09 November 2017

Tular Tun dikritik mangsa banjir P.Pinang...


PENULIS.


Oleh: Zainulfaqar Yaacob
#DEKPOS | Diskusi Ekonomi Politik Sosial

Wacana Politik | Tular di media mengenai klip rakaman mangsa banjir di Pulau Pinang mempertikai kunjungan Tun Dr Mahathir Mohamad melawat pusat pemindahan dengan ‘tangan kosong’.

Menurut mereka, bekas perdana menteri itu lebih baik tidak datang melawat mangsa banjir jika sekadar untuk menjana keuntungan politik semata-mata.

Sebenarnya telah lama saya memikir dan saya pernah mengkritik sebelum ini mengenai beberapa NGO politik mesra Pakatan Harapan di Pulau Pinang, menanggung beras, gula, kopi dan sebagainya masuk PPR, lalu membuat sidang media dan menyerahkan pelbagai barang kelengkapan dapur kepada keluarga tententu.

Beberapa NGO ini yang mengutip derma, membeli barang kelengkapan dapur daripada salah seorang aktivis mereka sendiri, lalu diserahkan kepada segelintir penerima berkenaan.

Sememangnya pemberian bekalan barang dapur sebegitu adalah murni, tetapi asal fungsi NGO bukan itu sahaja.

Fungsi NGO antaranya menjadi agen semak dan imbang kepada Kerajaan.

Kerajaan yang telah mengutip cukai tentulah mempunyai kewajipan mengagihkan kekayaan kepada golongan sasar yang layak, termasuk golongan berpendapatan rendah (B40).

Seperti Tun Dr Mahathir, walaupun bukan pemimpin NGO, bukanlah menjadi kewajipannya untuk memberi sumbangan itu dan ini kepada mangsa banjir.

Pengerusi BERSATU atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bukan Kerajaan yang mengutip cukai.

Kalau turun ke Pusat Banjir di negeri ini, patut mengasak rejim kleptokrasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyegerakan pemberian peruntukan sekurang-kurangnya RM1 bilion untuk melaksanakan 13 projek menangani masalah banjir di Pulau Pinang.

Memang itu urusan utama parti pembangkang, antaranya menjadi agen semak dan imbang kepada rejim kleptokrasi, bukan turun membawa duit parti untuk diberikan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang.

Sebagai rakyat, kita wajar berfikir lebih bijak, Kerajaan Pusat memberi BR1M kepada rakyat, bukan daripada duit sumber UMNO BN pun.

Begitu juga di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan memberikan pelbagai sumbangan emas di bawah Program Emas pun, bukan duit DAP atau PKR atau DAP hatta BERSATU.

Tidak ada parti memberi duitnya secara langsung kepada orang awam, melainkan akan ditohmah memberi suapan serta layak disiasat oleh SPRM.

Kalau Tun Dr. Mahathir Mohamad datang ke Pusat Banjir sekitar Pulau Pinang, dengan membawa berbeg-beg duit tunai untuk diberikan kepada mangsa, layak jugalah tindakan bekas perdana menteri itu ditohmah sebagai memberi rasuah politik.

Tun Dr Mahathir bukanlah begitu naif, sebab itulah barangkalinya beliau tidak membawa apa jua ‘token’ untuk mangsa banjir di Pulau Pinang baru-baru ini.

Seperkara, Najib yang masih ‘beraja’ dalam UMNO dan BN ketika ini pun ada melawat Pulau Pinang, tetapi langsung tidak mengumumkan peruntukan berwajib RM1 bilion untuk menangani masalah banjir, cuma tiada rakaman remeh ditularkan dalam Facebook dan WhatsApp.

Mungkin sisi pandang ini di luar logik propagandis tertentu yang merakam kritikan satu atau dua atau tiga mangsa banjir, untuk menyah pengaruh politik Tun Dr Mahathir.

Banyak juga saya mengkritik logik ekonomi Tun Dr Mahathir yang pernah memerintah 22 tahun Malaysia ini, tapi saya rasa rakyat perlu lebih bijak dalam isu berbangkit ini.

Malaysia lebih untung jika rakyat dididik supaya bijak serta senantiasa berfikiran skeptik dengan setiap perilaku ahli politik, parti pemerintah dan oposisi serta propagandis kali tular.

Setuju?


No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus