Skip to main content

PAS sangkal NST lapor DAP campurtangan urusan Islam P.Pinang

(Dari kiri) Rosidi Hussein, Chow Kon Yeow, Mohd Salleh Man, Lim Guan Eng, Mohd. Rashid Hasnon, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Dr. Afif Bahardin dalam sidang media di Komtar, petang tadi.

YANG di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man menyangkal laporan akhbar News Strait Times (NST) hari ini yang melaporkan dakwaan DAP campur tangan dalam urusan hal ehwal agama Islam di negeri ini.

"Dalam kenyataan akhbar semalam yang dibuat oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS (Pulau Pinang), Ustaz (Muhammad) Fauzi Yusof, tidak langsung menyebut nama mana-mana parti politik.

"Kenyataan NST hari ini lebih kepada manipulasi media bagi memecahbelahkan hubungan baik di antara parti komponen Pakatan Rakyat.

"Saya sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinag dengan tegasnya menyangkal dakwaan tersebut," ujar Mohd. Saleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir pada petang ini di Komtar, George Town.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon), Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian, Perdagangan Dalam Negeri dan Kesihatan) hadir dalam sidang media tersebut, mewakili PKR.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow turut hadir mewakili DAP.

Hadir sama, Penolong Pengarah Penerangan Kerajaan Negeri, Ustaz Rosidi Hussain, mewakili PAS.

Sementara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mencadangkan pemimpin tertinggi PAS dan PKR supaya membincangkan semua perkara berbangkit mengenai ha ehwal urusan umat Islam secara tertutup.

Katanya, langkah itu penting demi memartabatkan lagi Islam di negeri berkenaan, selain, mengelak dari manipulasi media.

"Kalau ada apa-apa perselisihan pendapat, itu biasa. 

"Mereka bersetuju bahawa mereka akan berbincang secara dalaman untuk mengelak manipulasi media lagi dan kedua-dua pihak (PAS dan PKR) tidak akan membuat sebarang kenyataan kepada akhbar," ujar Guan Eng.

Beliau berkata, PAS, PKR dan DAP masing-masing mesti lebih berhati-hati dengan manipulasi media tertentu demi mengukuhkanmuafakat Pakatan Rakyat.

Akhbar NST hari ini antara lain melaporkan, PAS Pulau Pinang mengancam untuk meninggalkan Kerajaan Negeri.

Laporan itu menyebut, PAS melalui Muhammad Fauzi membantah campur tangan tidak munasabah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam serta pelantikan wakil parti sebagai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di negeri berkenaan.

Mohammad Fauzi turut dilaporkan mengkritik pentadbiran Guan Eng yang didakwanya tidak mengikut amalan sebenar Cekap, Akauntabel, Telus (CAT).

Kritikan Mohamad Fauzi itu turut dikesan dalam laporan bertulis di laman sosial Facebook Dewan Pemuda PAS Pusat.

Bagaimanapun, kritikan Mohammad Fauzi sebagaimana dipetik dalam laporan NST tidak secara khusus dimaksudkan kepada DAP.