20 June 2019

Baik buruk off balance sheet financing, pembiayaan langsung kerajaan


PENANG Sentral, simbol kemajuan infrastruktur terminal pengangkutan awam bersepadu bagi Utara Semenanjung Malaysia.






Zainulfaqar Yaacob
Kelab Diskusi Ekonomi Rakyat (KADER)

 Wacana Ekonomi  | Pembiayaan, ada macam-macam cara boleh dibuat oleh Kerajaan Persekutuan yang mempunyai kedaulatan atas mata wang Ringgit Malaysia.

Kerajaan Pusat juga merupakan pihak tunggal yang memonopoli RM serta bertanggungjawab membekalkan RM dalam ekonomi, demi memudahkan aktiviti pengeluaran dan jual beli rakyat.

Bagi Kerajaan Persekutuan, pembiayaan secara langsung akan menyebabkan rekod perbelanjaan direkodkan sebagai hutang negara dan akan ada rekod hutang negara itu atas kertas Penyata Kunci Kira-Kira (balance sheet) kerajaan.

Pembiayaan juga boleh dilakukan secara off-balance sheet financing, di mana perbelanjaan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan sendiri adalah bukan secara langsung. 

Maka, perbelanjaan yang telahpun berlaku iti juga tidak direkodkan sebagai hutang persekutuan serta tidak nampak secara atas kertas (on paper) dalam Penyata Kunci Kira-Kira Kerajaan Persekutuan. 



CONTOH PEMBIAYAAN LANGSUNG

Fasa 1 kompleks pengangkutan awam bersepadu Penang Sentral adalah contoh projek persekutuan yang dibiayai secara langsung oleh Kerajaan pada era bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum PRU14 dulu.

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang membina Penang Sentral dengan pembiayaan Persekutuan kira-kira RM280 juta.

Selepas Penang Sentral siap dan dibuka pada 31 Disember 2018, MRCB mengumumkan nilai pembangunan kasar (GDV) bagi projek infrastruktur awam itu adalah RM2.6 bilion. Bayangkan!


CONTOH OFF-BALANCE SHEET FINANCING 

Bagi projek fasa 1 Transit Aliran Deras (MRT1) yang menelan belanja kira-kira RM21 bilion langsung tidak membabitkan pembiayaan Kerajaan Persekutuan.

GLC DanaInfra National Berhad yang 100% dimiliki Menteri Kewangan diperbadankan (MoF Inc.) yang menerbitkan bon korporat dengan dijamin oleh Kerajaan Persekutuan sendiri, lalu dibeli oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ertinya, pembiayaan MRT1 langsung tidak melibatkan duit rizab (M0) yang diwujudkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), lalu dihantar ke Kumpulan Wang Disatukan (Treasury Account) untuk membiayai projek rel awam itu.

Sebaliknya, pembiayaan MRT1 adalah secara off-balance sheet financing, melibatkan kredit duit (M1) milik simpanan pelaburan KWSP dalam bank-bank perdagangan semata-mata.


BAIK BURUK KAEDAH PEMBIAYAAN LANGSUNG PERSEKUTUAN

Sebenarnya apa jua pembiayaan yang dibuat Kerajaan Persekutuan dalam dedominasi Ringgit Malaysia, mampu dilangsaikan janji hutang berwajib mengikut tempoh yang dipersetujui. 

Cuma, apabila pembiayaan secara langsung iaitu on-balance sheet dibuat, akan kita lihat angka hutang sebenar (abselute debt) persekutuan akan meningkat secara ketara, terutama ketika Kerajaan Persekutuan melaksanaan perbelanjaan secara berlebihan berbanding hasil yang dikutip (deficit spending).


Contoh ketika Malaysia dilanda deflasi pada tahun 2009. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK/GDP) bagi suku pertama tahun 2009 (1Q09) menguncup teruk berbanding unjuran yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan sebelum itu.

