29 November 2013

Bajet 2014: P.Pinang had 10 tahun pindah milik rumah – KM

RUMAH kos rendah dan sederhana rendah yang dibina oleh kerajaan dilarang pindah milik dalam tempoh 10 tahun daripada tarikh perjanjian jual beli dilakukan, manakala, larang sama untuk rumah yang dibina oleh pihak swasta dilanjutkan daripada tempoh lima tahun kepada 10 tahun.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, langkah itu demi memastikan penjualan rumah dalam tempoh 10 tahun ini adalah kepada pembeli tersenarai (listed buyer).

Menurut beliau, Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Pemilihan Perumahan (SPECS) ditubuhkan sejak bulan Jun lepas bagi memastikan proses pengagihan rumah kos rendah (KR) dan rumah kos sederhana rendah (KSR) dibuat secara adil dan telus.


"Inilah kali pertama dalam sejarah Malaysia sebuah syarikat perakuan akan dilantik untuk tujuan sedemikian," ujar Guan Eng semasa membentangkan cadangan Bajet 2014 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dekat George Town pada petang tadi.

Berkenaan perumahan kategori rumah mampu milik pula, Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri memutuskan bahawa harga maksima perumahan di Pulau Pinang ditetapkan pada RM400,000, manakala, harga maksimum RM250,000 bagi hartanah serupa di Seberang Perai.

"Seseorang pembeli rumah mampu milik tidak dibenarkan memiliki rumah sebelum ini.

"Unit (rumah) mampu milik boleh dibeli oleh pemilik kos rendah dan kos sederhana rendah sebagai penaiktarfan dengan syarat menjual rumah asalnya.

"Dengan erti kata lain, hanya satu unit perumahan mampu milik dibenarkan dimiliki oleh seseorang pada bila-bila masa," jelas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Polisi kawalan jual beli rumah mampu milik ini sekaligus menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri mencegah harga hartanah membelon di negeri ini kelak yang membabitkan pembeli spekulasi.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus