Skip to main content

YB Umno dalih selepas hina pengusaha tomyam, Kelantan

SELEPAS dilihat menghina penjual tomyam peranakan Kelantan, Wakil Rakyat Umno hari ini berdalih dan menafikan kenyataan kontroversi yang dicetusnya sendiri di Dewan Rakyat.

"Saya kata kerajaan PAS gagal wujud peluang ekonomi kepada rakyat Kelantan, bukan hina penjual tomyam Kelantan...keluar negeri untuk jual tomyam," kata Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Semalam, Ahli Parlimen Pasir Salak itu ketika membahas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong antara lain mendakwa pemimpin pembangkang itu sengaja memutar belit fakta selain menyentuh hal peribadinya.

"Jangan nak belit-belit. Saya tak hina jual tomyam, tetapi kerajaan PAS gagal (sedia peluang pekerjaan).

"Kita nak menuju kepada pembangunan ekonomi kita. Kita dah buat. Pembangkang kata boleh buat lebih baik. Tapi mana?" soal beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoal kewibawaan PAS dalam mengurus tadbir negeri jolokan "serambi Makkah".

"Apa kerajaan Kelantan dah buat selepas 22 tahun memerintah. Mana rancangan tanah seperti Felda," soal beliau.

Reaksi Tajuddin di Dewan Rakyat itu selepas menerima desakan daripada wakil rakyat PAS, Salahuddin Ayub.

Tajuddin dinasihatkan supaya berhenti dari menghina pengusaha tomyam serta meminta maaf.

"Jangan hina orang Melayu berniaga tomyam. Harta dia halal. Jangan hina orang Kelantan," ujar Salahuddin.

Turut bangkit mempertahankan maruah rakyat serta wibawa kerajaan PAS Kelantan adalah Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee bagaimanapun menggunakan kuasanya serta meminta semua wakil rakyat berkenaan menghormati kemuliaan dewan. -END