28 May 2013

Kes tuntut p'raya PBT P.Pinang didengar esok

LIM Guan Eng & Chow Kon Yeow
BiCARA kes Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyaman Kerajaan Pusat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gara-gara menghalang pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di negeri berkenaan akan didengar di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 29 Mei ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu wajar bagi memaksa kedua-dua defendan membenarkan proses pelaksanaan pilihan raya bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sebagaimana diperuntukan dalam Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Province Wellesley) 2012.

“Perkara ini amat penting kepada rakyat Pulau Pinang bagi memilih Ahli Majlis di dalam PBT bagi membantu mereka dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan PBT (pihak berkuasa tempatan) di tempat mereka.

“SPR perlu melaksanakan tanggungjawabnya untuk mengadakan satu pilihanraya PBT di Pulau Pinang jika tuntutan (saman) ini berjaya,” tegas Kon Yeow di Komtar, di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu sekali lagi bertegas, Perkara 111(4) Perlembagaan Persekutuan sebenarnya membenarkan sesebuah Kerajaan Negeri memberi kuasa kepada SPR bagi menjalankan pilihan raya selain pilihan raya umum.

Beliau berkata, beliau sendiri bersama-sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng serta kepemimpinan Kerajaan Negeri yang lain akan menyertai pendengaran kes itu.

Difahamkan, Kerajaan Negeri melalui peguam terkenal, Tommy Thomas dilapor mengfailkan saman dengan P.Ramakrishnan (bekas Presiden Aliran) sebagai plaintif, dua bulan lepas.

Terdahulu, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas, Kon Yeow pada 14 Julai 2009 menulis surat kepada Kerajaan Pusat menuntut penguatkuasaan enakmen tersebut, tetapi ditolak.

Pada 11 Ogos tahun yang sama, sidang mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang meluluskan resolusi menyeru Kerajaan Pusat untuk bertindak mengembalikan pilihan raya PBT, tetapi, resolusi itu pun ditolak.

Kerajaan Negeri, pada 4 Mac 2012, menulis satu surat kepada SPR atas niat yang sama berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan, 1960, tetapi ditolak oleh suruhanjaya itu.

Layanan dingin itu berlarutan sehingga Enakmen Kerajaan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, 2012 diluluskan dalam DUN Puau Pinang pada 9 Mei 2012.

18 Disember tahun lepas, Kerajaan Negeri sekali lagi menulis surat kepada SPR memaklumkan enakmen baru itu dikuatkuasa bermula pada 31 Januari tahun ini.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Chor Chee Heung semasa masih menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dilaporkan berkata, inisiatif Kerajaan Negeri itu adalah bercanggah dengan peruntukan Seksyen 15 Akta 171 (Undang-Undang Persekutuan)

Chee Heung berdalih, pendirian Kerajaan Pusat itu adalah selaras dengan Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut:

"Jika mana-mana undang-undang Negeri yang tidak diselaras dengan suatu undang-undang Persekutuan, undang-undang Persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri adalah tidak sah setakat tidak selaras itu.

"Tindakan Kerajaan Negeri meluluskan undang-undang itu tanpa berbincang dengan Masjid Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) jelas bertentangan dengan Perkara 95A (6) Perlembagaan Persekutuan," dalih beliau dipetik dari satu akhbar arus perdana.

Nada yang sama turut dipertegas oleh Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Wan Ahmad dilaporkan berkata, suruhanjaya berpendirian bahawa sebarang perkara membabitkan perubahan dasar dan perundangan mengenainya tertakluk kepada persetujuan MNKT seperti diperuntukkan Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan dalih itu, katanya lagi, SPR selaku badan bebas yang mengendali pilihan raya di negara ini pernah diberi kuasa untuk mengendalikan pilihan raya bagi kerajaan tempatan, iaitu mengikut Akta Perumahan dan Kerajaan Tempatan 1960.

Namun, beliau berdalih, apabila akta itu dimansuh dan dihentikan kuat kuasanya mengikut Subseksyen 15(1) Akta Perumahan dan Kerajaan Tempatan 1976, Seksyen 10 akta sama (Akta 171) pula menetapkan keanggotaan sesuatu majlis PBT dibuat secara pelantikan oleh kerajaan negeri masing-masing.

"Oleh itu, berpandukan akta baru ini, SPR tidak boleh mengendalikan sebarang pilihan raya kerajaan tempatan kerana ketiadaan peruntukan yang memberi kuasa kepada suruhanjaya ini berbuat demikian mengikut undang-udang persekutuan (berkaitan pilihan raya kerajaan tempatan)," katanya dipetik dari satu akhbar arus perdana.

Guan Eng dalam satu kenyataan reaksi spontan baru-baru ini berkata, pihaknya memohon pengisytiharan Mahkamah bahawa Syeksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan, 1976 yang memansuhkan pilihan raya kerajaan tempatan di seluruh negara adalah 'ultra vires' atau tidak sah.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Jadual Kesembilan dan Perkara 113 (4) Perlembagaan Persekutuan sepatutnya memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) mengelola pilihan raya peringkat PBT.

Perkembangan terbaru itu sekaligus menjadikan Pulau Pinang negeri ketiga mengfailkan saman ke atas Kerajaan Umno Barisan Nasional selepas Kelantan dan Selangor. -END

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus