Polisi bantu rakyat teramai akan mengekalkan Umno sebagai parti konservatif Melayu unggul!

PENULIS merakamkan gambar kenang-kenangan di gerbang masuk Museum Tsunami Acheh pada 14 Julai 2025; memahami maksud sebenar konservatif dari sudut budaya membuatkan diri lebih menghargai nilai, tradisi dan perjuangan yang ada dalam diri masyarakat Melayu.


SEUSAI sesi interbiu seorang Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Komtar pada pagi tadi, saya ingat nak membakar waktu rehat 1.00 petang hingga 2.00 petang dengan tidur di meja pejabat sahaja.

Semalam saya pulang lewat. Ada satu mesyuarat penting di Putrajaya. 11.45 malam saya bergegas pulang, Alhamdulillah 2.09 pagi sampai di Restoran Nasi Kandar Pelita Autocity Juru, Batu Kawan.

Seusai perbincangan satu polisi sosioekonomi rakyat semalam, seorang client baharu saya di kementerian bertanya perihal nota kecil di bio Facebook peribadi saya.

Aku konservatif ikut budaya Melayu, tapi menentang ekonomi konservatif berpaksikan pasaran bebas…

Mungkin pertanyaannya itu merujuk pada mesej bio Facebook di atas gamaknya.

Oleh kerana menjelang tengah malam tadi saya mengejar masa, sebab pada pagi ini ada temu janji bertemu Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang di pejabat-nya, saya cuba memberi pencerahan dalam posting blog ini.

Moga-moga kerjasama strategik dengan client baharu di Kementerian kian melimpahkan manfaat kepada rakyat teramai, juga mengasak sekalian pembaca posting ini untuk mencari jalan bagi memperkuat kuasa rakyat pada PRU16 nanti.

“KONSERVATIF DARI SUDUT BUDAYA”

Definisi yang diceduk dari Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah tuntas.

Bersikap mempertahan adat, nilai dll yang telah menjadi kelaziman atau tradisi…

Saya orang Melayu, Islam sejak lahir.

Walaupun baka Melayu dan Islam sejak lahir, pernah suatu masa dahulu saya berasa “konservatif dari segi budaya” itu tidak bagus untuk saya sendiri kalau nak maju dari sudut kebendaan dan pemikiran.

Sehinggalah saya berpeluang melancong ke Acheh, Republik Rakyat Indonesia pada 11 hingga 15 Julai baru-baru ini.

Di bumi bertuah yang pernah dicium bala dan rahmat Tsunami pada 26 Disember 2004 dulu, saya berpeluang melawat beberapa destinasi pelancongan menarik berkaitan peristiwa besar tersebut.

Antaranya, di Muzium Tsunami Acheh dekat Jalan Iskandar Muda, Banda Acheh.

Kata kurator muzium, “kemajmukan pedagang dari seluruh dunia sama ada di pelabuhan Melaka ataupun bumi Acheh pada suatu masa lalu menunjukkan betapa tingginya nilai orang Melayu.

“Orang Melayu suka menolong orang, bertolak ansur, ‘merendah diri bukan untuk dihina, bersikap tegas bukan untuk menindas’, tidak kisah pun berkongsi kekayaan hatta kuasa dengan mana-mana orang asing… (maka) sebab itu kita boleh bekerjasama dengan para pedagang dan diplomat dari tanah besar China sekali pun.”

“Sejak 26 Disember 2004 hingga saat ini, paling menyentuh perasaan saya apabila banyak pertubuhan bukan kerajaan dari Malaysia yang dipimpin oleh orang Melayu datang membantu dan memulih Acheh (susulan diuji dengan Tsunami),” jelasnya.

Bagi saya, saling menolong, bertolak-ansur, sanggup berkongsi sesuatu dengan bangsa lain demi kepentingan bersama, merendah diri, pelindung kepada orang-orang yang lemah walaupun bukan dari bangsa sendiri; semua ini adalah sifat yang ada pada bangsa Melayu baik di Acheh hatta di Malaysia.

Nilai-nilai terpuji sebegini, bagi saya, memang patut pun dipertahankan sebagai jati diri Melayu-Islam.

Dan, kalau mempertahankan nilai-nilai terpuji sebegini dalam diri saya sendiri, di tengah-tengah kemajmukan masyarakat dihambat dengan pelbagai anasir asing pun, maka tidak salah pun untuk saya menggigit dogma seperti, “bersikap mempertahan adat, nilai dll yang telah menjadi kelaziman atau tradisi…

Memang saya konservatif dari sudut budaya, dan perkara di atas sedikit sebanyak moga-moga memberi pencerahan.

