29 April 2013

Polemik Hudud yang Umno tajamkan rupa-rupanya harmonikan ideologi PAS, DAP

"Bersetuju untuk berbeza pendapat demi menentang kezaliman Umno"

USAHA pentadbiran Najib Tun Razak menajamkan perbezaan politik antara PAS dan DAP khususnya mengenai polemik Hudud rupa-rupanya membantu kedua-dua parti itu untuk saling mengenali serta saling bersetuju untuk menghormati perbezaan yang wujud.

Malaysiakini.com melaporkan:
Perbezaan antara PAS dan DAP hanya "lima peratus" sahaja dari keseluruhan isu dan kedua-dua parti bersetuju dalam begitu banyak perkara lain, kata pemimpin kedua-dua parti tersebut.
Di dalam satu kenyataan bersama, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiusaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, kedua-dua parti juga mengiktiraf hak kedua-dua pihak untuk mengamalkan ideologi masing-masing.

"Kami menegaskan bahawa kerjasama dalam Pakatan Rakyat adalah berdasarkan manifesto bersama kita," kata kenyataan itu.

"PAS mempunyai hak untuk berjuang untuk pembentukan sebuah negara Islam sendiri, manakala DAP mempunyai hak untuk berjuang untuk satu sistem kebangsaan yang tidak selari dengan sebuah negara Islam, dengan sendiri."
Saya berasa sungguh seronok hari ini. Tahniah kepada PAS dan DAP atas kematangan BERSETUJU  UNTUK BERBEZA PENDAPAT.

Inilah fiqh yang patut dilonjak oleh PAS demi menumbangkan kezaliman.

Saya pernah menulis mengenai di Malaysiakini.com atas nama pena Dzulfikar Mashoor dulu.

Di bawah ini, tulisan asal yang sama saya copy & paste untuk geng Hasan Ali, geng Hafiz Nordin atau geng Datuk Dr Mazlan Ismail  buat rujukan sekiranya mereka nak gambarkan kenyataan bersama Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama-sama Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) ini kononnya membuktikan PAS meninggalkan perjuangan Islam.

Baca! Hujah lawan hujah!
Wacana Fiqh: Mutlak dan Muqayyad
Pendahuluan

MUTLAQ bermaksud lafaz yang datang dalam bentuk umum, tanpa mempunyai sebarang keterbatasan atau had tertentu (taqyiid). Ia merujuk kepada sesuatu maksud tertentu yang telah dimaklumi. Biasanya, lafaz ini didatangkan dalam bentuk nakirah.

MUQAYYAD pula merujuk kepada lafaz yang memberikan maksud yang tidak tertentu, tetapi diikuti dengan lafaz yang mengikat dan membataskannya. Justeru, ia memberikan maksud yang lebih spesifik, tertentu dan terikat.

Perbahasan mengenai mutlaq dan muqayyad ini dibahaskan dalam aliran fiqh al-Islami yang sederhana (wathathi) seperti Malikiah, Syafi'iyyah, Hanafiah dan Hanabilah

Aliran fiqh Zahiri (baca: berpegang dengan tektual zahir nas atau mereka yang menolak aplikasi usul fiqh dalam melaksanakan kewajipan nas) atau neo-Muktazilah (baca: menggunakan akal secara liberal tanpa diingat pada nas yang qat’iyyatun thubut) umumnya menolak bab mutlaq dan muqayyad.


al-Wala’ (kesetiaan) & al-Barra’ (pengingkaran)

Wala’  kepada Allah dan Rasul-Nya bersifat mutlaq. Pun begitu, wala’   kepada ulil amri (pemimpin) itu adalah bersifat muqayyad.

Firman Allah yang bermaksud yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu.” (Surah An-Nisa’: 59)

Sebab itu, mereka yang menerima disiplin mutlaq dan muqayyad, sudah tentu boleh menerima konsep al-barra’   apabila membicarakan soal al-wala’  sama ada dalam konteks kenegaran, jamaah Islamiyyah hatta kekeluargaan.

