25 March 2016

Berita tikus sebesar ayam melampau, respons Ahli Majlis MBPP

ONG Ah Teong menunjukkan gambar operasi meracun tikus di pasar-pasar awam sekitar bahagian pulau, pada sidang media di sini baru-baru ini.

PADANG KOTA – Berita mengenai tikus sebesar arnab dan ayam, yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Cina pada 6 Mac lalu seakan tidak benar dan wajar diangap sebagai laporan melampau, respons seorang Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) baru-baru ini.

Mengulas lanjut,  Ong Ah Teong memberitahu beliau sendiri ada menghubungi penulis berita terbabit, namun individu berkenaan gagal mengemukakan bukti berwajib. 

"Saya ingin menasihatkan, jika hendak menulis artikel 'berbunga-bunga' sekalipun, tidak perlu sampai melanggar etika (kewartawanan)," respons Ah Teong kepada pemberita di sini. 

Hadir sama, tiga Ahli Majlis MBPP lain,  Ahmad Azrizal Tahir, Ng Soon Siang dan Ahmad Razaaim Azimi.

Ujarnya lagi, MBPP sememangnya melakukan pemeriksaan berkala di tempat-tempat tumpuan umum, terutamanya lokasi yang terletak di bawah selenggaraan pihak majlis seperti kompleks makanan, pasar dan lain-lain. 

"Bagi saya, dalam isu tikus, mana-mana tempat di dalam dunia walaupun di negara maju seperti United Kingdom, Jepun dan Singapura juga menghadapi masalah tersebut dan kita perlu langkah pengawalan yang sempurna,” tegas beliau lagi.

Menurut Ah Teong, seramai 14 anggota MBPP bertanggungjawab dalam menangani isu tikus, dengan melakukan pemeriksaan sekerap dua atau tiga operasi tiap-tiap bulan.

“Selain itu, sejak tahun 2013, MBPP juga mewajibkan semua kedai makan, restoran, hotel dan kedai kopi perlu melantik syarikat kawalan serangga dan haiwan perosak bagi memastikan premis mereka terkawal dari masalah tersebut. Itu juga salah satu syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan,” katanya lagi.

Ahmad Azrizal pula memberitahu, kini MBPP menggunakan racun tikus, yang dilihat lebih berkesan berbanding kaedah terdahulu dengan menggunakan perangkap.

“Biasanya kita akan letakkan racun bersama umpan seperti roti di kawasan sempit dan gelap jadi ianya tidak menjadi isu sama ada haiwan lain seperti kucing dan anjing akan tersalah makan.

"Tambahan pula, roti bukanlah makanan yang digemari anjing dan kucing,” jelas Ahmad Azrizal.

Katanya, komuniti sendiri perlu menjaga kebersihan persekitaran, dengan mengelakkan amalan membuang sisa makan sesuka hati.

“Sisa makanan selalunya menjadi punca utama dan apabila MBPP menguatkuasakan pengasingan sisa (di punca), ianya diharap lebih membantu dalam mengurangkan isu tikus di bahagian pulau,” katanya.

MBPP sepanjang tahun 2009 hingga Februari 2016 direkodkan berjaya menangkap sebanyak 112,608 ekor tikus.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus