Skip to main content

UG kini dikenali 'Usrah Gabungan'?

Usrah Gabungan dikesan giat diadakan peringkat negeri, kawasan dan cawangan belakangan ini demi mempertahan tapak sokongan perwakilan terhadap Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang sempena menghadapi saingan Muktamar Pas November depan.

Sumber Pejabat Agung Pas, Kuala Lumpur yang dihubungi pagi tadi menegaskan, itu bukan Unity Government (UG) serta tiada pro Najib dalam Pas, sekarang.

"Kerajaan Perpaduan (UG) sudah tutup buku, tiada pro Najib atau pro Anwar dalam Pas sekarang.

"Yang ada, pro Islam dan pro Pas. Usrah Gabungan ini program tarbiah parti, kebetulan namanya (akronim) UG juga," ujar sumber, enggan identitinya didedah.

Menurut sumber, Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Harun Din, Datuk Harun Taib (Ketua Dewan Ulamak) dan Zaharuddin Mohamad yang lebih dikenali sebagai Din Ayam (menantu Presiden) disebut-sebut antara pembentang dalam majlis doktrinisasi itu.

Satu sumber lain pula mendedahkan, kemuncak Usrah Gabungan (UG) akan diadakan pada 3 hingga 5 Oktober depan.

Info sama turut dikesan di Facebook rasmi Nasruddin Hassan at-Tantawi (Ketua Pemuda Pas merangkap Ahli Parlimen Temerloh.

"Tempat tak tahu lagi, tetapi UG (Usrah Gabungan) ini akan dibuat sebelum perwakilan Pas ke Muktamar," ujar seorang Exco Pemuda Pas Malaysia berkenaan menerusi masej peribadi (PM) Facebook.

Terdahulu, Abdul Hadi hampir lima tahun lepas memperkenal idea 'kerajaan tanpa pembangkang' yang dikenali sebagai Unity Government atau Kerajaan Perpaduan.

Cadangan itu dilontarkan buat kali pertama menerusi akhbar Siasah semasa isu muzakarah dan muqabalah masih berledak dalam arena politik tanah air.

Abdul Hadi mencadangkan muzakarah atau rundingan Pas dengan Umno sebagai reaksi pada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) - 8 Mac 2008 - yang didakwa menghakis kuasa Melayu dalam pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas perdana menteri).

Dalam satu pertemuan tertutup di JKR10 Kelantan, Mursyidul Am Pas Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (kini bekas Menteri Besar) melahirkan rasa berang dengan idea Muzakarah.

Dua 'arkitek Muzakarah', iaitu Hadi dan Harun Din turut hadir dalam pertemuan itu.

Lantas itu, Nik Aziz keluar dari mesyuarat tertutup tersebut, lalu mencadangkan muqabalah (pertemuan) Pas dan Umno.

Seluruh kepemimpinan Pas akhirnya menerima cadangan Nik Aziz itu.

Cadangan idea UG terkemudian mengakibatkan hasrat baik Abdul Hadi disalah anggap sebagai cubaan menghidupkan semula kelangsungan muzakarah Pas-Umno, lapor The Malaysian Insider.

Lebih tiga hari di Lobi Parlimen, Abdul Hadi menafikan telahan wujudnya pertemuan tersembunyi antara Pas-Umno, sehinggalah Abdullah dalam reaksi spontan lain mengaku 'sudah tiga kali bertemu'.

Selepas itu - terutama pasca rancangan transisi Kerajaan Pusat '16 September' (2009) gagal - kedengaran suara dingin beberapa pemimpin mesra Kerajaan Pusat terhadap servival Pakatan Rakyat untuk mengambil alih Putrajaya.

Hadi dilaporkan berkata, "Majoriti Ahli Parlimen Islam".

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali pula berkata, "16 September gagal".

Nada yang sama turut disamboyan oleh Nasharuddin Mat Isa semasa masih bergelar timbalan presidenPas merangkap anggota Majlis Syura Ulamak (MSU).

Perkembangan itu mendesak Mustafa, Nasharuddin dan seorang lagi Datuk Dr Hasan Mohd. Ali (bekas pesuruhjaya Pas Selangor) supaya dirujuk ke jawatankuasa tatatertib parti.

Nik Aziz membuat desakan itu serta mendesak diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub memainkan peranan penting - bagaikan silap mata- hingga berjaya menukar rancangan EGM pada satu seminar siasah syar'iyyah.

Sejak Muktamar Pas 2010, Nik Aziz serta para penyokongnya berkali-kali cuba 'tutup buku' idea kerjasama Pas dan Umno, namun, UG sehingga kini masih dianggap berbara.