KDNK bagi 1Q09 di paras -6.2 berbanding 7.4% bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya (2008), ketika pasaran ekonomi global turut meleset teruk.

Kemelesetan ekonomi pada ketika itu adalah lebih teruk berbanding Krisis Kewangan Asia sedekad lalu, yang turut melanda Malaysia pada suku keempat tahun 1999 (4Q99) dengan KDNK -8.1%.

22 Februari 2019 lalu portal ekonomi antarabangsa Bloomberg melaporkan Malaysia buat kali pertama di ambang inflasi sejak krisis global 2009

Awal tahun 2019 menyaksikan hampir semua sektor ekonomi terjejas. Sektor pembuatan menyaksikan penurunan 17.6%, khususnya industri berorientasikan eksport sebanyak -23.1% serta industri elektrik dan elektronik (E&E) menjunam sebanyak 41.1% (-41.1%).

Ketika itu, pentadbiran Najib melaksanakan pelbagai program ransangan fiskal membabitkan pembinaan projek-projek infrastruktur awam, antaranya termasuk lah Penang Sentral.

MRT1 adalah contoh program ransangan fiskal yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan, secara off-balance sheet financing (penjelasan lanjut dalam sub-topik seterusnya).

Sebagaimana disebut sebelum ini, pembiayaan langsung akan mengakibatkan angka hutang sebenar persekutuan akan dapat dilihat pada Penyata Kunci Kira-Kira Kerajaab Persekutuan.

Apabila pentadbrian Najib melaksanakan deficit spending secara besar-besaran demi mendepani deflasi serta kemelesetan ekonomi bermula pada tahun 2009, yang paling ketara dilihat on paper antaranya nisbah hutang berbanding KDNK 2009 meningkat 11%.

Nisbah itu terus naik untuk tahun 2010 dan 2011 kerana pakej ransangan fiskal masih diperlukan bagi memulihkan ekonomi daripada terus dilanda deflasi. Berjaya!

Sebenarnya pembiayaan M0 melalui Treasury bagi sektor awam akan mewujudkan simpanan wang bersih (net savings) bagi sektor bukan kerajaan (private sector) dalam ekonomi negara sahaja.

Negara tidak akan bankrap kalau deficit spending yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat adalah dalam dedominasi Ringgit Malaysia. 

Di sebalik lambakan duit dalam ekonoki melalui deficit spending ini, kalau ada kesan buruk sekalipun, kesan paling buruk adalah inflasi tinggi sahaja, tidak akan sampai membawa negara ke ambang bankrap.

Yang menolak realiti kebendaan ini hanya ekonomi arus perdana dan ahli politik pemerintah, sama ada mereka yang menganut faham ekonomi NeoLiberal ataupun lagi teruk adalah ideologi Libertarian Free-Market.


BAIK BURUK OFF-BALANCE SHEET FINANCING

Sesetengah ekonomis arus perdana serta ahli politik parti pemerintah mungkin berpendapat pembiayaan secara off-balance sheet financing adalah lebih baik berbanding pembiayaan Kerajaan Persekutuan secara langsung seperti RM280 juta bagi projek fasa 1 Penang Sentral. 

Menurut mereka, paling tidak balance sheet persekutuan tidak nampak berkembang secara mendadak. 

Mungkin inilah antara pertimbangan pentadbiran Najib ketika melaksanakan projek MRT1 yang menelan belanja secara off-balance sheet financing kira-kira RM21 bilion.

Dengan kenaifan pembangkang iaitu Pakatan Harapan mengenai operasi monetari secara bernegara; serta mereka percaya negara boleh bankrap atas sebab abselute debt dalam RM kian meningkat tinggi.

Mungkin Najib sendiri berfikir off-balance sheet financing ajak membolehkan Kerajaan Persekutuan membuat lencongan terus (by-pass) bagi melaksanakan MRT1 ketika Malaysia dilanda kemelesetan ekonomi 2009; berbanding melayan karenah pembangkang serta birokrasi leceh dalam bab belanjawan yang memerlukan ‘lampu hijau’ Parlimen.