Muqayyad : al-Wala’   pada pemimpin yang adil dan al-barra’   pada pemimpin yang zalim

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberikan bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman...” (Surah An-Nahl: 90)

“Dan jika engkau nenghukum, maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Maidah: 42)

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang berlaku zalim*, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah...” (Surah Hud: 113)


Jauhi al-wala’   cara Yahudi

Punca Yahudi sesat dari hidayah Allah antaranya kerana memberikan kesetiaan (al-wala’) kepada pemimpin serta agamawan mereka secara mutlak sedangkan al-wala’  secara mutlak hanya kepada Allah dan Rasul-Nya sahaja.

'Uruf Al-Quran mendedahkan mereka memberi al-wala’ kepada para pemimpin serta agamawan mereka secara mutlak walaupun dalam perkara kezaliman, kebodohan, kefasikan, pembohongan dan kejahilan.

“Kecelakaan terhadap mereka yang menulis kitab dengan tangan-tangan mereka sendiri, kemudia mereka mendakwa “ini daripada sisi Allah”. Tujuan mereka adalah untuk membelinya dengan harga yang murah. Kecelakaan terhadap mereka dengan apa yang mereka tuliskan dengan tangan-tangan mereka, dan kecelakaan terhadap mereka dengan apa yang mereka usahakan” (Surah Al-Baqarah : 79)

“Mereka yang diberikan al-Kitab (Taurat), mereka mengenali (nabi Muhammad) sepertimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. dan sesungguhnya satu puak daripada kalangan mereka menyembunyikan kebenaran dalam keadaan mereka mengetahui" (Surah Al-Baqarah : 146)

“Mereka tertipu dalam agama mereka sendiri, dengan apa yang mereka reka-ciptakan” (Surah Al-Imran : 24)

“...mereka (Yahudi dan Nasrani) mengambil orang-orang alim dan para rahib mereka syirik selain dari Allah...” (Surah At-Taubah : 31)

Dalam menafsirkan ayat al-Quran ini, didatangkan satu hadis daripada seorang Kristian bernama Adi bin Hatim bahawa dia berjumpa dengan Nabi SAW dalam keadaan tengkoknya tergantung salib daripada emas.

Adi berkata kepada Nabi, “mereka (Yahudi dan Nasrani) tidak pernah menyembah orang-orang alim dan para rahib mereka...”

Nabi SAW menjawab yang bermaksud, “mereka (pengikut) mentaati mereka (orang-orang alim dan para rahib) dengan apa yang mereka disuruh, daripada mengharamkan perkara halal dan menghalalkan perkara yang haram. Maka itu, sembahan mereka terhadap orang-orang alim dan para rahib mereka...” - (rujuk Musannaf Ibni Abi Syaibah : 8/220)


Perbezaan pendapat dalam fiqh bukan pengingkaran (al-Barra’ )

Disiplin fiqh al-Islami membenarkan perbezaan pendapat dalam kepelbagaian (al-ikhtilaf at-tanawu’i) kerana proses memahami dan melaksanakan kewajipan nas itu adalah bersifat zdonni serta mempunyai pemahaman yang pelbagai.

Contoh 1:
Perbezaan pendapat pada satu nas syara’

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Barangsiapa berpuasa ramadhan, kemudian diikuti 6 hari dalam bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa setiap masa” (riwayat Muslim: 1984).

Mazhab Syafi’iyyah berbendapat bahawa “Puasa 6” di bulan Syawal adalah sunat kerana sabit dengan nas yang sahih lagi soreh seperti di atas.

Pun begitu, mazhab malikiah berpendapat bahawa hukumnya makruh.

Tidak dinafikan, hadis ini adalah hadis soheh, tetapi Imam Malik tidak beramal dengan maksud hadis ini dengan beberapa alasan, antaranya adalah:

PERTAMA, Imam Malik tidak melihat bahawa para ilmuan (ahl Al-Ilm) di Madinah berpuasa enam hari dalam bulan syawal. Bahkan, tidak terdapat satu salaf pun yang menunaikan puasa enam itu.

KEDUA, maksud hadis ini menyalahi dengan salah satu daripada konsep Maqasid Syariah, iaitu menutup segala ruang yang boleh membawa kepada bidaah. Iaitu, dalam Islam, adalah satu perkara haram bahawa berpuasa pada 1 syawal.

Justeru, dalam hadis puasa enam ini, tidak dinyatakan tentang larangan pada 1 syawal larangan berpuasa, bahkan dinyatakan bahawa boleh berpuasa 6 selepas bulan ramadhan.

Ekoran itu, penggunaan kalimah ”diikuti” dalam hadis, dibimbangi ditafsirkan bahawa 1 syawal juga boleh berpuasa sunat, menyebabkan Imam Malik meletakkannya sebagai ”menutup segala ruang yang boleh membawa kepada bidaah.”

Bagi Imam Malik, apabila bertembung antara maksud dalam sesuatu hadis ahad dengan maqasid Syariah, maka hendaklah didahulukan maqasid Syariah. Makanya, hukum berpuasa enam disisi Imam Malik adalah makruh. (rujuk Dr Nu’man Jughaim, Turuq Al-Kasyf ‘An Maqasid As-Sya’ri’ :57)

Contoh 2:
Perbezaan pendapat fiqh dalam proses perlaksanaan (tanfiz) pada satu-satu kewajipan syara’ (tasyri’)

Mengenai iltizam politik Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sebelum ini yang mahu melaksanakan Hudud di Kelantan sekarang, wujud perbezaan pendapat dan persetujuan pendapat.

Persetujuan: Semua kita menyokong bahawa cita-cita hudud wajib dilaksanakan dalam konteks Malaysia. Tidak ada siapa mempertikaikan hal tasyri’ itu.

Perbezaan: Ada yang menyokong Tok Guru kerana al-wala’. Dan ada yang berbeza pendapat kerana melihat dari segi tanfiz yang sebenarnya diakui di sisi syara’.

Saya telah menjelaskan perbezaan ini ketika membincarakan soal la-hukmu ala al-fauri dan al-hukmu ‘ala at-tarakhi di Malaysiakini sebelum ini menggunakan nama pena "Dzulfikar Mashoor".http://malaysiakini.com/letters/178278

Bagaimana kita boleh beranggapan bahawa mereka yang tidak sependapat dengan pendapat  pemimpin jamaah Islamiyyah sebagai tidak wala’; sedangkan pada masa yang sama kita boleh menerima perbezaan pendapat dalam soal fiqh?

Sebab itu juga, saya mahu mempersoalkan langkah Amir USM Pulau Pinang, Nor Azam Mohamad Tamjis berkata "bab wala' dan burukkan PAS, lupakan..." kepada ahli jamaah Islam kampus secara ‘sembunyi’ sebaik selepas saya memberi pendapat fiqh mengenai isu Hudud di USM pada 9 Oktober lepas.

Berdasarkan dua contoh di atas, saya ada nasihat. Jangan ta’assub kepada mana-mana pemimpin. Belajarlah fiqh al-Islami. Jangan ajar ahli jamaah Islam kampus sebagaimana pemimpin serta agamawan Yahudi mengaja para pengikut mereka.


Kesimpulan

1. Al-wala’ kepada Allah dan Rasul-Nya sahaja adalah bersifat mutlak. Wala’ kepada ulil amri adalah bersifat muqayyad.

2. Wajib memberi kesetiaan (al-Wala’) kepada ulil amri termasuk pemimpin jamaah Islam selagi mana pemimpin itu memberi al-wala’ kepada Allah dan Rasul-Nya. Wajib memberi pengingkaran (al-Barra’) kepada pemimpin yang melakukan kezaliman, kebodohan, kefasikan, pembohongan dan kejahilan.

3. Jangan ta’asub pada pemimpin kerana punca Yahudi sesat adalah kerana ta’asub atau al-wala’ secara membabi buta kepada pemimpin serta agamawan mereka.

4. Perbezaan pendapat dalam soal fiqh al-Islami bukanlah simbol seseorang itu tidak wala’ kepada pemimpinnya.

"KITA BERSETUJU UNTUK BERBEZA PENDAPAT"


ZAINULFAQAR YAACOB
0194241583

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus