28 October 2013

Herman Tino impi buat konsert amal ANAK yatim Pinang

JAWI - Herman Tino atau nama sebenarnya Masrun Tamsi, 59, mahu mengadakan konsert amal bagi merai anak yatim di Pulau Pinang.

"Saya memang nak menyerah jiwa saya untuk buat kebaikan, suara saya ini pun adalah pinjaman daripada Allah.

"Kalau tidak sekarang (menganjur konsert amal anak yatim), bila lagi," ujar Herman, selepas mengadakan persembahan langsung sempena Karnival Santai Rakyat, Usahawan & Koperasi di Padang Awam Jawi, malam tadi.

Beliau memuji penganjur, Tunas Indah Niaga kerana berjaya menghimpunkan lebih 50 peniaga kecil pada karnival kali ini semata-mata demi mencari sumbangan untuk membela anak yatim setempat sekitar Parlimen Nibong Tebal, di sini.

"Terus terang, saya menghibur, tetapi, belum pernah buat program seumpama ini, datang berhibur untuk rai anak yatim.

"Saya begitu senang pada malam ini kerana suara saya boleh membantu anak yatim walau secara kecil-kecilan," ujar beliau.

Sebelum itu, Ketua Pengarah Eksekutif Tunas Indah Niaga, Zaini Abu Hasan berkata, karnival kali ini adalah anjuran bersama Pejabat Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

"Terima kasih kerana (karnival) misi dakwah dan kebajikan ke atas anak yatim kali ini dapat sokongan daripada Kerajaan Negeri, khususnya Datuk Mohd Rashid," ujar beliau.

Hadir sama, Drs. Mohammad Nazri Abdullah (Pengurus Tunas Indah Niaga), Ustaz Izham Hashim (Pengarah Mutiara Infak) dan Zainulfaqar Yaacob (Fotojurnalis) turut berkongsi pentas dengan Herman meraikan anak yatim.

Tunas Indah Niaga menganjurkan karnival demi membantu anak yatim sekitar Utara Semenanjung Malaysia sejak 13 tahun lepas.

Karnival Santai Rakyat, Usahawan & Koperasi kali ini dianjurkan selama 10 hari, iaitu dari 25 Oktober lepas hingga 3 November depan.

Info lanjut dan urusan sumbangan, hubungi Ustaz Izham Hashim, 0195745414.

Urusan program dakwah dan amal Islami bersama Herman Tino, hubungi Ustaz Izham juga.

___________
Kapsyen gambar: Herman Tino (paling kiri) menyerah hasil sumbangan derma anak yatim kepada penganjur, melalui Ustaz Izham Hashim (dua dari kiri) di sini malam tadi, sambil diperhati oleh kontraktor Ramli Bakar (tiga dari kiri) dan Zainulfaqar Yaacob (paling kanan).

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus