Skip to main content

Pegawai JPN batalkan program bertemu pelajar Dr. Afif Bahardin

NORHISHAM' (tiga dari kiri) bersama-sama beberapa pegawai JPN di lobi Kompleks ILKM di sini, tengah hari tadi.
MUHAMAD Sufi Mohd. Jamil (gambar), selaku Pegawai Khas kepada Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dalam sidang media di sini pada tengah hari tadi. | Foto: Ika @ Nurusan Afikah Zainudi

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

JAWI - Jemputan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin merasmikan Penang Germ Buster Challenge 2016 di Institut Latihan Kecemerlangan MARA (ILKM) dekat Sungai Jawi di sini tiba-tiba dibatalkan tengah hari tadi.

Pegawai Khas Exco, Muhamad Sufi Mohd. Jamil memberitahu, pegawai daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang yang dikenali sebagai "Norhisham" didakwa menghalang Dr. Afif merasmikan program membabitkan pelajar-pelajar sekolah rendah itu.

"Pada surat jemputan dan backdrop di pentas utama pun tertera nama Dr. Afif Bahardin sebagai perasmian majlis hari ini.

"Jika Dr. Afif hadir, majlis perasmian ini terpaksa dibatalkan, Jabatan Pendidikan Negeri akan menarik semua pelajar-pelajar yang menyertai program ini," jelas Muhamad Sufi kepada pemberita di Kompleks ILKM di sini.

Malah katanya lagi, pihak penganjur turut enggan memberi kerjasama ketika diminta menghubungi Pengarah JPN dan memberikan maklum balas lanjut mengenai isu berbangkit kepada Dr. Afif.

"Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang yang menjemput YB (Dr. Afif) merasmikan majlis ini.

"YB (Dr. Afif) tanpa mengira perbezaan parti tetap bersetuju untuk hadir apabila memikirkan bahawa program ini untuk manfaat rakyat dan penduduk Pulau Pinang.

"JPN enggan memberikan kerjasama, lalu Pejabat Exco meminta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Zailan Adnan untuk memberikan maklum balas susulan kepada YB (Dr. Afif)," jelas Muhamad Sufi lagi.

Penang Germ Buster Challenge 2016 merupakan bengkel pendidikan menjaga kesihatan yang membabitkan penyertaan pelajar-pelajar dan guru-guru daripada sekolah rendah terpilih, anjuran Jabatan Kesihatan Negeri dengan kerjasama JPN.

Di bawah adalah kenyataan akhbar Muhamad Sufi Mohd. Jamil yang dikeluarkan kemudian berhubung isu ini.

'BACKDROP' Penang Germ Buster Challenge 2016.

KENYATAAN MEDIA:
TINDAKAN TIDAK PROFESIONAL KERAJAAN PERSEKUTUAN DI BAWAH UMNO DAN BARISAN NASIONAL
 
Saya kesal dengan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia yang menghalang YB Dr. Afif Bahardin, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Kesihatan dan Pembangunan Desa Negeri Pulau Pinang untuk merasmikan Program Penang Germ Buster Challenge 2016 di Institut Latihan Kemahiran MARA, Seberang Perai Selatan pada 29 Mac 2016. 
Pejabat Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Kesihatan dan Pembangunan Desa telah menerima surat jemputan bagi merasmikan program ini pada 11 Mac 2016 dan teks ucapan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang. 
Walaubagaimanapun, Program Penang Germ Buster Challenge 2016 yang dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang telah diarahkan untuk membatalkan kehadiran YB Exco hari ini dengan alasan mendapat arahan daripada Putrajaya. 
Perbuatan ini melihatkan kerajaan pimpinan UMNO/BN menggunakan pendekatan politik sempit sehingga sanggup mempergunakan Jabatan dan Agensi kerajaan demi kepentingan mereka. 
Saya dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ini dan meminta YB Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia dan YB Datuk Seri Dr. S.Subramaniam, Menteri Kesihatan Malaysia mengambil tanggungjawab di atas tindakan tidak profesional ini serta memohon maaf kepada pejabat ini.

MUHAMAD SUFI BIN MOHD JAMIL
Pegawai Khas,
Exco Pertanian & Industri Asas Tani,
Kesihatan dan Pembangunan Desa