Skip to main content

Najib tak mampu kawal huru-hara penyokongnya jika Umno kalah PRU13

DATUK Seri Najib Tun Razak didakwa tidak mampu menenteramkan penyokong Perdana Menteri itu sekiranya Umno tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ahli Jawatankuasa Pas Malaysia, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, beliau bimbang huru-hara seperti insiden gereja Metro Tabernacle dibakar di Jalan 4/4C, Jalan Desa Melawati, Selangor pada 7 Januari 2010 berulang.

Justeru, katanya, rakyat wajib menuntut peralihan kuasa secara aman semasa Pakatan Rakyat ke Putrajaya daripada Najib sendiri sekarang.

"Dengan beberapa insiden yang berlaku sebelum ini, saya lihat Najib tidak mampu kawal penyokongnya semasa Pakatan Rakyat ambil alih Putrajaya nanti.

"Demi memelihara keamanan negara tercinta ini, tidak ada jalan lain melainkan rakyat seluruhnya perlu tuntut jaminan daripada Najib bahawa peralihan kuasa mesti dilakukan tanpa huru-hara penyokongnya nanti," ujar Mujahid dalam satu program Dialog 'Impian Malaysia' di Ipoh baru-baru ini.


KLIK dan Sertai Santai Anak Muda Pulau Pinang

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, agamawan Kristian, Hindu, Buddha dan sebagainya dirayu untuk mengerti sokongan kepada Pas serta Pakatan Rakyat untuk memastikan tanah air ini kekal harmoni.

"Untuk selamatkan negara ini supaya kekal aman semasa proses peralihan kuasa kepada Pas serta Pakatan Rakyat nanti, saya seorang tidak mampu (lakukan)...Pas, DAP dan PKR atas nama Pakatan Rakyat pun tidak mampu (lakukan).

"Tapi, kalau seluruh rakyat angkat Impian Malaysia ini, iaitu tiap-tiap kita dari sekarang tuntut Najib beri jaminan bahawa peralihan kuasa secara aman pasti berlaku jika Umno tumbang dalam pilihan raya umum nanti," ujar beliau.

Insiden gereja dibakar tiga tahun lepas dikatakan sebagai reaksi pada pendirian Pakatan Rakyat, khususnya Pas menolak pendirian pentadbiran Najib melarang bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah dalam Bible.

Umno dan Perkasa antara dua pertubuhan yang lantang menolak pendirian Pas/Pakatan Rakyat sambil memberi isyarat berunsur ancaman kepada bukan Islam di tanah air ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Mei 2011 telah menjatuhkan hukuman lima tahun penjara kepada dua penjenayah kes itu, iaitu Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 25, dan adiknya Raja Mohamad Izham, 23.

Dalam perkembangan berkaitan, Mujahid sekali lagi merayu kepada pihak berwajib supaya menyiasat kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali baru-baru ini mahu membakar Bible Melayu yang kononnya dicetak menggunakan Kalimah Allah menggantikan "God" atau Tuhan.

"Bakar Bible bertentangan dengan nas asal-Quran serta bukan amalan Rasulullah s.a.w.

"Sepatutnya siasat cubaan membakar Bible itu sebab kita nak kekal keharmonian (serta) nak tuntut jaminan peralihan kuasa secara aman bermula sekarang (daripada Najib) ini jika Umno tumbang di Putrajaya nanti," ujar beliau lagi. -END