TIMBALAN Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon mensasarkan Karnival Santai Rakyat, Usahawan dan Koperasi Peringkat Daerah Barat Daya selama 10 hari bermula hari ini di parkir Queensbay Mall dekat Pantai Jerejak menerima kehadiran 100,000 pengunjung.
Justeru, katanya, sasaran itu diharap memberi manfaat kepada 90 usahawan dan penggiat koperasi yang mengisi 50 petak niaga di karnival tersebut bagi mempromosi produk industri kecil dan sederhana (IKS) serta mengembangkan potensi perniagaan masing-masing.
“Kita sasar 100,000 (kehadiran) sebab sekarang adalah musim cuti sekolah. Karnival ini umpama pintu pembukaan pada Pesta Pulau Pinang 2013 yang bermula pada 25 November hingga 31 Disember,” ujar Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak pada pagi tadi di Komtar, di sini.
Zaini Abu Hassan mewakili penganjur, ZBS turut hadir pada sidang media itu.
Mohd. Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat Perhubungan berkata, pengunjung berpeluang untuk melihat produk-produk koperasi dan usahawan di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Negeri.
Selain itu, katanya, hadirin turut berpeluang untuk berinteraksi dengan selebriti hiburan seperti Idola Kecl 5 “adik Darling Shah”, Idham Ahmad (pengarah filem/pelakon), Herman Tino (penyangi popular 1980-an), klon Datuk M. Daud Kilau, Mail XPDC, Muralli Abdullah (pengarah filem) dan Rita Rudaini (pelakon).
Tidak cukup dengan itu, sepak raga tuju, bola sepak, bola tampar, sukaneka, pertandingan memasak, konvoi motosikal berkuasa tinggi, kenduri rakyat, pertandingan auto-audio majlis sumbangan anak emas peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak serta DUN Batu Maung dan cabutan bertuah berupa motosikal antara acara menarik sepanjang karnival tersebut.
“Acara perasmian pembukaan akan diadakan pada Sabtu (esok), 23 November 2013 pada jam 3.00 petang,” ujar Mohd. Rashid.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Rashid turut menganjurkan karnival serupa di Padang Jawi dekat Daerah Seberang Perai Selatan pada 22 Oktober hingga 3 November.
“Konsep karnival seperti ini seterusnya akan bersama rakyat peringkat Daerah Timur Laut di Taman Tun Sardon dan peringkat Daerah Seberang Perai Tengah di Tapak Ekspo Seberang Jaya pada 30 November ini, seterusnya peringkat Seberang Perai Utara di Jalan Mohd. Saad, Butterworth pada 28 Disember,” ujar Mohd. Rashid lagi.
No comments:
Post a Comment