Pun begitu, MRT1 ini diuruskan oleh syarikat 100% milik MoF Inc. iaitu MRL, bukan diuruskan secara langsung oleh agensi atau jabatan persekutuan (seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat, APAD umpamanya).

Andai Kerajaan Pusat di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ke-7 Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari ini tidak kisah untuk deficit spending dalam projek infrastruktur dan perkhidmatan awam, sama seperti pentadbiran Najib sebelum PRU14 dulu, mungkin kualiti operasi MRT1 bertambah bagus. 

Seperti pentadbiran Najib, mungkin Dr Mahathir hanya melihat daripada segi perbelanjaan operasi sahaja (Operating Expenditure, OPEX) - berapa sahaja yang diperlukan untuk operasi MRT1 agar rakyat teramai boleh enjoy guna rel awam itu berkali-kali, pembiayaan akan dibuat terus kepada MRL sama ada secara langsung (on-balance sheet) ataupun off-balance sheet financing seperti sebelum ini melibatkan penerbitan Sukuk (bon Islamik).

Seperti pentadbiran Najib, Dr Mahathir pun tak peduli sangat aspek perbelanjaan modal (Capital Expenditure, CAPEX) untuk kerja-kerja selenggara atau projek penarafan MRT1 itu, kerana projek rel awam itu adalah milik Kerajaan Pusat walaupun diselia oleh MRL.

Dengan melihat pada Kerajaan Persekutuan era Malaysia Baru yang downgrade MRT3 dan Rel Keretapi Pantai Timur (ECRL), tangguhkan pembinaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur - Singapura (HSR), hasrat swastakan RTS Johor Bharu - Singapura, dasar ekonomi ikat perut (austerity policy), berdakyah “Kerajaan tak ada duit” “Negara nak bankrap, hutang lebih RM1 trilion” dan banyak lagi, memperlihatkan pentadbiran Dr Mahathir hari ini adalah sangat berbeza dengan pentadbiran Najib, dulu.

KESIMPULAN

Sebelum saya terlupa, net savings hanya akan berlaku apabila membabitkan pembiayaan secara langsung atau perbelanjaan duit rizab (M0) melalui Treasury sahaja. Contoh, RM280 juta bagi projek Penang Sentral.

Maka, off-balance sheet financing seperti RM21 bilion bagi pembinaan projek MRT1 hanya menambahkan jumlah simpanan duit dalam ekonomi (total savings), sementara simpanan duit bersih (net savings) dalam ekonomi adalah tidak wujud ataupun zero.

Justeru, kalau ditanya kaedah pembiayaan yang mana lebih bagus? Jika dilihat pada aspek ini, sesetengah pihak menganggap pembiayaan secara langsung adalah lebih bagus dan ‘sihat’ berbanding off-balance sheet financing.

Semua pembiayaan persekutuan boleh dilihat on-paper, di mana Kerajaan Persekutuan tidak boleh melakukan ‘silap mata’ dengan memberi ‘subsidi’ kepada mana-mana kroni kapitalis NeoLiberal swasta sebagaimana pada era 1990-an dulu. (Bab ini akan saya jelaskan dalam entri seterusnya, InsyaAllah).

Daripada segi lain pula, andaikan lah Kerajaan Persekutuan tak kisah pun nak berbelanja lebih (deficit spending) sama ada untuk OPEX atau CAPEX, yang penting GDP bertumbuh atas sebab government spending serta rakyat teramai boleh enjoy guna rel awam, masih ada cabaran atau isu berbangkit yang lain.

MRL adalah agensi yang menguruskan MRT1. Sementara, Penang Sentral diurus oleh MRCB.

Oleh kerana kedua-dua GLC itu adalah badan korporat tapi milik Kerajaan Persekutuan, maka ia tetap akan beroperasi secara korporat seperti firma-firma bukan kerajaan yang lain.

MRCB umpamanya akan cuba mengecilkan balance sheet syarikat korporatnya walaupun Kerajaan Pusat tak gesa pun pembayaran balik RM280 juta bagi pembiayaan projek Penang Sentral.

Sebab apa? Sebab, MRCB juga tentu ada petunjuk prestasi utama (KPI) termasuklah sasaran kutipan hasil sebelum cukai buat syarikat serta pulangan dividen keuntungan dalam bentuk bonus tahunan kepada kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tersebut. 

Pengoperasian dalam logik korporat ini akhirnya akan menyebabkan keadaan “saling menekan”. 

MRCB mungkin akan “menekan” para penyewa lot komersial serta pemegang-pemegang taruh dalam Penang Sentral andai Kerajaan Persekutuan “mengikat” pembiayaan langsung untuk GLC itu.

Sementara, para penyewa serta pemegang-pemegang taruh yang menanggung lebih kos untuk terus bertahan dalam Penang Sentral pula akan “menekan” rakyat teramai yang berkunjung ke terminal pengangkutan bersepadu itu. Yuran tiket akan mahal atas sebab sewaan dan fi yang ditanggung oleh syarikat bas meningkat. Begitu juga harga makanan dan komoditi lain di Penang Sentral, kelak.

Keadaan “saling menekan” antara MRCB, para penyewa lot komersial Penang Sentral dan rakyat yang menggunakan terminal pengangkutan bersepadu itu akhirnya mewujudkan kelompangan fiskal atau fiscal space

Dalam keadaan wujudnya fiscal space sebegini, sudah tentu turut menuntut Kerajaan Persekutuan yang progresif untuk berbelanja lebih (deficit spending) di luar sektor MRCB jua, iaitu dengan memberi insentif kewangan ala Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Pemberian BR1M, bukan sahaja akan membolehkan rakyat berbelanja lebih di Penang Sentral serta menggandakan pendapatan kasar para peniaga di sana, bahkan sekaligus boleh menjana lebihan hasil kasar MRCB. 

Sangat banyak kesan berganda (multiplier effect) secara ekonomi mahupun dari segi impak sosial, di sebalik pemberian insentif kewangan langsung kepada rakyat.

Mungkin di sini lah jua jawapan serta asas - kenapa pentingnya Kerajaan Persekutuan memberi insentif kewangan (termasuk bonus raya) kepada golongan terpilih daripada kalangan para penoreh getah, petani, nelayan, OKU, warga emas (kalau boleh RM700 tiap-tiap bulan). 

Program insentif kewangan sebegini bukan sahaja akan meningkatkan pembiayaan serta pendapatan sektor isi rumah (C); bahkan menjana kitaran ekonomi domestik ke arah lebih sihat.

Dalam GDP, government spending (G) adalah elemen terbesar dalam menjana pertumbuhan GDP.

Dan, G ini merupakan satu-satunya elemen yang Kerajaan Persekutuan sendiri boleh kewal sepenuhnya bagi menjana pertumbuhan ekonomi, berbanding elemen-elemen lain iaitu C, pelaburan (I) dan export ditolak import (X-M).

Jadi, dengan elemen G ini, Kerajaan Pusat memang boleh membuat polisi fiskal yang lebih bagus, seperti salah satu cadangan Kelab Diskusi Ekonomi Rakyat (KADER) supaya semua warganegara berusia 60 tahun ke atas layak mendapat pembiayaan bulanan minimum RM700 daripada Kerajaan Pusat untuk hari-hari tua mereka.

Kenapa? Selepas sekian lama mereka menyumbang tenaga buruh untuk membangunkan negara negara pada zaman muda mereka, kini tiba masanya “secara politik” bagi Kerajaan Persekutuan yang progresif untuk membalas jasa mereka.

Andai berlaku inflasi tinggi, Kerajaan Persekutuan bukan mengikat pembiayaan awam ini, sebaliknya mengggunakan instrumen cukai demi merosotkan inflasi. 

END

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus