Skip to main content

Kategorikan aduan 'MPSP Watch', cadang Rezal Huzairi

REZAL Huzairi Md. Zaki, Ahli Majlis MPSP

BUKIT MERTAJAM - Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Rezal Huzairi Md. Zaki berkata, langkah awal dengan mengkategorikan aduan dalam sistem MPSP Watch wajar dipertimbang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Ini kerana, katanya, aduan-aduan yang dikategorikan mengikut daerah, kawasan Parlimen dan DUN serta kampung dan desa akan memudahkan pihak berwajib mengambil tindakan susulan.

"Saya ingin mencadangkan supaya MPSP mengambil pendekatan awal dengan mengkategorikan aduan yang diterima daripada MPSP Watch atau 'Sistem Pemantauan Pintar'.

"Ianya (operasi sedia ada 'MPSP Watch') perlu lagi kita (MPSP) perhalusi bagi kita mengenal pasti daerah mana dan kawasan mana yang sering MPSP mendapat aduan," ujar Rezal Huzairi di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini.

Cadangan itu disampaikan semasa beliau menyampaikan ucapan pengangguhan di depan Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif sempena Mesyuarat Penuh Majlis pada petang semalam.

Cadangan tersebut, katanya, sekaligus dapat mengelak pihak tidak bertanggungjawab dari mengambil kesempatan untuk memburuk-burukkan imej pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi laman sosial Facebook berkenaan.

MPSP Watch sejak diperkenalkan pada tahun 2011 direkodkan menerima 70 aduan dan 680 pada tahun berikutnya daripada pelanggan.

Sehingga bulan September tahun ini, laman sosial itu direkodkan menerima sebanyak 1,426 aduan atau 109 peratus berbanding tahun 2012.

Dalam perkembangan berkaitan, sesi dialog pelanggan serta kajian MPSP pada 6 Julai lepas mendapati 41 peratus responden bersetuju bahawa 'Perkhidmatan Kebersihan' wajar menjadi keutamaan MPSP serta warga Seberang Perai. -PenangInsight