“ANTI PERGERAKAN PASARAN BEBAS”

Ke mana saya pergi pun, tak pernah takut pun untuk menceritakan seberang sedikit aktiviti politik kepartian saya.

Pernah mewakafkan diri dalam perjuangan Islam menerusi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sejak zaman belajar di Universiti Malaya (UM); pernah terlibat dalam NGO Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang memainkan peranan sebagai kumpulan pendesak sampai tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah); pada masa yang sama berjinak-jinak dengan wacana politik, ekonomi dan sosial menerusi Kelab Diskusi Ekonomi Rakyat (KADER).

Menerusi KADER lah, saya mula melihat macam mana nilai-nilai konservatif yang ada pada jiwa orang Melayu dilanjutkan dalam Umno melalui dasar-dasar yang membantu rakyat khususnya orang-orang Melayu.

Kalau nak cerita mengenai dasar yang pemimpin Umno buat untuk tolong orang Melayu, ada banyak sebenarnya.

Contohnya, penubuhan FELDA atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan.

Presiden Umno, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri Ke-2 Malaysia (22 September 1970 – 14 Januari 1976) sedar secara demografi orang Melayu banyak duduk di luar bandar serta jauh dari limpahan pembangunan negara yang tertumpu di kawasan-kawasan pekan dan bandar lama.

Lalu, Tun Razak memperbaiki polisi sedia ada FELDA dengan melaksanakan Land Reform. Bukan sahaja bukit-bukau di kuar bandar ditukar menjadi ‘ladang rakyat’, malah sekali gus meningkatkan pegangan ekuiti rakyat - dalam bentuk tanah, hartanah dan kewangan - yang mana rata-rata adalah Melayu.

Land Reform yang dilakukan menerusi FELDA menyebabkan di Malaysia tidak berlaku isu agraria atau pengusiran paksa para peneroka sebagaimana di negara Indonesia.

Kata kurator Muzium Tsunami Acheh kepada saya, di wilayah tertentu dekat nagara nation Republik Rakyat Indonesia masih berlaku isu agraria atau pengusiran paksa para peneroka - walaupun imperialis Belanda telah lama diusir keluar - kerana tidak ada Land Reform sebagaimana Kerajaan Pusat menerusi FELDA berjaya buat sejak tahun 1960-an.

Land Reform yang FELDA berjaya buat ini adalah contoh macam mana sebuah parti konservatif Melayu yang namanya Umno telah buat untuk membantu para peneroka yang rata-rata adalah Melayu,” kata saya sebagai respons kepada kurator Muzium Tsunami Acheh berkenaan.

Bagi saya Allahyarham Tun Razak boleh ‘tukar bukit-bukau belantara menjadi ladang rakyat’ kerana beliau sendiri adalah seorang yang konservatif dari segi budaya - suka tolong orang dan buat polisi tolong orang menerusi parti Umno.

Kalau Allahyarham Tun Razak seorang yang percaya pada naratif ekonomi konservatif, beliau akan percaya bahawa dengan hutang sebenar kerajaan (abselute debt) lebih RM1 trilion Ringgit, mengekang ruang fiskal kerajaan untuk melakukan satu-satu polisi walaupun benar-benar diperlukan oleh rakyat.

Ekonomi konservatif bukan progresif sangat pun, malah menentang realiti kehidupan dalam konteks keperlembagaan negara nation Malaysia dan kehidupan sebenar rakyat.

Contohnya nak meningkatkan daya hijau bumi Malaysia, selagi mana tiada kekangan dari segi sumber sebenar (real resources) ekonomi seperti sumber-sumber semula jadi (tanah, besi, kayu), jentera, teknologi, sumber tenaga manusia dll, memang boleh buat pun program meningkatkan daya hijau bumi Malaysia.

Kalau dahulu, Allahyarham Tun Abdul Razak telah berjaya mengadakan polisi fiskal seperti FELDA dan Land Reform sampai menukar bukit-bukau menjadi ladang rakyat serta meletakkan Malaysia sebagai pengeluar sawit no.2 dunia kini; takkan lah sekarang tidak boleh buat lebih daripada itu?

Oleh kerana pemikiran ekonomi konservatif sangat percaya konon-konon semua polisi fiskal Kerajaan Persekutuan pun perlu bergantung pada ‘pergerakan pasaran bebas’, maka rejim pemerintah ada ilusi konon-konon perdagangan karbon (carbon trading) sesuatu polisi yang progresif serta boleh menarik pelabur di samping meningkatkan pertumbuhan koridor hijau negara.

Contohnya pemikiran ekonomi konservatif dapat dilihat pada pemikiran Perdana Menteri Ke-10 Malaysia (PMx), Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan Malaysia.

Cadangan cukai karbon tidak akan jadi halangan kepada pelabur - PM

Perlu baca macam mana sejarah Green Imperialism yang bergantung pada pergerakan pasaran bebas telah lama gagal lebih dua dekad lepas, selain melihat sejarah kejayaan ladang sawit rakyat FELDA.

Pemikiran ekonomi konservatif yang menganggap kekangan fiskal sebenar konon-konon adalah hutang kerajaan dalam dedominasi Ringgit akhirnya mengakibatkan rejim perpaduan menganggap lambakan pesakit di hospital dan klinik kerajaan kian menekan, hijrah intelektual (brain drain) dari sektor perkhidmatan kesihatan awam ke sektor swasta, isu jururawat berhenti kerja awam dll sebagai ‘penyakit ekonomi’.

Sebenarnya, Kerajaan Persekutuan adalah pihak pengeluar tinggal Ringgit serta hampir tidak mempunyai kekangan fiskal pun untuk berbelanja defisit mengikut keperluan sebenar rakyat teramai. Ini, pemikiran ekonomi yang sihat!

Dari sudut Sectoral Balances pula, segala perbelanjaan defisit yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan bagi sektor awam adalah menyamai jumlah duit simpanan bersih (net saving) bagi sektor bukan swasta demestik.

Lebih ramai graduan bidang perubatan dan kejururawatan direkrut dengan skim perjawatan tetap dan gaji setimpal kerja hakiki mereka di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), akan meningkatkan kuasa membeli mereka; yang mana potential buyers yang kian meningkat ini sangat diperlukan oleh pada peniaga, peruncit, pedagang, usahawan digital dll yang duduk dalam sektor swasta bukan domestik. Ini, pemikiran ekonomi progresif yang sihat!

Kegagalan KKM menangani isu penempatan para pegawai perubatan atas apa dalih sekali pun termasuk isu e-placement system tergendala seperti didalih sebelum ini, telah mengakibatkan pembaziran sumber sebenar (real resources) dalam ekonomi iaitu merujuk pada bakat atau tenaga buruh mahir.

Ini lah contoh ‘penyakit ekonomi’ yang sebenar untuk merelevankan rakyat teramai menolak rejim ekonomi neoliberal yang diketahui Anwar menerusi proses PRU16 akan datang.

KESIMPULAN

Secara ringkasnya, tidak semua nilai atau adat atau tradisi yang ada pada Melayu itu sendiri perlu ‘dibakul-sampah kan’. Jadi, kalau rakyat susah dan tidak ada polisi sokongan untuk menyokong ekonomi rakyat yang terjejas berkenaan, jangan dipersalahkan rakyat sahaja konon-konon mereka malas dan sebagainya.

Maka, sebagai Melayu yang hidup dalam kebudayaan beragama Islam di negeri Pulau Pinang ini, telah saya jelaskan mengapa saya mengaku konservatif dari sudut budaya dan sangat anti ekonomi konservatif yang bergantung pada pergerakan pasaran bebas.

Umno, yang bagi saya sebagai parti konservatif Melayu kerana sejak dahulu mengadakan polisi fiskal untuk membantu rakyat majmuk terutama Melayu dan Bumiputera, perlu terus merelevankan perjuangan parti dengan membantah polisi-polisi ekonomi ekonomi neoliberal yang terang-terang lebih melanyak rakyat teramai serta memelihara rentier capitalist swasta dan golongan maha kaya (baca: elitis politik modal).

”Kerana tidak berpuas hati dengan dasar ekonomi neoliberal yang dipacu oleh 22 bulan rejim Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan (PH) pasca PRU14 (2018), saya sertai Umno yang mana parti konservatif Melayu itu berada dalam blok pembangkang.

“Memang Umno ada banyak kelemahan sampai ditolak rakyat, tetapi saya sokongan Umno kerana polisi ekonomi era Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri Ke-6 Malaysia) yang bagi saya progresif dan lebih memihak kepada rakyat teramai berbanding rentier capitalist swasta.”

“Kalau nak cerita parti politik mana tak ada kelemahan langsung, mustahil ada. Jadi, saya pilih parti mana yang bagi saya paling progresif dalam mengadakan polisi pro rakyat teramai…dari segi sejarah dan pemikiran pemimpin hari ini, Umno adalah pilihan saya.

Ini lah mesej saya menerusi Whatsaap kepada client baharu di kementerian semalam; yang mana saja saya kongsi sebagai penutup posting santai pada petang ini.

4.30 petang nanti, waktu pulang dari pejabat, insya-Allah.

Comments