untung besar dan ada yang sudah dapat balik pelaburan dan hanya kutip wang keuntungan sahaja," ujar Guan Eng pada petang tadi dalam satu sidang media di Komtar, George Town.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, syarikat konsesi Jambatan Pertama Pulau Pinang seharusnya tidak menaikkan kadar tol.

Ini kerana, katanya, kutipan tol sejak jambatan itu dibuka pada awal 1980-an sebenarnya sudah membayar balik kos pembinaan jambatan itu, sekarang.

Malah, Guan Eng sebelum ini pernah berkata, syarikat konsesi dengan sokongan Kerajaan Pusat tidak sepatutnya melanjutkan tempoh kutipan tol hingga 2038 serentak dengan Jambatan Kedua Pulau Pinang memandangkan perjanjian konsesi jambatan pertama itu sepatutnya tamat pada 2018 nanti.

"Macam di Jambatan Pulau Pinang, sungguhpun kita dikenakan (tol) RM7 (untuk jenis kereta), telah lama kita bayar balik untuk kos pelaburan. 

"Sekarang, hanya kutip untung bersih sahaja, selain kos penyelenggaraan. Jika ia sudah untung bersih, mengapa naikkan harga (tol)," tanya Guan Eng ditujukan kepada pentadbiran Najib yang juga Presiden Umno.

Terdahulu, Abdul Wahid dilaporkan berdalih, kenaikan tol yang bakal berlaku tahun hadapan adalah munasabah, lapor The Malaysian Insider.

Abdul Wahid juga menegaskan pihak konsesi perlu menjalankan kajian daya saing untuk memastikan sama ada pengguna dapat menerima kadar tol baru yang dicadangkan sebelum ia dilaksanakan.

"Projek ini dicadangkan dan dilaksanakan oleh sektor swasta dan kerajaan kerajaan akan tentukannya berdasarkan keperluan memandangkan kita perlu pertimbangkan memperbaiki infrastruktur pada kos lebih rendah," terang beliau lagi.

Beliau bagaimanapun mengakui dalam kes dengan pengendali terbesar lebuh raya negara, PLUS, kerajaan mempunyai perjanjian dengan mereka untuk mengekalkan kadar tol hingga tahun 2015.

"Sebagai contoh dengan PLUS, terdapat peluang untuk memanjangkan tempoh konsesi dan mengekalkan kadar tol sehingga tahun 2015 dan kami telah lakukannya," dalih Abdul Wahid.

Hujung minggu lalu, Abdul Wahid berdalih kenaikan kadar tol yang dijangka berlaku tahun hadapan tidak dapat dielakkan memandangkan perkara itu terkandung dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya.

Beliau berdalih telah tiba masanya untuk kadar tol dinaikkan, memandangkan perjanjian konsesi menyatakan kadar itu perlu disemak dan dinaikkan pada 2011.

Desas-desus mengenai kenaikan tol bermula ekoran kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof bahawa terdapat semakan semula kadar tol pada tahun hadapan dari segi perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya.

Sebuah akhbar pula melaporkan kenaikan kadar itu dijangka berlaku antara 30 sen sehingga RM1, tetapi, tidak menyatakan untuk jarak perjalanan sejauh mana.

Terdapat 13 lebuh raya yang terlibat dalam semakan semula kadar tol itu.

Pakatan Rakyat menentang cadangan tersebut kerana langkah itu hanya memberi keuntungan kepada syarikat konsesi dan tidak kepada pengguna.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus