23 October 2013

[RENCANA] Jejak kejayaan kempen Azizan di Sungai Limau


ALLAHYARHAM Tan Sri Azizan Razak kekal menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan mendapat 2,774 undi majoriti.

Itu adalah antara kekuatan Azizan, bekas Pesuruhjaya PAS merangkap bekas Menteri Besar Kedah.

Undi majoriti itu boleh jadi menjadi kekuatan ayam tambatan PAS, Azam Samad, atau sebaiknya.

Oleh kerana PAS dan Umno masing-masing mempunyai pengundi tradisi, menang kalah lebih tergantung pada undi atas pagar.

Memang lencongan undi atas pagar pun yang menentukan kalah menang satu-satu pihak.

Pengundi atas pagar bukan pengundi tradisi bagi PAS atau Umno.

Mereka mengundi berdasarkan kecenderungan lain, antaranya, berdasarkan mood mengundi.

Mereka ini sebenarnya menentukan undi majoriti pergi kepada Azizan pada musim PRU12 lepas.

Isu ZIPY
Menjelang PRU12 pada Mac 2008, kerajaan negeri Kedah di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Mahadhir Khalid merancang untuk memajukan sebahagian kawasan Parlimen Jerai, termasuk DUN Sungai Limau.

Kerajaan Umno Barisan Nasional Kedah pada tahun 2007 mahu melaksanakan semula projek berimpak tinggi yang dikenali sebagai Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY).

Projek itu dikatakan bakal membawa nilai pelaburan berbilion ringgit kepada kerajaan negeri dan Pusat.

Sungguhpun niat kerajaan Umno Barisan Nasional Kedah itu murni, tetapi, projek tersebut bakal meninggalkan kesan berantai yang negatif kepada penduduk asal di Pulau Bunting, kebetulan rata-rata orang Melayu.

Rakyat asal akan hilang tanah dan penempatan kerana proses pengambilan balik tanah penduduk berwajib tentu dilakukan oleh kerajaan negeri demi pemajuan projek tersebut.

Kebanyakan penduduk di sini adalah nelayan. Mereka bakal hilang mata pencarian kerana projek berimpak tinggi itu turut menbabitkan hampir keseluruhan kawasan pengairan utama di Pulau Bunting.

Wajarlah kaum nelayan ini pulau tersebut bimbang bahawa mereka masing-masing akan hilang mata pencarian, jika projek berkenaan diteruskan.

Selain itu, penduduk setempat di pulau tersebut dikatakan tidak dapat menerima langkah kerajaan negeri era Umno Barisan Nasional memindahkan kubur-kubur lama nenek-moyang mereka di sini, walaupun atas nama pemajuan ZIPY.

Tiga sentimen Sungai Limau
Ini antara sentimen yang wujud di Sungai Limau sampai sekarang.

Tiga sentimen ini berjaya menggamit empati Azizan sendiri sejak menjelang musim PRU12 lalu, walaupun isu sekitar projek ZIPY ini dilihat terlalu bersifat setempat.

Dalam ceramah politik, Azizan serta kumpulan kempennya dilapor membangkitkan beberapa persoalan sampai menjadi mood majoriti pengundi di sini.

Kalau tanah kami diambil atas nama kepentingan awam sekalipun, di mana penduduk asal Pulau Bunting ini akan tinggal?

Kalau projek ZIPY ini dibuka di pulau serta kawasan perairan utama pulau ini, bagaimana nelayan hendak cari mata pencarian?

Kalau hendak majukan pulau ini, takkan sampai menceroboh kawasan kubur orang Islam?

Tidak cukup dengan itu, pasukan Azizan turut mengemukakan langkah proaktif, jika kekal diberi mandat sebagai Adun Sungai Limau.

Azizan berjanji untuk memastikan kepentingan Islam serta warga asal Sungai Limau, khususnya di Pulau Bunting akan terus dipelihara bersama-sama arus penafian pembangunan negeri jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah.

Pasca PR mengambil alih kerajaan negeri Kedah, Azizan atas kedudukannya sebagai Adun Sungai Limau menangguhkan pelaksanaan projek ZIPY demi memulihara kepentingan rakyat setempat.

Azizan berusaha memindah operasi ZIPY dari darat ke satu kawasan perairan pulau tersebut sahaja, dengan syarat tidak menjejaskan aktiviti nelayan di situ.

Ijtihad politik Azizan ternyata menelurkan kemenangan PAS dan PR bukan sahaja di DUN Sungai Limau, malah Kedah sendiri.

Implisitnya, Azizan berjaya mewujudkan mood perubahan kerana beliau berjaya mengangkat tiga isu setempat sebenar yang nyata menyentuh sentimen pengundi terbanyak (maslahah mujtamak), seperti disebut di atas.

Mukhriz laksana semula ZIPY
Menteri Besar Kedah yang baru, Datuk Mukhriz Tun Mahadhir pada 12 Jun lalu baru mengumumkan hasrat melaksanakan semula projek ZIPY tersebut.

Langkah anak bekas perdana menteri keempat itu, Tun Dr Mahathir Mohamad itu nyata berkhilafan dengan pendirian mesra rakyat yang ditunjukkan oleh Azizan.

Langkah bekas calon Naib Presiden Umno itu juga nyata bertentangan dengan sentimen sebenar yang berbekam dalam majoriti pengundi di Sungai Limau, khususnya warga Pulau Bunting.

Syarikat mesra Mukhriz, Merapoh Resources Corporation Sdn Bhd (Merapoh), iaitu pemaju asal projek itu sekali lagi dipinang untuk memajukan ZIPY.

Projek itu kononnya hasil perancangan rapi yang mensasarkan keuntungan sebanyak RM400 juta setahun dalam bentuk cukai, dijadual siap pada 2014.

Projek itu kononnya bakal menawarkan peluang pekerjaan kepada kira-kira 30,000 orang.

ZIPY memerlukan guna tenaga berkemahiran tinggi, bukan nelayan tua bersekolah atap. Itu yang pernah dibangkitkan oleh Azizan, dulu.

Ertinya, peluang pekerjaan untuk nelayan tua dan muda di pulau tersebut tidak juga dijamin, jika projek ZIPY itu dimajukan, sama ada di darat atau laut.

Operasi ZIPY ini juga, jika diteruskan sekarang, dikatakan sekaligus akan menggugat kepentingan penempatan warga asal di situ.

Ini kerana, pentadbiran Mukhriz sampai sekarang dikesan tidak mempunyai pelan pemajuan yang lebih sensitif dengan mengambil kira aspek mengekalkan kepentingan warga Pulau Bunting dalam kawasan pulau tersebut.

Di sini lah peranan perlu dimainkan oleh calon PAS, Azam Samad.

Dr Ahmad Sohaimi tidak mungkin mengambil tiga sentimen Sungai Lima yang disebut sebelum ini kerana sikap sedemikian nyata bertentangan dengan kecenderungan pentadbiran Mukhriz.

Pengalaman Koperasi Tunas Muda
Pada 1960-an, komuniti Melayu di Sungai Ara, Bayan Lepas hampir hilang kediaman masing-masing, ekoran kematian tuan tanah, Miss Helen Margaret Brown.

Pada masa itu, tanah berkenaan dan beberapa tanah lain sekitar Pulau Pinang mahu dijual bagi menjelaskan estate duty milik tuan tanah Miss Helen.

N.S.T. Arumugam Pillai membeli sebahagian besar tanah terbabit, hingga membimbangkan komuniti Melayu berwajib di Sungai Ara.

Dengan kerjasama pegawai koperasi Melayu, Jaafar Abdul Majid, pemimpin tempatan menubuhkan Syarikat Bekerjasama-Sama Serbaguna Tunas Muda Sungai Ara Dengan Tanggongan Berhad pada 31 Disember 1966.

Tun Abdul Razak Hussein yang menjadi timbalan perdana menteri semasa itu begitu menggalakkan penubuhan koperasi, disebabkan menerima pengaruh tidak langsung pada populariti Parti Buruh di United Kingdom.

Umno Cawangan Sungai Ara juga memainkan peranan penting dalam penubuhan syarikat ala koperasi itu.

Penduduk di situ yang kebanyakannya penoreh getah, buruh kasar, pesawah, penanam sayur-sayuran penternah menyertai koperasi ini.

Mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap serta pendapat isi rumah bulan di bawah RM200.

Syarikat bekerjasama inilah yang memainkan peranan penting membeli semua tanah berwajib untuk dimajukan sendiri secara koperatif, hatta penduduk asal di situ kekal tinggal di atas tanah yang sama sampai sekarang.

Kini, desa berkenaan dikenali sebagai Kampung Tersusun Sungai Ara, manakala, syarikat bekerjasama berkenaan didaftarkan semula sebagai Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad (Tunas Muda) pada 30 September 1980.

Solusi PAS di Sungai Limau
Apa yang nak disebutkan di sini adalah PAS perlu membawa satu wawasan yang lebih dinamik untuk menang di Sungai Limau.

Pengalaman Tunas Muda ini mungkin perlu dikonstruktifkan demi memelihara kepentingan rakyat di Sungai Limau, khususnya di Pulau Bunting.

Bayangkan PAS membawa wawasan yang lebih ofensif seperti mengajak penduduk berwajib untuk bersama-sama menubuhkan koperasi untuk mempertahankan kepentingan masing-masing di pulau tersebut, sebagaimana yang dilakukan oleh Tunas Muda.

PAS boleh menang sekiranya menyelami tiga sentimen setempat di Sungai Limau yang pernah dilakukan oleh Azizan, serta berusaha untuk membawa wawasan yang progresif berdasarkan pengalaman Tunas Muda.

Walaupun banyak isu akan bergolak sempena Pilihan Raya Kecil Sungai Limau sekarang, PAS mampu berjaya sekiranya membawa satu atau dua isu setempat secara single messages, mudah difahami serta menepati sentimen pengundi terbanyak di situ.

Ini kerana, kejayaan PAS dalam mengembangkan isu boleh menjadi mood kemenangan bagi parti masa depan itu kelak.

Jom jejak kejayaan kempen Azizan di Sungai Limau bermula hari ini, iaitu hari penamaan calon. – 23 Oktober, 2013. 

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus