Skip to main content

Majlis Pengangkutan Pulau Pinang fokus aspek pelaksanaan 'pelan induk' sahaja, respons Kon Yeow

KETUA Menteri (depan, tiga dari kiri) merakamkan gambar dengan anggota PTC di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Pelantikan 21 anggota Majlis Pengangkutan Pulau Pinang (PTC) tanpa partisipasi rasmi daripada perunding pakar dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi tempoh dua tahun mulai 1 Oktober 2015 hingga 30 September 2017 dipersoal baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, PTC yang baru dilantik hanya berperanan melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (TMP), iaitu dokumen rasmi Kerajaan Negeri yang dihasilkan pada 23 Mac 2013 dengan membabitkan syor-syor daripada perunding pakar dan wakil NGO sendiri.

“Fokus (PTC) pada koordinasi pelaksanaan, maka, fokus lebih pada agensi kerajaan.

“Sebab itulah, keanggotaan majlis ini melibatkan (pihak) Kerajaan dan agensi-agensi Kerajaan sahaja,” jelas Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota di sini baru-baru ini.

Beliau menjawab soalan wartawan, selepas Majlis Pelantikan Ahli Majlis PTC yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Guan Eng dalam ucapannya berkata, tujuan penubuhan PTC pada tahun 2009 untuk menangani cabaran kesesakan trafik di negeri ini.

Transport Master Plan (TMP) yang bernilai RM27 billion yang merupakan projek infrastruktur kedua besar dalam sejarah Malaysia, akan mengubah wajah Pulau Pinang sebaik ia siap pada tahun 2030.

Dan, yang lebih penting ia (TMP) juga akan menjadi pemangkin ekonomi yang boleh menjaminkan masa depan dan pembangunan mapan Pulau Pinang sehingga tahun 2050,” ucap Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap ADUN Air Putih.

Difahamkan, TMP merangkupi lima mood pengangkutan awam seperti bas, teksi, Transit Aliran Ringan (LRT), trem, kereta kabel, feri dan teksi air.

Ia (TMP) akan melibatkan pembinaan jalanraya, lebuhraya, terowong bawah dasar laut, landasan keretapi LRT, pengangkutan air dan kereta kabel yang merentasi udara daripada pulau ke Seberang Perai,” jelas Guan Eng lagi.

Pada pertengahan bulan Ogos lalu, Konsortium SRS dipilih menjadi Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi TMP bernilai RM27 bilion, mulai sekarang hingga tahun 2030.

Konsortium SRS terdiri oleh Gamuda Berhad serta dua syarikat dari Pulau Pinang, Loh Phoy Holdings Sdn. Bhd. dan Ideal Property Development Sdn. Bhd..

Konsortium SRS di bawah Dato' Lin Yun Ling (Pegawai Eksekutif Gamuda Berhad) perlu mendapatkan semua kelulusan berwajib daripada Kerajaan Pusat dalam tempoh enam bulan, atau menanggung segala kos pengurusan, jika gagal kelak.

Guan Eng berkata, pihaknya berharap PTC akan memainkan peranan yang penting dalam memastikan rancangan pembangunan big-bang tersebut oleh PDP mengikut landasan PTC.