![]() |
SEKALIAN pemimpin dan para perwakilan Persidangan Tahunan Umno Bahagian Batu Kawan Tahun 2025 merakamkan gambar kenang-kenangan di Hotel Pearl View, Perai pada 29 Jun 2025. |
PERAI - Persidangan tahunan Umno Bahagian Batu Kawan sebulat suara menerima usul peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuat kuasa 1 Julai 2025 ditangguhkan serta-merta sehingga suatu kajian menyeluruh dibuat peringkat Kementerian.
Usul itu dibentangkan oleh ahli jawatankuasa (AJK) Bahagian sendiri, Zainulfaqar Yaacob di Hotel Pearl View, Perai pada 29 Jun 2025.
"Semalam, epal dan oren dikecualikan daripada peluangan SST... kemudian, limau mandarin dan kurma pun dikecualikan dari cukai itu.
"Susu segar, sayur-sayuran (tomato, kubis, timun), beras, dan tepung (gandung, barli, oat), semua adalah barang import yang berada di bawah kategori kegunaan kerap.
"Mungkin akan ada lagi beberapa pengecualian barang lain diumumkan selepas ini, kalau peluangan skop SST ini tidak dicermati secara menyeluruh
"(Justeru,) Kerajaan Persekutuan hari ini tangguh dulu pelaksanaan perluasan skop SST ini, supaya tidak berulang ‘pusingan u’ seperti beberapa hari lepas," jelasnya.
Tegasnya lagi, Umno wajar mengambil pendirian lebih jelas dalam isu perluasan skop cukai SST ini kerana melibatkan kepentingan rakyat teramai, sungguhpun parti keramat itu masih berada dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
"Orang ramai akan marah. Orang Umno yang rata-rata duduk dalam kelas berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) dan M40 pun harga barang meningkat dan kos sara hidup mereka kian menekan, susulan perluasan skop cukai SST dilaksanakan nanti.
"Umno, sebagai parti pemerintah, takkan kita tak ada langsung deria politik ekonomi. Berlawan arus dengan sentiment rakyat akan menghukum parti keramat ini dengan lebih parah lagi pada PRU16 nanti, berbanding PRU lepas," jelasnya.
Berucap sebelum ini, Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Mohd. Noor Ahmad berkata Umno mesti lantang dalam isu yang melibatkan kepentingan rakyat, jika mahu merelevankan perjuangan parti dengan citarasa rakyat teramai pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kelak.
"Denyut nadi perjuangan Umno sebenarnya dekat dengan hati rakyat berbilang kaum terutama Melayu," jelasnya yang juga Ketua Penerangan Umno Negeri Pulau Pinang merangkap Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah semasa menyampaikan ucapan perasmian antara lain berkata UMNO perlu kekal berperanan sebagai juru bicara rakyat termasuk memperjuangkan isu yang menyentuh kehidupan masyarakat.
Kata Timbalan Menteri Dalam Negeri itu lagi, UMNO harus menjadi bukan hanya berjuang untuk kepentingan rakyat saja tetapi juga mesti menjadi parti yang berjuang untuk kepentingan rakyat secara keseluruhan supaya ia dilihat penting kepada rakyat.
"Ini termasuk berjuang soal kebajikan rakyat, soal ekonomi, kehidupan mereka, soal anak muda, kerana rakyat di luar bandar dan bandar tidak sama. Jadi mesti pelbagaikan pendekatan dan cara meraih sokongan.
"Justeru, kita harus terus bercakap soal-soal rakyat. Bawa apa isu yang rakyat inginkan. Sebab itu, dalam ketika kita menjaga keutuhan kerajaan.
"Dalam waktu yang sama, kita harus terus dengan perjuangan kita," katanya kepada pemberita, selepas itu.
Comments
Post a Comment