Skip to main content

Larang kakitangan kerajaan, ahli politik pohon tanah simbol integriti P.Pinang


PULAU Pinang akan terus melaksanakan polisi integriti dengan melarang kakitangan kerajaan serta ahli politik kepartian dari memohon tanah milik Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini berkata, polisi sebegitu dapat memelihara budaya integriti dalam kalangan pemimpin setempat dan rakyat terbanyak di negeri berkenaan

"Yang layak pohon (tanah) hanya rakyat biasa. Dulu (semasa era Barisan Nasional memerintah Kerajaan Negeri), kalau nak dapat tanah mesti ada 'kabel-kabel kuat'.

"Kalau pegawai kerajaan atau ahli politik nak pohon tanah, mesti letak jawatan dulu dan jadi orang biasa, baru layak pohon tanah milik kerajaan," ujar beliau di Dewan Cina Kampung Permatang Tok Mahat, Jawi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Tan Beng Huat, Maktar Shapee (ADUN Sungai Bakap), Mohd. Kamil Abu Bakar (Pegawai Penyeleras Kawasan DUN Sungai Acheh) dan  Mohd Fauzi Yusof (Timbalan Pesuruhjaya PAS III Pulau Pinang) turut hadir pada majlis anjuran masyarakat setempat.

Guan Eng berkata, hak rakyat di negeri berkenaan lebih terjamin apabila Kerajaan Negeri melaksanakan polisi-polisi integriti sedemikian.

"Saya percaya, Kerajaan Negeri tidak akan rugi sekiranya hak-hak rakyat terus dipelihara menerusi polisi integriti seperti ini.

"Saya percaya sebuah Kerajaan (Negeri) akan tumbang apabila hak-hak rakyat seperti tanah ada yang diberikan kepada kroni-kroni sehingga mengakibatkan rakyat tolak mereka.

"Apabila rakyat tidak reda dengan amalan kronisme, Kerajaan Negeri di bawah Barisan Nasional yang begitu kuat dulupun tumbang dalam pilihan raya umum ke-12," tegas beliau.

Beliau berkata, beliau tidak boleh menerima keputusan Kerajaan Negeri era Barisan Nasional dulu menjual 980 ekar tanah di persisiran Tanjung Tokong dengan harga RM1 sekaki persegi melalui perjanjian tebus guna pada tahun 1990 dan 1999 yang nyata menguntungkan pihak swasta sahaja.

Dalam perjanjian-perjanjian lain pada tahun 1997, 2002 dan 2003, beliau mendedahkan, Kerajaan Negeri era Barisan Nasional telah memberi pemaju hak menebus guna  325 ekar tanah sebagai ganti untuk pembinaan Lebuh raya Jelutong yang dianggarkan menelan kos RM300 juta dan bayaran balik RM24.4 juta sahaja.

"Dalam erti kata lain, jumlah kos adalah RM325.4 juta untuk 325 ekar tanah. Ini bersamaan dengan RM1 juta seekar atau RM20 sekaki persegi.

"Pemaju boleh bayar RM25.4 juta dalam masa 10 tahun, dari 2005 hingga 2015...ini satu rekod tempoh pembayaran yang baru," seloroh beliau sambil mendakwa penjanjian itu kurang menguntungkan rakyat dan Kerajaan Negeri.

Tuntas dari itu, beliau menasihatkan pembangkang Pulau Pinang supaya berhenti dari mengkritik langkah Kerajaan Negeri menjual tanah kepada mana-mana pemaju yang menawarkan sebut harga tertingi secara tander terbuka yang nyata menguntungkan Kerajaan Negeri dan rakyat di negeri berkenaan. -END