[Cerpen] Eksport kelapa segar ke Beijing

PERDANA Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim (kanan sekali) bersama-sama Presiden Republik Rakyat China, Ji Xinping (kiri sekali) baru-baru ini menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (dua dari kanan) dan Duta Besar China Ke Malaysia, Ouyaang Yujing (dua dari kanan) di Kompleks Seri Perdana. - Foto BERNAMA 

Oleh : Zainulfaqar Yaacob

SEHARI sebelum lawatan rasmi Presiden Republik Rakyat China, Ji Xinping, dalam taklimat kendalian Jabatan Penerangan Malaysia, baru diberitahu bahawa inti-inti perjanjian persefahaman (MoU) yang akan disaksikan bersama-sama Perdana Menteri Malaysia. Taklimat ringkas itu tidak sampai setengah jam pun, kerana tidak ada sesi soal jawab balas daripada sekalian pengamal media yang hadir di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Menteri yang sepatutnya hadir untuk merasmikan majlis itu juga tidak hadir kerana ada perkara yang lebih penting perlu dilakukan, jadi yang hadir pegawainya sahaja sebagai wakil.

             “Ji dan PMx akan menyaksikan pertukaran 31 MoU meliputi pelbagai bidang antara kedua-dua negara,” kata wakil Menteri berkenaan kepada para pengamal media yang sah akan membuat liputan dalam majlis bersejarah itu nanti. Pada 17 April 2025, seawal 8.00 pagi, semua pengamal media diarakan berkumpul di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. Hanya yang mempunyai pas khas sahaja dibenarkan masuk ke majlis tersebut. Pintu masuk khas untuk wartawan akan ditutup paling lewat 8.30 pagi.

             Ramai mengeluh dengan birokrasi itu. Hari bekerja, kalau nak elak kesesakan trafik pada waktu puncak, mesti keluar selewat-lewatnya 6.15 pagi, itu pun belum ada jaminan untuk sampai ke Seri Perdana, kalau mengambil kira 15 laluan akan ditutup demi memastikan pergerakan Ji Xinping lancar. “Nak selamat, bungkus roti, beli air kotak dan kelengkapan lain yang patut, bermalam awal di parkir berhampiran,” kata pegawai berkenaan sambil tersenyum.

             “Sekali lagi diingatkan, 15 hingga 17 April 2025, 15 jalan akan ditutup, saya percaya ini bukan kali pertama kalian membuat liputan media yang sepenting ini,” katanya lagi sambil mengedar program tentatif khusus untuk majlis berkaitan di Seri Perdana sahaja.

             Tidak tunggu sehingga esok, pada petang itu juga Man dan Imran bergegas pulang ke rumah masing-masing untuk membuat persiapan awal. Masing-masing bersetuju untuk bermalam dalam kereta di parkir berhampiran dekat Seri Perdana. Dalam perjalanan pulang, mereka saling berbincang inti acara yang sepatutnya diskop esok.

             MoU berwajib antaranya kerjasama antara agensi berita lokal dan Xinhua dari Republik Rakyat China; MoU antara Kementerian Luar Negeri kedua-dua negara berhubung Insitiatif Keselamatan Global; pengecualian visa secara timbal balik; Mou antara Universiti Malaya dan Universiti Peking dari China untuk membina makmal gabungan baharu kecerdasan buatan (AI); dan sebagainya.

Ditanya kepada Man, takkan lah nak buat laporan media berkaitan Malaysia-Republik Rakyat China akan bekerjasama kembali dalam projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Sudahlah tiada Mou sampingan dimeterai, kelak PMx dianggap tiada idea ekonomi yang baharu dan progresif memihak kepada rakyat teramai, sampai terpaksa ambil acuan ekonomi era Najib Razak. Imran mengeluh.

Semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri Ke-6 Malaysia, ECRL antara projek utama yang mahu dilakukan secara bilateral antara kedua-dua negara. Pada 15 Mac 2016, projek itu secara rasmi dilancarkan. Projek itu dikatakan akan melengkapkan Inisiatif Jalur dan Lebar (RBI) yang digagaskan oleh Ji Xinping sendiri. Pembiayaan projek adalah secara Remenbi Yuen-Ringgit pada kadaran tetap semasa perjanjian itu dimeterai bersama.

Sejak ECRL dilancarkan, pihak pembangkang terutamanya para penyokong tegar Anwar Ibrahim menggeneralisasikan pentadbiran Najib cuba menggadaikan kedaulatan negara. Pada waktu itu lagi, Najib beberapa kali memberitahu bahawa projek bilateral tersebut adalah tertakluk pada undang-undang sedia ada di negara ini, dan Republik Rakyat China yang menjadi rakan kongsi strategik dalam projek mega itu adalah tertakluk pada peraturan di negara ini. Lebih daripada itu, kata Najib yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa Malaysia akan mendapat limpahan kemajuan apabila projek tersebut siap, antaranya Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) akan dijadikan kampus perintis untuk industrilisasi rel awam moden. Ini kerana, menurutnya, Liuzhou Railway Vocational Technikal College akan bekerjasama dengan UMPSA untuk menubuhkan Pusat Latihan Rel dengan tujuan melatih tenaga kerja tempatan dalam bidang Teknologi dan Pendidikan Teknikal dab Vokasional (TVET) berkaitan rel moden. Tapi, pentadbiran Najib digeneralisasikan nak jual kedaulatan negara.

Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 5 Mei 2018, telah menyaksikan bukan sahaja rejim Najib menyembah bumi; malah buat kali pertama sejak merdeka pada tahun 1957, Umno dan Barisan Nasional gagal mendapat mandat rakyat untuk menubuhkan semula Kerajaan Persekutuan. Tampuk pemerintahan Putrajaya telah berpindah tangan kepada blok pembangkang, yang mana laluan diberikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Ke-7 Malaysia waktu itu. Selama 22 bulan, banyak polisi ekonomi yang dirintis oleh pentadbiran Najib telahpun digendalakan, antaranya ECRL atas dalih konon-konon untuk mempertahan kedaulatan Malaysia dari risiko dijajah oleh negara jolokan ‘tembok besar’ itu.

Semasa Najib masih di gigi kekuasaan, Anwar adalah Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. Semasa Najib dibelenggu tirani besi, Anwar adalah Perdana Menteri Ke-10 Malaysia yang menyambut Ji Xinping baru-baru ini. Anwar dilihat begitu bersungguh untuk mempererat kembali kerjasama strategik bagi merealisasikan projek ECRL. Menjelang hari yang ditunggu-tunggu, tiada lagi dakwah dan propaganda konon-kononnya Republik Rakyat China mahu menjajah Malaysia, seperti era Najib Razak dulu.

“Aku rasa cerita ECRL ini elok tidak menjadi perkara paling utama dalam badan berita esok,” saran Imran.

“Habis, takkan lah kita nak tulis Malaysia secara rasmi mendapat kelulusan mengekport kepala segar ke pasaran Republik Rakyat China, sebab MoU ini tidak dimeterai semasa era Najib Razak jadi Perdana Menteri dulu,” balas Man sambil merujuk pada syor wakil Menteri dalam taklimat sebelum itu.

Perbincangan mereka tidak menemukan jalan ke terowong yang cerah, sekurang-kurangnya menentukan skop berita pada acara esok. Akhirnya, mereka bersetuju untuk tunggu dan lihat sahaja. Rakam perjalanan majlis berwajib, ulang dengar dan saring bahagian mana patut ditonjolkan sebagai berita baharu yang segar dan mungkin mahu dibaca oleh orang awam.

Di Seri Perdana, Anwar dan Ji Ximping menyaksikan beberapa dokumen MoU bertukar tangan. Paling menyerlah yang disaksikan adalah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing saling bertukar beberapa MoU berkaitan demi kepentingan kedua-dua negara. Dalam sidang media selepas itu, Mohamad dilaporkan berkata Malaysia telah mendapatkan kelulusan untuk mengeksport kelapa segar ke pasaran Republik Rakyat China.

“Semalam (16 April 2025) menjadi detik bersejarah bagi sektor pertanian negara apabila berlangsungnya sesi pertukaran MoU antara Malaysia dan China; menerusi Protokol Keperluan Fitosanitari antara Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi mengekport buah kepala segar dari Malaysia ke China,” kata Mohamad, ditranskrip terus oleh Imran menerusi telefon pintarnya sebelum diketuk menjadi berita.

“Abang yakin nak skop ekport kelapa segar dari Malaysia ke China,” tanya Man.

“Kalau ada perkara lain yang lebih baharu untuk dijadikan kepala berita,” respons Imran. Gelas besar teh O ais di meja makan restoran mamak tempat mereka berdua mengetuk berita langsung tidak dicecap airnya.

Imran, kritikal orangnya. Jarang dia menulis satu-satu berita kalau inti perkara yang dilaporkan tidak signifikan. Pernah suatu masa, waktu mula Man bertugas di negeri Pulau Pinang, Imran yang dianggap sebagai ‘abang’ selalu berkata, dalam pelaporan berita sebenarnya mencerminkan diri orang yang menulis berita. Justeru, jangan sekadar melepas batok di tangga sahaja, semasa mengarang berita. Karang perkara yang berkualiti, biar memacu dan memprogresif lagi pemikiran rakyat, serta menunjukkan peranan hakiki sebagai penulis berita. Tapi, tidak tahu lah mengapa abang Imran macam nak cepat-cepat  sahaja menulis berita berkaitan eksport kelapa segar dari Malaysia ke China. 

Melihat Imran, Man bertanya sendirian dalam diri.

“Dah habis tulis berita, Man?” tanya Imran sambil menghirup air teh O ais.

“Baru sekejap tadi siap.”

“Tulis bab eksport kelapa segar juga?”

“Tak.”

“Habis, apa skop berita Man?”

“Secara umum sahaja... cerita lawatan rasmi Ji Xinping mempererat hubungan diplomatik Malaysia-Republik Rakyat China,” tambah Man, “pertukaran 31 MoU itu termasuk bab Malaysia dibenarkan ekport kelapa segar ke China, saya letak bahagian abstrak sahaja.”

“Pandai ambil jalan selamat - play safe,” balas Imran sambil tersenyum.

“Nak tulis Malaysia eksport kelapa segar ke China, takut pembangkang membanding-bandingkan pula polisi ekonomi PMx dengan polisi terdahulu Najib Razak.”

Kedua-duanya terkekeh gelak.

Kata Imran, kita laporkan sahaja perkata yang benar-benar berlaku. Selebihnya, biar pembaca membuat kesimpulan masing-masing. “Kalau editor panggil dan dan tanya - sebab apa tulis bab kelapa segar? - selamat tak kalau respons sebegini?” tanya Imran.

Gelak ketawa mereka berdua di meja makan semakin kuat, hatta menggamit orang sekeliling di restoran 24 jam tersebut.

“Kalau Najib masih Perdana Menteri, apa agaknya dia akan buat bersempena lawatan rasmi Ji Xinping ke Malaysia?” tanya Man, lalu, memesan mi goreng mamak.

“Saya ingat, Najib akan buat benda sama sahaja macam PMx hari ini buat. Kalau tak eksport kelapa segar, mungkin meningkatkan ekport kondom ke China susulan Perang Tarif oleh Amerika Syarikat?"

“Ke situ pula kau, Man,” gelak Imran.

Sambung Man, Perang Tarif yang diledakkan kembali oleh Presiden Amerika Syarikat sedikit banyaknya telah mewujudkan keadaan tidak stabil terhadap semua negara dagangan utama dunia. Dari tarif 10 peratus, dinaikkan pada kadar 25 peratus ke atas barang dagangan dari Republik Rakyat China, umpamanya. Sebagai tindak balas, Republik Rakyat China mengenakan tarif tambahan sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus ke atas produk Amerika Syarikat termasuk arang batu, gas asli cecair (LNG), minyak mentah, mesin pertanian, kenderaan besar, kapas, soya, ayam dan produk tenusu.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, Man menjelaskan Republik Rakyat China melaksanakan siasatan antimonopoli terhadap syarikat berkaitan Amerika Syarikat, seperti Google. Import kayu balak dari Amerika Syarikat juga turut digantung. Baru-baru ini, Beijing telah membatalkan hasrat untuk ‘membeli’ pesawat penumpang Boeing dari Amerika Syarikat.

Sambil tindak balas pada Perang Tarif yang dimulakan Trump, Ji Xinping memperkukuh hubungan diplomatik dan hubungan perdagangan dengan negara-negara yang turut menerima kesan berantai dek polisi Rumah Putih, kata Man lagi.

“Jadi, memang patutpun Ji Xinping melawat Malaysia; memang patut pun Anwar mempererat hubungan diplomatik melalui 31 MoU yang dimeterai itu,” Imran cuba memancing penjelasan lanjut Man kerana dia tahu teras ideologi ekonomi Man yang dilihat sedikit berbeza dengan Perdana Menteri itu.

Mengulas lanjut, Man memberitahu bahawa perang tarif telah mengakibatkan eksport Republik Rakyat China ke Amerika Syarikat berkurangan; antaranya keluli, alumunium, bahan kimia dan barang berteknologi rendah. “Abang Imran, tahu tak bahawa China menyumbang lebih 50 peratus pengeluaran keluli dan aluminium dunia?" tanya Man.

“Tahu. Pernah baca dalam Xinhua (iaitu) portal berita negara Republik Rakyat China beberapa tahun lepas.”

“Apabila ekport keluli dan aluminium Republik Rakyat China berkurangan susulan perang tarif, bermakna negara itu mempunyai Excess Capacity,” jelas Man.

“Excess Capacity?”

Iya... kapasiti berlebihan.”

“Maksudnya...” Imran yang awalnya nampak santai bersembang kosong untuk menghabiskan air teh O, nampak kian serius dan nampak seakan nak tahu lebih lanjut perkara yang cuba dikongsi oleh rakannya itu.

Man cuba menjelaskan terma ekonomi itu dalam bahasa yang lebih mudah. Excess capacity berlaku apabila industri yang menghasilkan lebih banyak barangan berbanding yang dapat diserap dek permintaan pasaran, baik dalam negara itu sendiri atau luar negara. 

“Dalam keadaan Republik Rakyat China memperluas jajaran rel keretapi awam moden ke seluruh wilayah negara itu pun, masih ada excess capacity; ertinya excess capacity sudah tentu meningkat berlipat kali ganda susulan Perang Tarif yang ditajamkan oleh pihak Amerika Syarikat.”

“Perbincangan dah semakin jauh, jadi kembali pada persoalan sebelum ini - Kalau Najib masih Perdana Menteri, apa agaknya dia akan buat bersempena lawatan rasmi Ji Xinping ke Malaysia?” Imran cuba menarik perbincangan Man yang kian mencapah.

Terang Man lagi, kalau Najib tiada pemikiran strategik seperti PMx hari ini, mungkin dia bangga jika Malaysia dapat tingkatkan ekport kondom, macam eksport kelapa segar ke Republik Rakyat China. Ji Xinping mungkin tak cakap yang Republik Rakyat China ada berlipat kali ganda excess capacity dalam pengeluaran keluli dan aluminium. Tetapi, seorang Perdana Menteri yang ada wawasan ekonomi secara material dan progresif, patut ada perancangan yang lebih baik daripada Najib Razak dulu - macam mana nak manfaatkan excess capacity yang Republik Rakyat China ada ketika ini.

“Dengan excess capacity berlipat kali ganda yang Republik Rakyat China ada sekarang, bayangkan kalau Anwar bisik ke telinga Ji Xinping untuk meningkatkan kerjasama dalam membina lebih banyak jajaran rel awam moden ala ECRL ke Semenanjung Malaysia dan Wilayah Sarawak dan Sabah; agak-agak abang Imran nak tulis berita MoU Kelapa Muda Malaysia eksport ke Beijing.”

Mata abang Imran menyinar. Nampak, beliau seakan dapat tangkap mesej yang cuba disampaikan oleh Man. "Dah Republik Rakyat China ada excess capacity, patut runding sekali macam mana nak mempercepat projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang yang memang dah dirancang, biar tak terhenti sampai Penang Sentral, perluas sampai ke tiga-tiga daerah Seberang Perai."

“Saya ulang....” Man cuba berucap ala PMx. Terkekeh-kekeh mereka saling ketawa di restoran tersebut, sementara menunggu panggilan telefon dan respons daripada editor masing-masing.

Harap tidak perlu reframing berita yang sedia ada, sebab Tuan Editor nak sangat tunjuk semua yang jadi Perdana Menteri Malaysia bijak ekonomi belaka.

END

Comments