Skip to main content

Tujuh tanda tanya serlah Bajet 2013 untung kroni berbanding rakyat


LIM Guan Eng
KETUA Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng mengemukakan tujuh tanda tanya bagi menjelaskan bahawa Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini lebih menguntungkan kroni berbanding rakyat terbanyak di negara ini.

Pertama, Guan Eng mempersoal wibawa syarikat Pembangunan 1Malaysia Berhad (1MDB) dan Jabatan Perdana Menteri dalam menguruskan kira-kira peruntukan RM400 juta bawah perbelanjaan pembangunan.

"Berapa banyak jumlah ini (peruntukan RM400 bilion juta kepada 1MDB) yang akan digunakan untuk menyelamatkan pihak yang mesra BN daripada konrak sedia ada.

"Sebagai contoh, pembelian aset tenaga Tanjong bernilai RMRM8.5 bilion dan RM2.3 bilion daripada Genting Sanyen telah dipersoal oleh para analis kerana kedua-dua syarikat itu mempunyai perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Tenaga yang akan luput pada tahun 2016," ujar beliau menerusi e-mel.

Kedua, beliau mempersoal kewajaran pentadbiran Najib memperuntukan RM582 juta untuk membayar pampasan kepada pengendali-pengendali tol di samping pembayaran RM343 juta berupa "one-off" atau sekali bayar sahaja.

"Ini bukan sahaja akan memanfaatkan syarikat-syarikat swasta yang mengendalikan tol, tetapi memudaratkan rakyat kerana wang ini boleh digunakan untuk mengambil alih syarikat-syarikat pengendali tol dan menghapuskan tol, iaitu satu janji Pakatan Rakyat apabila kita sampai ke tampuk kuasa," katanya.

Ketiga, beliau mempersoal mengenai peruntukan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) Memerangi Jenayah berjumlah RM272.5 juta kononnya demi "meningkatkan kepuasan orang ramai terhadap prestasi polis."

"Daripada membelanjakan wang rakyat untuk menambahbaik PDRM dan mengurangkan jenayah, BN lebih ingin memperuntukkan wang ini untuk tujuan perhubungan awam yang hanya akan memanfaatkan para perunding dan pengiklan yang mempunyai kabel politik.

"Dengan pemikiran sebegini, lagilah sukar untuk rakyat percaya bahawa kadar jenayah betul-betul menurun," ujar beliau.

Keempat, beliau mempersoal mengenai angka RM2.5 bilion yang diperuntukan kepada untuk "Kerjasama Awam-Swasta".

"Jumlah ini akan memanfaatkan projek-projek kroni seperti Projek Minyak dan Gas Tanjong Agas dan Taman Perindustrian Maritime yang terletak di Pekan, iaitu kawasan Perdana Menteri Najib sendiri.

"Sebanyak RM150 juta wang rakyat sudah pun disalurkan kepada projek ini dan PM Najib telah menjanjikan sebanyak RM300 juta lagi walaupun projek ini bersaing dengan Taman Perindustrian Gebeng yang berada di luar Kuantan, hab Minyak dan Gas Kerteh di Terengganu serta projek RAPID di Pengerang, Johor," ujar beliau.

Kelima, beliau mempersoal mengenai RM386 juta yang diperuntukan untuk menambah 57 lagi kedai Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Sabah dan Sarawak.

"Peruntukan ini mungkin akan memberi manfaat kepada mereka yang mendapat kontrak untuk menjalankan kedai-kedai ini, iaitu Mydin...kedai KR1M berkemungkinan akan membuatkan peruncit-peruncit tempatan di Sabah dan Sarawak hilang pernigaan," ujar beliau.

Tambah beliau, Najib pada tahun tahun lepas mengumumkan pembangunan 85 kedai KR1M di semenanjung Malaysia dengan peruntukkan RM40 juta.

"Bermakna RM470,000 untuk setiap kedai. Pada 2013, Najib mengumumkan penubuhan 57 kedai KR1M di Sabah dan Sarawak dengan peruntukkan RM386 juta.

"Bermakna RM6.7 juta untuk setiap kedai. Ini menunjukkan kenaikkan kos sebanyak 15 kali ganda untuk satu kedai KR1M dalam tempoh satu tahun," beliau menambah.

Keenam, beliau berkata, RM300 juta diperuntukkan untuk penswastaan pengurusan sisa pepejal di seluruh negara yang dijangka memberi manfaat pada syarikat berkepentingan politik dengan kerajaan pusat seperti Alam Flora, Southern Waste Management & E-Idaman.

Ketujuh dan terakhir, beliau berkata, bajet ini memberikan insentif cukai untuk pemaju-pemaju yang mahu membina dan syarikat-syarikat yang mahu menempatkan syarikat mereka di Tun Razak Exchange yang dulunya dikenali sebagai Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) termasuklah pengecualian cukai buat pemaju hartanah, pengecualian cukai pendapatan 10 tahun untuk syarikat berstatus TRX, pengecualian duti stem, elaun bangunan industri dan elaun modal dipercepatkan untuk syarikat berstatus TRX Marquee.

"Dengan Nilai Pembangunan Kasar RM26 bilion berserta anggaran kadar cukai 25%, bermakna RM6.5 bilion hasil akan dilepaskan oleh kerajaan," ujar beliau.

Tuntas itu, katanya, kira-kira RM10.9 bilion secara umum diperuntukan kepada kroni berwajib secara tidak langsung, manakala, RM4.2 bilion yang lain diagihkan kepada rakyat secara langsung melalui beberapa program yang didakwa seakan bermotif Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

"Tujuh perkara ini akan memberikan kita RM10.9 bilion, lebih daripada 2 ½ kali ganda RM4.2 bilion yang diperuntukkan Najib melalui pelbagai program pemberian dan gula-gula membeli undi," tegas beliau.-END