18 December 2013

Beza pendapat di DUN ‘perkara biasa’ – Choo Kiang


SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang mengaku mutu perbahasan, khususnya yang membabitkan wakil rakyat baru acap kali menarik perhatiannya sepanjang berlangsungnya menyuarat mengenai Bajet 2014.

“Beberapa YB baru nampaknya menunjukkan kemampuan masing-masing sepanjang sesi perbahasan di dewan ini.

“Mereka nampaknya begitu bagus serta cepat menyesuaikan diri,” ujar Choo Kiang semasa diminta berkongsi pengalaman pertama dalam mengendali sesi perbahasan, seusai mesyuarat kedua penggal pertama DUN Ke-13 baru-baru ini.

Choo Kiang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun untuk penggal kedua.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei lepas, beliau menggantikan Datuk Abdul Halim Hussein mengisi jawatan penting itu.

Choo Kiang pada penggal pentadbiran lepas pernah dilantik menjadi Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangan Luar Bandar dan Tebatan Banjir.

Pengalamannya sebagai Exco yang turut menyertai perbahasan di DUN sejak Mac 2008 sudah tentu dimanfaatkan untuk mengenadali sidang mesyuarat baru-baru ini, terutama ketika berlakunya pertembungan pendapat secara tajam antara anggota mesyuarat.

“Pertembungan pendapat secara tajam bukan perkara yang baru berlaku pada sidang mesyuarat baru-baru ini sahaja. Pada setiap kali sidang mesyuarat, perbezaan pendapat ini seringkali kali berlaku. Ini, perkara biasa.

“Sebagai Speaker DUN yang mempengerusikan mesyuarat, saya sedaya upaya memberi ruang kepada semua pihak ini untuk mengemukakan pendapat masing-masing, lengkap dengan hujah serta data.

“Ada YB yang baru lebih membuat persiapan seperti mengemukakan data serta fakta mengenai satu-satu isu yang dibahaskan di dewan ini, tetapi, perbahasan seringkali dibawa kepada satu-satu isu yang bersifat politik,” ujar beliau lagi.

Justeru, beliau mencadangkan semua ADUN yang ingin menyertai perbahasan pada sidang DUN depan mungkin akan diminta untuk menyebut terlebih dahulu subjek yang ingin disentuh supaya kualiti mesyuarat boleh dipertingkatkan.

Hubung saya 0194241583 jika anda berminat untuk buat
advertorial seperti Bangkok Tomyam.

Pembangkang Keluar Dewan
Kesemua 10 ADUN Pembangkang Pulau Pinang bertindak keluar dari DUN gara-gara mendakwa ketua mereka, Datuk Jahara Abdul Hamid tidak diberikan ruang sewajarnya semasa sidang perbahasan berlangsung antara insiden yang menarik perhatian banyak pihak.

Choo Kiang memberi komen tersendiri semasa diminta memberi resposn mengenai insiden itu.

“Sepatutnya mereka tidak perlu keluar dewan kerana tindakan keluar dewan selalunya dilakukan apabila sesuatu yang benar-benar besar berlaku di dewan ini.

“Walaupun kuat diasak oleh ADUN tertentu di dewan ini berhubung isu Ketua Pembangkang (Jahara) didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur rasis, mereka (ADUN Pembangkang) sepatutnya mengemukakan hujah serta fakta sahaja jika ada untuk membela ADUN Teluk Air Tawar (Jahara).

“Bagaimanapun, mana-mana YB yang tidak berpuas hati dengan sesuatu perbahasan di dewan ini, keluar dari dewan merupakan salah satu cara. Cara yang lebih baik sebenarnya mempertahan hujah masing-masing secara kualiti,” ujar beliau lagi.

“Doktor Rasis”
Tanpa merujuk kepada mana-mana ADUN, Choo Kiang menasihatkan supaya satu-satu perkara yang mahu dibangkitkan di dewan sewajarnya berpijak pada fakta serta data yang sahih.

Itu, katanya, dapat mengelak daripada pertikaian berpanjangan daripada anggota mesyuarat yang lain di Dewan.

Choo Kiang berkata, ADUN Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin dirujukan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN kerana ADUN Jawi, Soon Lip Chee membawa usul tersebut untuk diperbahasan, sebelum diterima majoriti ahli mesyuarat dewan.

Menurut Choo Kiang, Roslan dirujuk ke jawatankuasa itu kerana ADUN Pembangkang tersebut pada sidang DUN lepas membangkitkan isu beberapa doktor berbangsa Cina tidak memberi layanan sewajarnya kepada pesakit berbangsa Melayu.

Roslan turut mengaitkan dakwaan tanpa asasnya itu dengan Tsunami Cina, iaitu suatu anggapan umum media arus perdana tertentu bahawa majoriti pengundi Cina di negeri ini tidak lagi menyokong Umno dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-13, 5 Mei lepas.

Bagaimanapun, Choo Kiang berkata, sistem demokrasi masih memberi ruang kepada Roslan untuk membela diri semasa berdepan dengan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Pulau Pinang nanti.

"Ini masih demokrasi kerana ADUN Pinang Tunggal masih boleh membela diri nanti," ulang Choo Kiang sekali lagi mengenai ketetapan yang dibuatnya di DUN baru-baru ini.

Mutu DUN
Choo Kiang berkata, pihaknya senantiasa berusaha menaik mutu persidangan di dewan sebagaimana dihasratkan oleh rakyat, termasuk memastikan website DUN Pulau Pinang (http://dun.penang.gov.my/) lebih bersifat infomatif.

“Dulu tidak ada. Tetapi, semua rakyat boleh mengakses secara langsung mengenai perbahasan YB-YB mereka pada sidang kali ini selepas kita menaik taraf website DUN.

“Semua orang boleh menilai saya, jawapan-jawapan Exco Kerajaan Negeri, ADUN tidak kira (pro) Kerajaan atau pun pembangkang kerana semuanya secara langsung di internet sepanjang perbahasan Bajet 2014 baru-baru ini,” tambah beliau.

Pada kesempatan ini, beliau berkata, pihaknya sedang mengambil pendapat semua pihak untuk memperkenalkan sistem penilaian mutu perbahasan semua ADUN untuk manfaat langsung rakyat di negeri ini.

“Sebelum ini, kita ada mengedarkan borang tinjauan untuk mendapatkan maklum balas mengenai mutu makanan yang disediakan sepanjang mesyuarat di dewan ini, saya sedang mendapatkan pendapat beberapa pihak lagi untuk memperkenalkan satu sistem penilaian untuk mendapatkan maklum balas mengenai mutu perbahasan YB-YB pula selepas ini,” ujar Choo Kiang.

No comments:

Post a Comment