KETUA Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyambut baik hasrat Presiden China, Xi Jinping mahu membuka pejabat konsulatnya di negeri ini.
Menurut beliau, langkah Xi Jinping itu adalah wajar memandangkan kemasukan pelancong dari China ke negeri ini kian meningkat saban tahun.
“Dengan pembukaan Pejabat Konsulat ini dapat membantu lagi usaha Kerajaan Negeri bagi memperkenalkan negeri ini sebagai hab Business Process Outsourcing (BPO) ke mata dunia,” ujar Guan Eng di George Town baru-baru ini.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, pelancong dari China menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) bagi tahun 2012 meningkat sebanyak 50 peratus, berbanding tahun sebelumnya.
Itu, katanya, tidak termasuk rekod peningkatan 50 peratus kemasukan pelancong dari negara tembok besar tersebut dalam enam bulan pertama tahun ini.
Tambah Guan Eng, penglibatan kontraktor-kontraktor dari China menerusi Projek Jambatan Kedua Pulau Pinang dan Projek Pembesaran Loji Takungan Air Mengkuang yang masing-masing bernilai RM4.5 bilion dan RM1.2 bilion turut menyumbang pada kebanjiran pelancong negara itu di negeri ini.
“Kerajaan Negeri yakin dengan pemeteraian projek ini akan dapat mengukuhkan lagi hubungan perdagangan China – Pulau Pinang.
“Dengan menandatangani projek infrastuktur awam terbesar dalam sejarah Pulau Pinang bersama syarikat kontraktor dari China bagi membina empat buah lebuh raya utama negeri yang bernilai RM6.3bilion, termasuklah pembinaan terowong dasar laut pertama di Malaysia dengan menghubungkan Persiaran Gurney dan Bagan Ajam,” ujar Guan Eng.
Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, perkembangan terbaru ini diharap memberi manfaat serta menjadi titik permulaan baru bagi hubungan dua hala China dan Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment