Skip to main content

Mahkamah kembali larang The Herald guna 'Allah'

MAHKAMAH Rayuan sebulat suara membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2009 yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam The Herald.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali (kiri) berkata penggunaan perkataan "dengan aman dan damai" dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan, katanya, patut ditafsirkan sebagai keperluan melindungi kesucian Islam sebagai agama utama dalam negara dan melindunginya daripada sebarang ancaman.

Perkara 3(1), jelas Apandi, bukan sebahagian daripada cadangan Suruhanjaya Reid tetapi dimasukkan selepas bantahan, rundungan, perbincangan dan kesepakatan seluruh kumpulan berkepentingan.

Perkara itu menyebut Islam sebagai agama persekutuan dan agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di negara ini.

Hakim kanan itu berkata, perkataan itu dimasukkan ekoran kontrak sosial yang dipersetujui oleh pengasas negara ini.

"Penghakiman saya mendapati ancaman paling mungkin terhadap Islam, dalam konteks negara ini, adalah menyebarkan agama lain kepada umat Islam."

"Ini menjadi sebab kenapa Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan dimasukkan," katanya dalam penghakiman 43 halaman dalam kes berkaitan edisi bahasa Melayu, mingguan Katolik The Herald.

Beliau, bersama hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh daripada Mahkamah Rayuan sebulat suara membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2009.