31 May 2013

Gelora ubah mampu baham kelasi, anak kapal pondan

Tsunami Malaysia yang melanda tanah air baru-baru ini telah melonjak 53 peratus undi popular kepada Pakatan Rakyat.

Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya dikenali sebagai 'perdana menteri minoriti'.

Gelora perubahan itu paling kuat memukul pantai Pulau Pinang apabila Pakatan Rakyat mendapat undi popular paling tinggi berbanding negeri-negeri lain.

Hasil bah besar itu sedikit banyaknya mengubah landskap kepemimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ada Adun digugur sebagai Exco. Ada muka-muka baru diberi kepercayaan sebagai Exco bagi mengukuh kepemimpinan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng.

Haji Rashid Hasnon berjaya mempertahan kemenangan bagi kawasan DUN Pantai Jerejak yang pernah disandang Sim Tze Tzin (kini Ahli Parlimen Bayan Baru) dipinang sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang yang baru.

Ini lumrah alam. Pukulan ombak perubahan yang besar di tengah laut sekalipun pasti akan mengubah garis pantai.

Rupa-rupanya apabila langit mencerah, tidak reda juga gelora laut.

PKR melakukan penyalinan hampir seluruh Ahli Majlis bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) - Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Orang dalam parti memberitahu ini 'kerja buat' Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dan Datuk Mustafa Kamal Mohd. Yusoff (bekas Senator merangkap Setiausaha PKR Negeri).

Kata mereka, apa yang dilakukan oleh dua pemimpin itu adalah langkah terbaik demi mengukuh lagi kepemimpinan parti pasca PRU13.

Kalau PKR itu umpama sebuah bahtera di tengah-tengah gelora laut yang maha dahsyat, tentunya memerlukan kelasi serta anak kapal yang jitu.

Jika itu rasionalnya, sepatutnya Muhammad Farid Arshad dan Amir Ghazali (Ketua AMK Pulau Pinang) pun tidak digugurkan daripada senarai Ahli Majlis MPSP.

Ini bukan anak kapal. Ini kelasi kapal yang luar biasa.

Dalam musim tengkujuh PRU13 di Permatang Pauh, khususnya di Penanti dan Seberang Jaya, inilah wira-wiranya.

Dr Afif Bahardin yang memenangi kawasan DUN Seberang Jaya lalu dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri tentu melihat kewibawaan kedua-dua hulubalang laut itu.

Dr Norlela Ariffin yang menang di Penanti juga patut perasan dengan hakikat dua susuk tubuh itu.

Dr Norlela dan Dr Afif akan melayar bahtera masing-masing paling lama pun lima tahun mendatang.

Selama tempoh itu, akan ada musim cerah dan akan ada musim tengkujuh. Diharap, tiada 'Tsunami Pulau Pinang' pula dalam tempoh itu.

Justeru, mereka pun perlu mempunyai pendirian yang lebih jelas sama ada untuk pertahan Farid dan Amir sebagai pasukannya atau menyerah pada takdir politik kuasawan di atas sana.

Di sini lah, ribut bertiup dalam cangkir politik PKR Pulau Pinang lebih menderas dari ribut laut Tsunami Malaysia di luar sana.

Sudah ada aktivis politik di gigi kekuasaan Komtar mencebik bahawa pemilihan Ahli Majlis dalam kuota PKR tidak lagi mengikut lunas mesyuarat parti.

PKR bukan lagi angkat semangat rakyat, tapi, ikut telunjuk dua orang itu, kata seorang pagi tadi di Komtar, George Town.

Pemimpin muda AMK Cabang itu bagaimanapun tidak menjelaskan siapa dua kuasawan haloba itu.

"Baik tak payah mesyuarat (cabang) kalau dua orang ini sudah membuat keputusan untuk singkir aktivis parti (sebagai Ahli Majlis) diganti dengan kroni," tegas beliau.

Cakap-cakap itu bagaikan anak puting beliung yang tidak lama lagi, kalau tidak mengkaram kapal sekalipun, takut menyadai bahtera PKR di Pulau Buta.

Maka, tidak ada cara lain, melainkan anak-anak kapal itu sendiri perlu berdayung dan bersauh dari dalam bahtera supaya gelora angin perubahan yang memukul laut tidak sampai menguris walau dinding badan kapal sekalipun.

Kalau perlu beri kata dua, kata dua diberikan. Kalau perlu tukar dua kelasi kapal yang nyata membahayakan bahtera parti dalam meniti onak perubahan, tukarkan sahaja.

Tiada guna digelar sebagai Angkatan Muda Keadilan (AMK) kalau ketua sendiripun dicincang mati depan mata, tiada siapa berani menghalang.

Elok AMK ditukar pada APL yang bunyinya Angkatan Pondan Laut dan biar pondan lain menjadi kuasawan bangsat untuk berpeluk tubuh membiarkan Amir dan Farid ini dilemaskan dalam kolam politik PKR sendiri.

Di luar kapal PKR ini masih ada kapal-kapal yang lain yang sedia menganjak 'Tsunami Malaysia' untuk tenggelam dua kelasi serta anak-anak kroninya yang pondan-pondan itu jika itu yang didesak.

Lawan!

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus