07 May 2013

Najib jangan ikut Mahathir hukum Cina selepas pilihan raya, nasihat Guan Eng

LIM Guan Eng (kanan) menerima watikah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang buat penggal kedua daripada T.Y.T Tun Datuk Seri Utama (Dr.) Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara George Town tengah hari tadi. |  Foto: Buletin Mutiara.

'Apa lagi Cina mahu' yang menjadi berita utama di akhbar Utusan Malaysia menyerlahkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa tidak menghormati proses demokrasi negara.

Y.A.B Lim Guan Eng yang baru dilantik semula sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, Cina di negara ini tidak wajar dijadikan kambing hitam ekoran BN gagal mendapat undi popular sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
"(Utusan Malaysia) bermain politik perkauman untuk mengalih perhatian (rakyat) daripada prestasi pilihan raya yang paling teruk dalam sejarah BN (Barisan Nasional)," ujarnya di Kuala Lumpur hari ini.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Utusan wajib dihentikan dari mengapi-apikan politik perkauman sekiranya Najib serius menganjurkan perdamaian untuk semua rakyat Malaysia.

Tambah beliau, Najib serta Utusan Malaysia sepatutnya mencermati tulisan Datuk A. Kadir Jasin, iaitu bekas pengarang akhbar milikan Umno New Straits Times mengenai polemik 'Tsunami Cina' yang digembar-gemburkan oleh Umno.

Tulisan bekas editor yang dipetik itu antara lain menyebut "BN telah kalah undi popular untuk kali pertama sejak 1969 akibat 'Tsunami Malaysia'.

Pilihan raya baru-baru ini menyaksikan BN mengalami penguncupan kerusi Parlimen dan Dun diseluruh negara.

PRU12, BN mempunyai 140 kerusi Parlimen berbanding 133 kerusi dalam PRU13. Tujuh kerusi BN berjaya dirampas Pakatan Rakyat.

PRU12, BN mempunyai 306 kerusi Dun, tetapi tinggal 275 kerusi Dun sahaja berdasarkan keputusan pilihan raya umum baru-baru ini.

PR berjaya menambah 7 kerusi Parlien lagi menjadi 89 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum kali ini.
"Bagaimanakah keputusan ini boleh dikatakan sebagai tsunami Cina apabila PAS telah berjaya memenangi 15 kerusi DUN di Terengganu berbanding 17 oleh UMNO, apabila 95 peratus rakyat Terengganu merupakan Melayu," tanya Guan Eng.
Dalam perkembangan sama, Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilaporkan berkata, pertambahan sokongan Cina kepada PR berlaku bersama-sama sokongan Melayu kelas menengah, khususnya di kawasan-kawasan bandar.

Justeru, Guan Eng mengajak semua rakyat mengecam tindakan yang begitu tidak bertanggungjawab pentadbiran Najib yang dilihat seakan mengulangi amalan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohammad yang didakwa pernah menghukum orang Cina selepas pilihan raya umum sebelum ini.

"Menyalahkan orang Cina selepas pilihan raya, maka Najib telah menunjukkan bahawa beliau tidak boleh dipercayai, sepertimana Mahathir," tegas Guan Eng. -END

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus