Skip to main content

Tambah 50 peratus lagi insentif atlet :KM

ATLET yang berjaya merangkul pingat bergambar kenang-kenangan di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, atlet yang berjaya mengharumkan nama Pulau Pinang dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-16 baru-baru ini akan menerima tambahan 50 peratus lagi insentif daripada Majlis Sukan Negeri (MSN).

Beliau berkata, pertambahan insentif mengikut kadar asal yang ditetapkan MSN itu ekoran kejayaan kontinjen negeri mendapat tempat ketujuh dengan membawa pulang lapan pingat emas, 19 perak dan 21 gangsa dalam 17 jenis sukan yang disertai.

"Kita perlu semangat untuk menang, itulah baru menentukan menang kalah kita dalam perjuangan.

"Kita mesti ingat bahawa tiap-tiap kali selagi (dilaung) 'Ini kalilah', baru boleh menang," ujar Guan Eng di Hotel Vistana, Bayan Lepas pada petang tadi.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng dan Datuk Ong Poh Eng (Timbalan Pengerusi II MSN turut berucap pada Jamuan Malam dan Majlis Penyerahan Insentif Kerajaan Kepada Kontinjen Atlet Negeri Pulau Pulang.

Hadir bersama, Pegawai Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait dan Frederick Tan Teck Aun (Pengarah MSN Pulau Pinang).

Guan Eng turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa atlet kerana tekun memberi sokongan kepada anak masing-masing dalam memburu kejuaraan.

Chong Eng yang berucap kemudian turut pengumuman peruntukan Kerajaan Negeri melalui Bajet 2013 berjumlah RM5 juta pada tahun ini bagi membina gelanggang futsal atau bola keranjang.

Difahamkan, Kontinjen Negeri berjaya merebut pingat dalam sukan Judo, Silambam, Lawan Padang, Renang Berirama Ping Ping, Softbol, Futsal, Ekuestrian, Kriket, Woodball dan Muay Thai dalam kejohanan di Kuala Lumpur bermula pada 28 Jun hingga 7 Julai lepas.

Berikut adalah jumlah insentif asal mengikut kategori yang ditetapkan MSN:

1. Perseorangan: Emas RM3,000, Perak (RM2,000) dan Gangsa (RM1,000).

2. Regu : Emas RM1,500, Perak (RM1,000) dan Gangsa (RM500).

3. Berpasukan (3-5 orang) : Emas RM1,000, Perak (RM700) dan Gangsa (RM500).

4. Berpasukan (lebih 5 orang) : Emas RM500, Perak (RM300) dan Gangsa (RM200).