01 March 2012

Melayu Tanjong Tokong anggap Uda, Umno khianat


"Pembangunan menjamin hak, bukan menghilangkan hak."

"Berfikirlah sebelum bertindak!!! Mengapa Uda tidak mahu sain (tandatangan) perjanjian dengan penduduk. Mesti nak tipu..."

Itulah antara dua placard yang ditampal pada dinding-dinding rumah perkampungan Melayu di Tanjong Tokong dekat George Town.

Pada laluan alternatif ke kampung tersebut, kelihatan kain rentang menyindir pemaju yang berbunyi "10 sifat mulia Uda Holdings Berhad."

Tidak sesiapapun rakyat, rata-rata Melayu menurunkan kain rentang penuh kontroversi itu, seolah-olah memberi isyarat kepada Uda supaya tidak terus berdalih dengan Melayu di kampung berkenaan.

Difahamkan, Umno Pulau Pinang, khususnya Datuk Ahmad Ismail sendiri pun tidak berjuang apa-apa walaupun Pengerusi Bahagian Umno Bukit Bendera itu sebelum ini lantang menyebut "Cina Pendatang".

Mungkin kerana isu Melayu Tanjong Tokong ini membabitkan syarikat pemaju yang ditubuhkan serta di bawah kerajaan Umno Barisan Nasional pusat, lebih elok diam.

Jika penyelewengan ini berlaku di bawah pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sekarang, mungkin "Cina Pendatang" dilaungkan oleh beliau dan gerombolan pembangkang Umno di negeri berkenaan.

Dari kain rentang itu, membawa Nota Kecil ke sebuah dewan kayu yang menjadi bilik gerakan Persatuan Suara Penduduk Kampung Tanjong Tokong (PSPKTT).

Dewan itu masih berdiri teguh bersama kira-kira 1,200 atau 97 peratus penduduk yang terus bergelut mempertahankan hak mereka dari dalih pemaju walaupun hampir 50 peratus telahpun berpindak ke 'rumah panjang' sementara.

Rumah dan tanah yang dikosongkan telah pun diranapkan.Pagar-pagar dawai telahpun didirikan di situ selepas penduduk berkenaan membeli harapan daripada pemaju.

Pengerusi PSPKTT, Mohamad Musannif Zainal Abidin (kanan),50 yang melakukan kerja-kerja kampung sebagai sumber rezeki berkata, pihaknya bersedia memberi kerjasama dengan pemaju dengan empat syarat.

Pertama, pemaju wajar selesaikan isu senarai nama muktamad yang layak menerima rumah baru sebagai pampasan.

Kedua, pemaju mesti mengemukakan pelan perumahan baru yang muktamad demi mengelak salah faham di antara pemaju dan penduduk berwajib.

Ketiga, pemaju perlu mengemukan dokumen perjanjian yang jelas serta menguntungkan kedua-dua pihak sebelum ditandatangan secara bersama antara pemaju dan penduduk.

Keempat dan terakhir, pemaju mesti menjelaskan tempoh penempatan penduduk di 'rumah panjang' sementara.

"Kami terpaksa cermat dalam semua ini supaya kami tidak lagi ditipu oleh pemaju.

"Tanpa dokumen perjanjian yang sah pun, berebut-rebut sebahagian kami keluar (ke rumah panjang sementara), tak tahu tiga tahun atau mungkin 10 tahun mereka ditempatkan di sana sebab tidak dinyatakan dalam perjanjian.

"Yang penting, tanah ini dikosongkan, mungkin untuk projek komersial sebagaimana yang dilihat sebelum jalan masuk ke sini," ujar beliau yang juga aktivis PAS Kawasan Bukit Bendera.

Rumah Melayu diruntuh sebelum dipagar satu persatu
Tinjauan Nota Kecil mendapati beberapa projek komersial dibangunkan di sini. Antaranya, Pasar raya Tesco, pangsapuri Breza dan Symphony serta banyak rumah kedai mewah.

Beliau yang setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Tanjong Tokong berkata, sepatutnya di atas tanah tersebut pun dibangunkan projek urbanisasi Melayu, bukan projek komersial sebagaimana sekarang.

Nota Kecil difahamkan, sebahagian tanah Tanjong Tokong diserahkan oleh perdana menteri Tun Abdul Razak kepada Uda pada awal 1970-an dulu atas harapan dimajukan untuk urbanisasi semula Melayu di tanah bernilai tinggi itu.

Sebahagian lain dari tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu, difahamkan, dijual kepada Uda serendah RM1 sekaki persegi untuk memastikan syarikat berkaitan kerajaan pusat (GLC) tersebut masih membina keuntungan selain memelihara kepentingan syarikat.

"Uda sekarang tak macam Uda waktu Tun Razak dulu. Uda sekarang lebih dilihat mementingkan keuntungan, mungkin kerana syarikat itu sudah jadi syarikat korporat," ujarnya.

Nada yang sama turut disuarakan oleh seorang lagi ahli jawatankuasa PSPKTT bernama Mohd Omar Zainuddin (kiri), 49, yang juga berkerja sendiri.

"Apabila kami rujuk surat tawaran yang dikeluarkan oleh Uda, peguam yang kami lantik sendiri kata surat itu tidak menguntungkan kedua-dua pihak (pemaju dan penduduk).

"Seolah-olah ada helah. Kami semacam cuba ditipu demi membina projek komersial di atas tanah ini," ujar beliau yang juga aktivis PAS Kawasan Bukit Bendera.

Beliau berkata penduduk tidak menyalahkan pemaju sekiranya mahu membina rumah mewah di atas tanah tersebut.

Namun katanya, pemaju wajar memberi jaminan rumah baru yang munasabah secara percuma kepada penduduk berwajib.

"Kami cuma nak jaminan, dapat rumah yang seperti yang dipersetujui bersama. Sebab itu, perlu ada perjanjian yang adil di antara pemaju dan kami sebelum tanah ini dikosongkan," ujarnya.

Seorang lagi anggota PSPKTT, Abdul Manan Naina Mohamad (kanan), 30-an, peniaga pula berkata, beliau dari awal lagi meragui niat Uda untuk membela Melayu di Tanjong Tokong.

"Selalunya kita masuk rumah dulu atau buat perjanjian dengan pemaju dulu?

"Jika pemaju nak minta kami pindah, berilah rumah mewah dalam projek fasa 1 di Tanjong Tokong ini. Biar kami duduk dulu. kalau selesa, kita terus buat perjanjian (kekal di rumah tersebut).

"Tak mungkin Uda pindah kami ke sana tanpa sebarang perjanjian rasmi sebab ia merugikan Uda.

"Sebab itu, kami minta (dokumen) perjanjian rasmi supaya nama kami yang layak dijamin dapat rumah dengan mengikut pelan yang dipersetujui bersama dalam satu dokumen perjanjian yang boleh dirujuk kepada mahkamah jika berlaku unsur penafian hak kami oleh pemaju kelak," ujar beliau.

PSPKTT sekarang menghadapi UDA Holding Berhad ditubuhkan di bawah kerajaan pusat, bukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

PSPKTT baru-baru ini menerima reaksi serius daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng serta Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Guan Eng antara lain menasihatkan pemaju supaya menghormati tuntutan-tuntutan yang munasabah yang disuarakan oleh rakyat terbanyak di atas tanah tersebut.

Chin Tong pula, dilaporkan, telahpun menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi membantu PSPKTT mencari jalan penyelesaian dengan pemaju.

Semoga keresahan penduduk Kampung Tanjong Tokong yang majoritinya Melayu akan berakhir dengan elok dengan partisipasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekarang. -END

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus